Pandangan berkenaan menunjukkan betapa permasalahan haid sering menghantui wanita sehingga adakalanya menghalang mereka daripada mengerjakan haji.

Antara yang dibimbangkan wanita apabila menjalani haji atau umrah ketika haid adalah mereka berada dalam ihram bagi tempoh lama dan perlu membayar dam jika melanggar larangannya.

Ini kerana adab memasuki Mekah apabila ada azam hendak buat haji atau umrah, wajib berniat ihram di miqat walaupun ketika dalam haid. Ini terutama bagi yang menjalani haji tamatuk, sebaik sahaja memasuki Mekah perlu melakukan umrah pertama.

Justeru, jemaah terlibat perlu menunggu haidnya kering, mungkin tujuh hingga 15 hari bergantung kepada kebiasaannya, barulah boleh tawaf, saie dan bergunting lalu lepaslah daripada larangan ihram.

Satu perkara yang amat merugikan bagi wanita jika didatangi haid ketika haji adalah tidak boleh solat di Masjidilharam yang pahala dijanjikan Allah berlipat kali ganda banyaknya.

PENCERAHAN


Menjelaskan isu itu, Pembimbing Ibadat Haji 1439 Hijrah, Yusnah Yusuf mengakui persoalan tentang haid menduduki ranking paling atas yang diutarakan oleh jemaah termasuk menerusi Talian Ibadat Tanah Suci (Taib) yang disediakan Tabung Haji.

Ia kemungkinan berlaku ekoran peningkatan jumlah jemaah muda menjadikan kefahaman tentang isu haid dalam kalangan bakal jemaah wajar dititikberatkan.

Antara persoalan yang paling banyak ditanya adalah:

  • Bagaimana jika mereka datang haid semasa tempoh Masyair iaitu puncak ibadah haji meliputi wuquf di Arafah, mabit di Muzfalifah dan melontar di Mina sedangkan mereka tidak boleh solat.

n Jawapannya, kata Yusnah, haid tidak menghalang kerja haji.

“Sebenarnya tiada masalah wanita dalam haid untuk buat haji. Semua boleh dilakukan, wuquf boleh, melontar juga boleh dilakukan semasa haid, hanya tawaf tidak boleh,” katanya.

Menurutnya, perasaan bimbang itu adalah perkara normal, malah Sayidatina Aisyah r.a. ketika mengikut Rasulullah SAW bersama para sahabat pergi ke Mekah untuk mengerjakan haji pun menangis apabila didatangi haid.

Hal ini diceritakan dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Aisyah yang bermaksud:

“Kami keluar dari Madinah menuju ke Mekah untuk menunaikan haji. Apabila kami tiba di Saraf, aku didatangi haid. Rasulullah masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: Kenapa kamu menangis? Adakah kamu didatangi haid? Aku menjawab: Ya! Maka Baginda bersabda maksudnya: Sesungguhnya perkara ini (haid) sudah ditentukan Allah ke atas anak perempuan Adam. Maka, tunaikanlah apa saja yang biasa dikerjakan oleh seseorang yang mengerjakan haji, kecuali tawaf di Baitullah sehingga kamu suci,” - Riwayat Bukhari.


PUNCA MASALAH

Menurut Yusnah, mungkin sebab kurang kefahaman tentang haji membuatkan jemaah wanita berasakan mereka tidak boleh buat sebarang ibadat ketika haid untuk mendapat pahala terutama bersolat.

“Jangan risau sangat tentang haid dan tak dapat pahala. Banyak perkara boleh buat selain solat iaitu berzikir atau raikan jemaah lain dengan membantu mereka, itu juga boleh beri pahala.

“Jangan ambil alih kuasa Allah. Haid itu fitrah wanita. Bersabar semasa haid dan dalam ihram mungkin pahalanya lebih besar. Bila dalam ihram dia sebenarnya dekat dengan Allah,” katanya.

Menurutnya, wanita tidak perlu risau tentang dam kerana larangan semasa ihram itu terbahagi kepada dua sifat iaitu:

1. Taraffuh (agak ringan) meliputi perbuatan ‘bersuka-suka’ seperti berwangi-wangian yang jika dilakukan secara tidak sengaja tidak perlu bayar dam.

2. Itlaf (sengaja atau tidak tetap kena dam) melibatkan perbuatan seperti memotong kuku, rambut, membunuh binatang dan memotong pokok.

Kata Yusnah, kebiasaan yang berlaku adalah jemaah tidak sengaja melanggar larangan bersifat taraffuh iaitu tidak berdosa dan tidak dikenakan dam.

  • Jemaah wanita juga tidak perlu risau jika gugur rambut semasa dalam ihram kerana ia berlaku secara semula jadi umpama daun gugur dari pohon.
  • Namun, jika dilakukan dalam keadaan terlupa atau tidak sengaja, hukumnya tidak berdosa namun dam tetap perlu dibayar, tetapi anggaplah ia sebagai sedekah.
  • Untuk mandi wajib, tidak perlu bimbang kerana ia hanya melibatkan dua rukun iaitu niat dan meratakan air seluruh badan.

“Jadi, berdiri di bawah pancuran air perlahan-lahan, biarkan air rata ke seluruh badan dan selepas mandi terus lakukan tawaf, saie dan bergunting lalu lepaslah daripada larangan ihram,” katanya.

ASPEK KRITIKAL

Jelas Yusnah, ramai wanita yang bimbang kedatangan haid semasa wuquf sedangkan aspek kritikal yang sepatutnya diketahui mereka adalah tarikh kedatangan haid bertembung dengan tempoh penerbangan pulang.

  • Jika wanita didatangi haid semasa berwuquf dan selepas itu perlu pulang dengan penerbangan awal, maka dia tidak akan sempat melakukan tawaf rukun kerana haidnya belum kering.
  • Jika situasi itu berlaku, jemaah diharuskan mengambil ubat lebih awal untuk melambatkan kedatangan haid bagi membolehkannya melakukan tawaf rukun seterusnya saie dan bergunting.

“Namun, itu hanya satu usaha dan bukan penyelesaian terakhir bagi permasalahan berkenaan. Jangan ambil ubat untuk tahan haid semata-mata ingin beribadah. Jangan tamak, banyak lagi boleh dibuat untuk dapat pahala,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku sekarang adalah kebanyakan jemaah lupa tentang akhlak mengerjakan haji sedangkan sebagai umat Islam kena yakin dengan qada dan qadar.

Jelasnya, dalam hukum fikah sendiri ada jalan penyelesaian bagi permasalahan haid wanita ketika mengerjakan haji.

1. Jika pilihan melanjutkan tempoh penerbangan pulang untuk melakukan tawaf rukun tidak dapat dipenuhi, maka berpegang pada mazhab Syafie jemaah wanita boleh pulang dahulu dan membuat dam ihsar untuk lepas daripada larangan ihram.

“Dam ihsar adalah menyembelih seekor kambing dan keseluruhan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin. Jemaah terlibat boleh bergunting selepas itu dan datang semula ke Mekah pada lain waktu untuk menyelesaikan tawaf rukun dan saie,” katanya.

2. Pilihan kedua, jemaah boleh bertaklid kepada mazhab Hanafi yang membolehkan wanita tawaf dalam haid, tetapi kena membayar dam seekor unta bagi haji dan seekor kambing bagi umrah.


SUAMI JUGA TERLIBAT

Yusnah berkata, permasalahan haid perlu diberi perhatian bukan sahaja oleh jemaah wanita, malah juga suami mereka.

Katanya, sejak dari tanah air jemaah perlu mencatat tempoh haid dan warna darah supaya bila dirujuk permasalahan berkenaan kepada Pembimbing Ibadat Haji boleh ditentukan sama ada wanita berkenaan masih dalam haid atau istihadah (darah penyakit).

Ini kerana permasalahan haid adalah rumit dan tidak sama bagi setiap wanita.

Untuk itu katanya, jemaah dan suami perlu mempunyai ilmu dalam hal itu supaya permasalahan haid tidak mengganggu ibadat haji.