Kesibukan ibu bapa mencari rezeki ekoran peningkatan kos hidup menyebabkan guru masa kini mula mengambil alih sepenuhnya peranan mendidik anak-anak sama ada ilmu dunia atau akhirat.

Sambil mengakui keadaan itu, ahli Yayasan Pendidikan Islam Selangor (Yapis), Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri berkata, ia menjadi lebih terserlah apabila wujudnya peningkatan kesedaran agama yang ketara dalam kalangan ibu bapa.

Tidak kira untuk tujuan hafazan atau memperbetul akhlak, beliau percaya suasana itu menjadikan keperluan penubuhan sebuah institusi latihan khas bagi melahirkan guru tahfiz berkualiti tidak boleh lagi diketepikan begitu sahaja.

“Inisiatif itu perlu segera dilaksanakan supaya trend ibu bapa memberikan sepenuhnya peranan mereka dalam mendidik anak-anak kepada guru dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya dalam Wacana Cendekiawan Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Tambah Abdul Halim, bagi guru-guru dalam aliran sekolah kebangsaan, mereka mungkin tidak mempunyai masalah besar untuk melaksanakannya kerana telah dilatih secara profesional sebelum dibenarkan mengajar di mana-mana sekolah sama ada rendah atau menengah.

Dalam masa sama, beliau berkata, guru-guru berkenaan bukan hanya menikmati kemudahan skim perkhidmatan yang baik tetapi kerap dihantar mengikuti pelbagai latihan bagi meningkatkan kemahiran mengajar.

“Namun untuk guru-guru aliran pendidikan agama khususnya tahfiz, semua itu tiada. Banyak isu yang melingkari tenaga pengajar berkenaan walaupun permintaan terhadap perkhidmatan mereka semakin ketara sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Abdul Halim pada wacana tersebut menyenaraikan lebih 10 isu pendidikan guru-guru tahfiz yang memerlukan perhatian khusus daripada pihak berkuasa agama pusat dan juga negeri.

Isu itu bukan hanya melibatkan tentang bekalan guru tahfiz, pengiktirafan sijil perguruan dan pusat latihan perguruan, bahkan aspek latihan perguruan yang tidak selaras, kurang sistematik dan tidak menepati keperluan semasa.

“Isu guru tersebut amat penting dalam mekanisme membangunkan sesebuah pendidikan berkualiti kerana merekalah golongan pelaksana,” katanya.

Bukan guru kelas kedua

Menurut Abdul Halim, gesaan mewujudkan institusi melatih guru tahfiz amat penting agar mereka tidak dianggap sebagai guru kelas kedua atau sekadar mengisi kekosongan yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan hidup sesebuah sekolah agama.

“Saya percaya dengan adanya institusi khusus tersebut akan membolehkan kita memiliki satu piawaian pendidikan tahfiz yang dipersetujui semua pihak berkepentingan.

“Dengan kata lain, kita bakal mempunyai sistem kurikulum, kemahiran psikologi dan sosiologi pelajar, pedagogi, amalan pendidikan yang baik, etika profesion guru tahfiz dan aspek-aspek lain yang seragam untuk seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, pihak berkuasa agama Islam negeri boleh gunakan piawaian tersebut untuk mengiktiraf atau sebaliknya terhadap sijil pengajian guru tahfiz yang belajar di luar negara.

“Malah, kerja-kerja penguatkuasaan oleh majlis agama Islam negeri atau pusat ke atas sekolah tahfiz juga lebih mudah dilakukan dengan berkesan.

“Lebih penting, ia juga akan memberi keyakinan para penderma untuk memberi sumbangan secara berterusan kepada sekolah agama berkenaan,” katanya.

Impak positif

Abdul Halim menyifatkan cadangan menubuhkan institusi perguruan tahfiz  bakal memberi kesan positif kepada bekalan guru tahfiz yang kini tidak selari dengan pertumbuhan sekolah tahfiz atau agama rakyat di negara ini.

“Jumlah pelajar yang memasuki aliran agama memang ramai setiap tahun tetapi entah apa sebab atau di mana silapnya, bila habis pengajian, pelajar berkenaan hanya bergelar ustaz sahaja tidak al-hafiz.

“Mungkin kerana tidak jaga hafazan atau terjun ke bidang kerjaya lain yang menjanjikan pendapatan tetap berbanding mengajar di sekolah agama,” katanya.