Ceramah itu disampaikan dalam seminar Pemurnian Akidah dan Ibadah Mualaf Iban di Bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seminar anjuran Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan itu dihadiri seramai 35 saudara Muslim berketurunan Iban yang menetap sekitar Lembah Klang. Yang turut hadir, Pengerusi Biro Dakwah Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Amran Abdullah dan Pegawai Dakwah, Mohd. Jogi Panjaitan Maruli Panjaitan.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Aisha memberikan beberapa petua dan motivasi kepada mualaf supaya terus mendalami agama dengan menuntut ilmu serta mempraktikkannya kerana apabila seseorang telah memeluk Islam, mereka perlu meyakininya dan tidak boleh berpatah balik.

Jelas beliau, masyarakat Iban Muslim mudah untuk memahami Islam dan budaya Melayu kerana terdapat unsur budaya yang sama seperti menghormati tetamu, orang tua, berakhlak mulia dan sebagainya.

“Masyarakat Iban mempunyai jiwa dan jati diri yang kental kerana sekiranya mereka membuat sesuatu, mereka akan melaksanakan secara bersungguh-sungguh serta berterusan (istiqamah).

“Seminar ini antara pencetus kepada program latihan bagi melahirkan pendakwah untuk berdakwah ke perkampungan rumah panjang,” jelas Aisha yang merupakan Pengarah Komunikasi dan Penyelaras Program Global Unity Network (Unity).

Tambah Aisha, semua pihak harus melipatgandakan usaha untuk melaksanakan pelbagai pendekatan dakwah bagi menarik minat kumpulan sasar.

“Antara yang boleh dimanfaatkan ialah menerusi kemudahan teknologi terkini seperti ceramah, forum dalam bentuk siaran langsung atau komunikasi perbincangan berkumpulan melalui aplikasi WhatsApp, mengadakan permainan sukan sunah, usrah dan ziarah serta ijtimak peringkat zon,” katanya yang telah 15 tahun memeluk Islam.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu turut mencadangkan agar penganjur mengetengahkan gerak kerja dakwah dalam bahasa Iban melalui poster bergambar, pameran, lukisan, ruangan majalah atau akhbar dan menerusi media sosial.

Aisha yang merupakan ibu kepada tiga orang anak berhasrat melihat masyarakat Iban Muslim berkembang maju dalam bidang ilmuwan Islam, busana Muslim, perniagaan Muslim, sukan sunah, nasyid dan tilawah al-Quran pada masa akan datang.

Dalam pada itu, seorang lagi penceramah, Muhammad Brunson Army pula berkongsi penghijrahannya kepada peserta, yang mana beliau terpaksa mengharungi pelbagai dugaan dan pancaroba sejak bergelar Muslim.

Beliau yang memeluk Islam pada 26 Mei 2008 turut berkongsi tip berdakwah antaranya, menunjukkan akhlak yang baik, sering menziarahi keluarga dan sanak saudara, menghulurkan buah tangan, bertegur sapa walaupun telah dibuang keluarga dan menunjukkan kasih sayang sesama insan.

Muhammad Brunson yang bertugas sebagai jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, selain memupuk semangat kekeluargaan antara mualaf Iban, program itu juga mampu menyediakan ruang untuk peserta mendalami Islam secara lebih berkesan melalui pendekatan dan penggunaan bahasa ibunda (Iban).

“Bangsa Iban merupakan etnik paling besar dan berpengaruh di Sarawak serta majoriti daripada mereka mengamalkan adat resam ‘miring’ atau animisme yang memuja semangat alam daripada generasi nenek moyang terdahulu.

“Pada masa ini telah menjadi budaya komuniti Muslim Iban dan Bidayuh menyambut Hari Gawai yang merupakan sambutan tahun baharu dengan majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang diatur setiap tahun oleh Persatuan Dayak Muslim,” katanya.