Sungguh mendalam maksud yang mahu disampaikan oleh Hamid berhubung kepentingan rakyat negara ini membantu rakan seagama di negara yang sedang bergolak itu.

Bukan sekadar mahu membalas jasa masyarakat Yemen terdahulu yang membawa Islam ke Tanah Melayu, namun itu adalah tanggungjawab sebagai umat Islam untuk ditunaikan.

Jika kita tidak mulakan, siapa lagi? Umat Islam Yemen sangat memerlukan bantuan dan sumbangan bagi meneruskan kelangsungan hidup. Peperangan memusnahkan segalanya. Namun insiden berdarah tersebut tidak boleh dijadikan alasan bagi rakyat di negara itu untuk kembali bangkit dan memulakan hidup baharu.

Untuk itu, sokongan rakan seagama terutama dari Malaysia sangat diharapkan. Peranan yang dimainkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Relief Agency (MRA) adalah cukup besar bagi membantu saudara seakidah itu.

Menyalurkan sumbangan sejak lebih dua tahun lalu, MRA terus mengorak langkah dalam meneruskan misi membantu masyarakat Islam Yemen.

Presidennya, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, bantuan yang dihulurkan bukan sekadar untuk tempoh singkat, malah dalam jangka masa panjang demi kesinambungan hidup masyarakat di negara tersebut.

Katanya, mempunyai kerjasama baik dengan rakan NGO di lapangan seperti Charitable Society for Social Welfare (CSSW) dan My Health Foundation, usaha yang dilakukan oleh MRA menjadi lebih mudah dan saluran sumbangan tepat dapat direalisasikan.

“MRA merupakan NGO pertama dari negara ini tiba di Yemen bagi menghulur bantuan kemanusiaan akibat peperangan yang meletus sekitar September 2014. Bantuan berjumlah RM600,000 telah disalurkan kepada masyarakat negara itu dalam tempoh dua tahun lalu termasuk membina tenaga solar di masjid-masjid.

“Malah misi meninjau dan misi media telah digerakkan baru-baru ini iaitu pada 7 hingga 20 April lalu bagi memudahkan misi menghantar barangan bantuan seperti keperluan asas, air bersih dan bantuan perubatan kepada masyarakat Yemen yang akan dilaksanakan sepanjang Mei dan Jun ini,” katanya kepada Mega Mimbar, Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Daud berkata, meminjam kenyataan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan bahawa Yemen berpotensi menjadi medan kebuluran, tindakan agresif perlu dilakukan bagi menyelamatkan rakyat negara itu.

Untuk itu katanya, MRA sedaya upaya untuk terus berdiri membantu umat Islam Yemen dengan penghantaran misi kemanusiaan dan meningkatkan kesedaran masyarakat umum terhadap tanggungjawab membantu rakan seagama di negara bergolak itu.

“Misi penghantaran bantuan kemanusiaan pertama dilakukan oleh MRA pada Ramadan 2015. Sebanyak tiga buah kapal termasuk daripada PBB digerakkan dalam misi tersebut.

“Meskipun kapal yang membawa bantuan kemanusiaan itu diserang di Selat Aden, namun misi tersebut tetap berjaya dilaksanakan dan bantuan diserahkan kepada mereka yang dipertanggungjawab,” katanya penuh syukur.

Menurutnya, untuk meningkatkan keupayaan MRA di negara bergolak tersebut bagi jangka panjang, pejabat satelit telah dibina di Yemen.

Jelasnya, pejabat satelit itu penting bagi menguruskan pergerakan bantuan melibatkan Malaysia, NGO di Yemen dan kerajaan Yemen sendiri.

Sehubungan itu katanya, orang ramai boleh terus menghulurkan sumbangan di atas nama Malaysian Relief Agency Foundation ke dalam akaun CIMB Bank 8600059478 atau menghubungi petugas MRA, Siti Zaharah di talian 013-3371672.