Detik-detik kepayahan dan penderitaan sama ada di kem pelarian atau ketika dalam perjalanan ke kem berkenaan akan terus dilalui serta dialami mangsa tanpa mengira umur dan jantina.

Rutin hidup mereka berubah 100 peratus. Tinggal dalam khemah penuh ketidakselesaan. Perlu sentiasa berebut-rebut untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat dan kemudahan-kemudahan asas lain bersama jutaan mangsa lain.

Inilah suasana dialami ribuan warga Rohingya yang tiba di kem pelarian Thankali (sempadan Bangladesh-Myanmar) dari wilayah Arakan, Myanmar.

Lebih perit lagi, keadaan ribuan pelarian serba kekurangan itu berlaku ketika hujan lebat melanda kawasan kem berkenaan. Ada mangsa yang demam, kekejangan, kelaparan dan kesejukan.

“Dalam hujan lebat itu, ribuan pelarian Rohingya bukan hanya masih menunggu bekalan makanan tetapi majoritinya, belum mempunyai khemah.

“Mereka baru tiba dari Arakan selepas rumah dan kampung halaman mereka dibakar, saudara mereka dibunuh oleh tentera atau golongan ekstremis agama,” kata Ahmad Tarmidzi Sulaiman.

Beliau yang merupakan Naib Pengerusi Majlis Perunding Islam Malaysia (Mapim) berkata demikian ketika berpeluang meninjau suasana kem pelarian itu baru-baru ini.

SALUR BANTUAN

Dalam lawatan yang turut diiringi Setiausaha Agung Mapim, Zulhanis Zainol itu, pihaknya turut berkesempatan mengagihkan lebih 1,000 pek makanan mengandungi beras, kacang dal, minyak masak, kentang dan bawang kepada pelarian Rohingya berkenaan.

“Projek membina telaga tiub bagi keperluan air bersih sebanyak 10 buah untuk pelarian Rohingya yang baru tiba akan bermula dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui di Mapim, Bangi, baru-baru ini.

Selain itu, Ahmad Tarmidzi turut memberitahu bahawa ribuan pelarian Rohingya tanpa mengira jantina dan umur itu terpaksa menempuh perjalanan yang terlalu jauh tanpa bekalan makanan secukupnya.

Mereka turut berisiko diserang oleh pihak junta tentera di Myanmar dan golongan ekstremis agama sepanjang perjalanan ke kem-kem pelarian yang terletak di dalam Bangladesh.

“Ada satu keluarga yang terpaksa berjalan kaki dan menaiki bot selama empat hari menyeberangi sempadan Bangladesh-Myanmar untuk sampai ke bandar Teknaf (iaitu 10 kilometer dari selatan Thankali).

“Dalam perjalanan itu, anak mereka mengalami kekejangan sehingga menyebabkan mulutnya agar sukar untuk makan dan minum dengan sempurna,” katanya.

Lebih menyedihkan, bersama keluarga berkenaan adalah empat orang adik beradik yang kehilangan ibu bapa sekali gus kerana dibunuh oleh tentera sebelum rumah mereka dibakar.

“Apa yang boleh kami lakukan pada masa itu hanyalah menguruskan dua keluarga berkenaan untuk ditempatkan di kem pelarian Khutupalong yang terletak di sebelah utara Thankali,” katanya.

Sumbangan itu boleh disalurkan kepada Tabung Rohingya Humanitarian Fund Mapim (Bank Islam-0202 0010 0722 72) atau Baitul Rahmah Mapim (Maybank-5520 9522 4432). - Gambar EHSAN MAPIM