Melihat banyak kelibat bukan Muslim berada dalam majlis Kempen ‘Let’s Read The Quran 2018’ atau Mari Membaca al-Quran anjuran syarikat pemasaran dan perundingan pengiklanan, Zubedy (M) Sdn. Bhd. (Zubedy) baru-baru ini, sel-sel otak giat ‘menghubungkan’ kaitan kumpulan peserta itu dengan saranan membaca al-Quran.

Tatkala melihat sekumpulan ‘tok sami’ berselendang jingga turut sama dalam majlis itu, fikiran menjadi semakin bercelaru dan semakin jelas telahan bahawa aku tersilap majlis.

Namun semuanya terjawab apabila pengacara majlis memulakan bicara. Benar aku berada dalam majlis seperti yang ditugaskan. Alhamdulillah.

Kehadiran orang bukan Islam dalam majlis itu adalah selari dengan motif penganjuran iaitu menggalakkan masyarakat bukan Muslim untuk melihat al-Quran sebagai dokumen sejagat.

Ternyata inisiatif Zubedy untuk menyemarakkan rasa cinta dalam kalangan orang ramai kepada al-Quran termasuk bukan Islam kepada kitab suci tersebut harus dipuji.

Dengan misi al-Quran harus didampingi, dibaca dan difahami isi kandungannya, Zubedy turut berharap agar kempen yang dianjurkan itu boleh memberi manfaat kepada semua.

Masyarakat bukan Islam disaran untuk turut sama membaca terjemahan al-Quran dan kemudiannya disebar luas sebagai perkongsian bersama.

Menerusi kempen Let’s Read The Quran 2018 selama sebulan bermula Mac ini, seluruh masyarakat di negara ini tanpa mengira fahaman agama yang dianuti dijemput bersama-sama berkongsi nilai-nilai murni yang terdapat dalam al-Quran.

Kempen tersebut ternyata mendapat sokongan penuh daripada Presiden International Movement of Just World (Just), Dr. Chandra Muzaffar yang memuji penganjuran majlis seumpama itu, sekali gus mendekatkan orang ramai terutama umat Islam kepada sumber rujukan utama dalam kehidupan.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia berkata, selain menjadi panduan dan sumber rujukan utama kepada umat Islam, al-Quran yang merupakan suatu rahmat kepada seluruh alam seharusnya dikongsi bersama dengan masyarakat bukan Islam.

Katanya, perkongsian nilai-nilai murni yang terdapat dalam al-Quran bakal mewujudkan rasa muhibah antara penganut berlainan agama di negara ini.

“Penganjuran program seumpama ini adalah inisiatif yang sangat baik dan harus disanjung tinggi. Bukan sahaja umat Islam dapat mendalami al-Quran, malah orang bukan Islam juga memperoleh peluang memahami isi kandungan kitab suci ini,” katanya kepada Mega Mimbar Utusan Malaysia.

Kempen Let’s Read The Quran 2018 yang bermula pada 1 Mac ini menggalakkan penyertaan daripada seluruh lapisan masyarakat untuk berkongsi ayat al-Quran dengan menandakan #LRTQ2018! pada setiap perkongsian dilaksanakan.

Yang turut hadir pada majlis pengenalan kempen Let’s Read The Quran 2018 itu ialah adinda Sultan Perak, Datuk Seri Raja Eleena Sultan Azlan Shah dan Pengarah Urusan Zubedy, Anas Zubedy.

Al-Quran sebagai penyatuan

Mengulas lanjut, Chandra berkata, kehadiran bukan Muslim pada majlis tersebut membuktikan mereka menghormati apa yang cuba dilakukan oleh Zubedy untuk kebaikan semua.

Jelasnya, walau apa juga faktor yang mendorong orang bukan Islam itu hadir, apa yang penting ialah umat Islam mengutamakan kesejahteraan sejagat dan mengamalkan hidup hormat menghormati antara satu sama lain.

Tambahnya, kehadiran dan penglibatan orang bukan Islam mencerminkan bahawa mereka berminat untuk mendengar segala kebaikan yang ada dalam al-Quran, seterusnya berkongsi dengan insan lain.

Menurutnya, bukan suatu yang mudah untuk menganjurkan satu majlis keagamaan yang mendapat penyertaan daripada penganut agama lain terutama melibatkan kitab kepercayaan sesuatu agama.

Sehubungan itu, beliau merasakan penganjuran tersebut adalah satu kejayaan besar dalam membentuk keharmonian beragama dan menghormati kepercayaan masing-masing.

“Di sinilah kita dapat bina sebuah jambatan yang dapat menghubungkan rasa kasih sayang antara satu sama lain biarpun berlainan kepercayaan dan anutan dalam agama.

“Rasa kasih sayang ini juga akan mengeratkan hubungan pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia, seterusnya mengukuhkan perpaduan yang berjaya dibina sejak dahulu lagi,” katanya.

KEMPEN LET’S READ THE QURAN 2018

1. Kempen selama sebulan bermula bulan ini.

2. Galakkan bukan Muslim melihat al-Quran sebagai dokumen sejagat.

3. Bukan Islam disaran membaca terjemahan al-Quran, kemudiannya disebar luas sebagai perkongsian bersama.

4. Setiap perkongsian ayat al-Quran disarankan ditandakan #LRTQ2018.

5. Bukan sesuatu yang mudah untuk menganjurkan majlis keagamaan yang mendapat penyertaan penganut agama lain terutama melibatkan kitab kepercayaan sesuatu agama.

6. Mampu bina jambatan menghubungkan rasa kasih sayang antara satu sama lain biarpun berlainan agama.