Ia sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Wahai sekalian jin dan manusia, jika kamu berupaya menembusi penjuru langit dan bumi, maka cubalah, kamu tidak dapat menembusinya melainkan dengan kekuasaan (ilmu).” (ar-Rahman: 33)

Terbukti kini, sebagaimana firman Allah kekuasaan (ilmu), tiada yang mustahil dengan perkembangan teknologi moden. Manusia bukan sahaja mampu terbang ke angkasa, malah menjejakkan kaki ke bulan.

Walau bagaimanapun, masih tidak sunyi diperdebat, pertembungan antara sains dan agama diibaratkan antara minyak dan air oleh segelintir golongan tokoh sains begitu juga pemikir agama kerana disifatkan tidak boleh bersatu.

Ini kerana realitinya, tidak semua peristiwa yang berlaku dalam agama dapat dirungkai menerusi kajian sains, begitu juga sebaliknya. Namun, perlu diakui sains tanpa panduan agama akan mengakibatkan kemudaratan, manakala agama tanpa sains menyebabkan kemunduran.

Menjelaskan perkara itu, Pensyarah Kanan, Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Istajib Mokhtar berkata, agama dan sains perlu diletakkan selari agar mengimbangi ekosistem manusia dan alam, sekali gus melahirkan kehidupan yang lestari.

“Mengikut ijtihad ulama, maqasid yang hendak dicapai oleh hukum Islam mengandungi dua dimensi iaitu jalb al-masalih (menghasilkan kebajikan) dan daf’u mafasid (menolak kerosakan).

“Oleh itu, kita tidak boleh hanya menghasilkan sesuatu yang positif semata-mata tanpa menolak unsur negatif, sebagai contoh memikirkan soal pembangunan dan kemajuan semata-mata tanpa mengambil kira kelestarian alam semula jadi.

“Penghasilan perkara positif yang seiring dengan penolakan perkara negatif inilah menjadi prinsip asas kepada matlamat syariat (maqasid syariah) dan hukum ditetapkan Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pemeliharaan Alam Sekitar Menurut Kerangka Maqasid Syariah pada Seminar Maqasid al-Syariah dan Perubahan Iklim di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat enam aspek maqasid pemeliharaan alam sekitar dinyatakan di dalam al-Quran untuk dijadikan panduan kepada manusia dalam meneruskan pembangunan dalam masa sama mengelakkan kerosakan.

MAQASID PEMELIHARAAN ALAM

1. Menghasilkan penanaman, penghijauan (tashjir dan takhdir) dan mencegah degrasi serta pemusnahan (tafsid)

  • “Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan daripada tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau...” (al-An’am: 99)

2. Menghasilkan pembangunan (ta’mir dan taskhir) dan mencegah eksploitasi (tasrif)

  • “... Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah ampunan kepada-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku sangat dekat dan memperkenan (doa hamba-Nya).” (Hud: 61)

3. Menjaga kebersihan dan kesihatan (tathir) dan mencegah pencemaran (talwith)

  • “... Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.” (al-Baqarah: 222)

4. Menjaga keseimbangan (wasat, tawazun) dan mencegah pembaziran sumber (tabdhir)

  • “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (al-Isra’: 27)

5. Memelihara biodiversiti (tanwwu al-hayawi) dan mencegah kepupusan (inqirad)

  • “Lalu dengan air itu, Kami tumbuhkan untuk kamu kebun-kebun kurma dan anggur, di dalam kebun itu kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan dari kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.” (al-Mu’minun :19)

6. Menghasilkan kebajikan (rifq) dan mencegah kezaliman (zulm) terhadap makhluk

  • “Maka dengan disebabkan rahmat (yang melimpah) daripada Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya.” (al-Imran: 159)

Sehubungan itu Mohd. Istajib berkata, menjaga dan memajukan alam sekitar berkait rapat dengan tauhid uluhiyyah serta rububiyyah yang menitikberatkan tanggungjawab manusia sebagai khalifah terhadap alam sekitar.

“Dengan menjaga alam, manusia sebenarnya menjaga agama (hifz ad-din). Adalah menjadi kewajipan manusia menjaga bumi ini yang dianologikan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bahawa masjid merupakan tempat sujud dan perlu dibersihkan.

“Jika bumi tidak dibersihkan maka bagaimana bumi mampu menjadi tempat sujud dan beribadat?” jelasnya.