Dakwah tidak sepatutnya terkurung hanya dalam ruang solat masjid, kelas pengajian atau lembaran buku. Dakwah perlu diberi ‘sayap perkasa’ agar boleh terbang tinggi jauh ke angkasa dengan perisian asas al-Quran dan Sunah. Roh dakwah dalam firman Allah ini mesti dilihat dalam sudut yang lebih dinamik:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan, nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (sasaran dakwahmu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang paling tahu akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih tahu akan orang yang mendapat hidayah petunjuk,” (al-Nahl 16:125).

Filem boleh menjadi ‘buku moden’ yang sangat berkesan dalam penyampaian pelbagai mesej agama seperti tasawuf, akidah, sosial, sejarah dan sebagainya. Jika dahulu, perang saraf berkaitan agama berlaku dalam lembaran kertas. Zaman moden pula menampilkan perang akidah antara agama boleh berlaku secara satira sinis dalam filem. 


NASKHAH DAKWAH

Tonton sahaja filem India bertajuk PK lakonan Amir Khan (2014) yang mengisahkan seorang makhluk asing terkandas di bumi kerana alat ajaibnya untuk pulang ke planet asalnya dicuri. Bagi mencari jalan kembali, beliau cuba mencari tuhan di India dan bertemu dengan ramai penunggang agama seperti watak ‘Tapasviji’.

Mudahnya filem ini memberi kesimpulan yang tuntas iaitu sebenarnya cuma ada dua tuhan di alam ini iaitu Tuhan sebenar Yang Maha Esa dan tuhan ciptaan manusia yang punyai kepentingan peribadi. Saya sangat kagum dengan filem ini kerana ia punyai mesej pengetuk minda yang disulam tawa.

Secara peribadi saya mulai berasa impak filem sebagai medium dakwah ketika berada dalam darjah lima pada 1986 setelah menonton filem arahan Datuk Rahim Razali bertajuk Tsu Feh Sofiah. Filem ini membawa mesej perpecahan politik Melayu yang kronik di sebuah pulau.

Kehadiran seorang doktor Cina bernama Tsu Feh mengubah konflik tersebut apabila beliau memeluk Islam dan memakai nama Sofiah. Watak tersebut dibawa dengan baik oleh pelakon Jacqueline Mitchell.

Bagi saya ia adalah bukti kejayaan garapan Datuk Rahim Razali hingga membuat budak berusia 11 tahun mampu berfikir dan menghayati makna dakwah.

Selain itu, karya Datuk Rahim Razali bertajuk Anak Sarawak (1989) yang memaparkan konflik keluarga ketika situasi darurat melawan komunis juga berjaya meninggalkan kesan mendalam pada pemikiran saya. Beliau berjaya memaparkan watak hero sebenar adalah orang berpelajaran tinggi dan bukan si pendekar yang hanya tahu menghunus keris tanpa otak dan strategi.

Contoh lain yang menunjukkan filem boleh menjadi buku tasawuf adalah telefilem Kabus (2010), gandingan lakonan Eman Manan dan Alex Komang. Ia berkisar kisah seorang pemburu (Eman Manan) yang sesat dalam hutan. Di sana beliau bertemu seorang perompak (Alex Komang) yang lari daripada kumpulannya.

Ketika ditanya adakah Allah masih sedia menerimanya kembali, Eman Manan mengejutkan saya dengan bacaan al-Qurannya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani,” (al-Zumar 39:53).

Pilihan ayat ini tepat dalam isu taubat. Bahkan para ulama mengatakan ayat ini adalah ayat yang punyai harapan paling tinggi dalam al-Quran kepada umat Islam (Tafsir al-Tabari). Ternyata penulis skrip filem itu adalah orang yang tahu tentang dakwah dan taubat.


PROPAGANDA BERKESAN

Antara filem luar yang pernah menarik perhatian anak muda Malaysia meminati seni bela diri tomoi adalah filem Thailand bertajuk Ong Bak (2003) lakonan Tony Jaa.

Saya lihat Tony Jaa berjaya membawa dua mesej besar melalui filem ini iaitu semangat patriotisme dengan seni bela diri kebanggaan Thailand dan isu ‘akidah’. Watak hero kampung datang ke bandar untuk menyelamatkan kepala patung Buddha dicuri punyai mesej akidah yang kuat. Pada akhir filem, temannya mati mempertahan kepala Buddha itu daripada dihancurkan musuh boleh difahami sebagai ‘mati syahid’ dalam versi agama Buddha.

Di Hollywood pula, Steven Spielberg antara pengarah filem yang sudah lama berdakwah dalam karyanya. Banyak karyanya memaparkan agenda agama Yahudi seperti koleksi filem Indiana Jones lakonan Harrison Ford.

Antaranya filem Raiders of The Lost Ark (1981) mengisahkan seorang ahli arkeologi Amerika Syarikat yang berusaha mencari dan menyelamatkan peti simpanan barang peninggalan Nabi Musa a.s. daripada jatuh kepada pihak Nazi. Peti yang digelar ‘The Ark of Covenant’ itu dikatakan mempunyai kuasa ketuhanan yang menjadi penghubung antara dunia dan langit. Ia juga memiliki kuasa tak terbatas yang mahu dieksploit pihak Nazi menjadi senjata pemusnah.

Pendek kata para pendakwah moden perlu menggunakan filem sebagai medium baharu menyampaikan mesej Islam.

Usaha Syamsul Yusof melalui siri filem Munafik patut dipuji dan dikembang luas agar wacana dakwah Islam mampu berbicara secara lebih realistik dan praktikal.

Saya berdoa agar diberi kesempatan menonton karya beliau, Munafik 2 kerana ketika menonton Munafik saya dapat rasakan kewujudan para penasihat agama di belakangnya.

Fenomena ini perlu diseragamkan agar filem status ‘Filem Halal atau Filem Patuh Syariah’ semakin berkembang di Malaysia Baharu. Insya-Allah!