Terdapat sekurang-kurangnya tiga faktor utama yang menjadi penyebab mengapa disiplin ilmu tasawuf menjadi terpinggir, sehingga tidak difahami dengan baik oleh kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

1 Disiplin ilmu tasawuf tidak dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran Pendidikan Islam yang diajarkan kepada para pelajar Muslim dalam sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia.

  •  Ia termasuk silibus khusus untuk sekolah-sekolah menengah kebangsaan agama yang ada di seluruh negara.
  •  Perkara sama juga berlaku kepada silibus untuk aliran sekolah agama-Arab yang kebanyakannya dikelolakan oleh majlis-majlis atau jabatan-jabatan agama negeri dan sekolah-sekolah agama rakyat.
  •  Peringkat menengah atas iaitu tingkatan enam, juga tiada mata pelajaran ilmu tasawuf. Silibus peringkat ini hanya memberi tumpuan kepada akhlak yang langsung tidak dikaitkan dengan ilmu tasawuf.
  •  Hanya peringkat pengajian di universiti, barulah mata pelajaran ini diperkenal. Itu pun untuk kalangan pelajar yang mengkhususkan dalam bidang pengajian Islam.
  •  Kalangan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat universiti terhad bilangannya, di samping pelajar yang membuat pengkhususan dalam bidang pengajian Islam pula hanya sebilangan kecil sahaja. Maka, jelaslah bahawa pendedahan ilmu ini menerusi pengajian formal kepada warga Muslim Malaysia sememangnya amat terhad sekali.
  •  Pengajian tidak formal yang diadakan di masjid dan surau, seperti dapatan daripada kajian di Kelantan juga tidak memasukkan ilmu tasawuf dan tarekat sebagai antara mata pelajaran yang diajar.
  •  Apa yang diajar hanyalah aspek akhlak yang langsung tidak dihubungkan dengan disiplin tasawuf. Alasan yang diberikan ialah kerana isi kandungan asasi ilmu tasawuf agak tinggi dan mendalam, dengan itu ia dikatakan tidak sesuai untuk golongan awam dan kalangan remaja.

2 Faktor kaitan disiplin ilmu tasawuf dengan permasalahan ajaran sesat di Malaysia.

  •  Berdasarkan pengalaman Malaysia dalam menangani permasalahan akidah umat Islam, boleh disimpulkan bahawa disiplin kerohanian Islam atau ilmu tasawuf termasuk juga tarekat dijadikan ‘kuda tunggangan’ oleh golongan yang terlibat dalam kancah ajaran sesat.
  •  Dengan gaya anyaman yang cukup seni dan halus, disiplin tasawuf dan tarekat dimanipulasi dan dieksploitasi secara menyeleweng untuk kepentingan jahat ajaran sesat berkenaan.
  •  Prof. Dr. Abdulfatah Ibrahim di dalam bukunya, Beberapa Masalah Utama Dalam Tasawuf’ menulis bahawa apabila disebut sahaja ajaran sesat, biasanya telunjuk mengarahkan kepada tarekat-tasawuf.
  •  Ungkapan tersebut menggambarkan betapa dalamnya keterlibatan ilmu tasawuf dan tarekat dalam keseluruhan kerangka ajaran sesat. Ia sudah bagaikan sesuatu yang teranyam rapi lalu menjadi semacam sinonim.

3 Merujuk kepada gerakan Salafi-Wahabi yang menolak disiplin ilmu tasawuf sebagai disiplin ilmu yang sah dalam Islam.

  • Pegangan golongan ini dipromosi dalam pelbagai ceramah dan seminar yang kemudiannya dimuatkan ke dalam media sosial untuk sebaran kepada khalayak Muslim.
  •  Mereka juga menulis buku untuk menjelaskan sikap mereka mengenai ilmu tasawuf seperti yang dilakukan, misalnya oleh Rasul Dahari yang menulis buku, ‘Bahaya Tarekat/Tasawuf Terhadap Masyarakat.’
  •  Buku ini secara terangan menyatakan bahawa disiplin ilmu tasawuf dan tarekat sebagai ilmu yang bertentangan dengan syarak dan mesti ditolak oleh orang yang memiliki akal fikiran waras.
  •  Walaupun hujahan Rasul Dahari disangkal secara ilmiah menerusi analisis cukup menarik dan meyakinkan oleh Nordi Achie seperti yang termuat dalam bukunya, Fitnah Sufi: Fatamorgana Tasawuf, Fenomena Tarekat’, namun tidak semua ahli masyarakat berpeluang membaca sanggahan yang dibuat misalnya oleh Nordi Achie tersebut.

KESIMPULAN

Adalah jelas bahawa ketiga-tiga faktor utama yang dihuraikan di atas memberikan sumbangan cukup bermakna kepada berlakunya ketidakfahaman dan kekaburan tentang selok belok ilmu tasawuf kepada sebahagian besar umat Islam di Malaysia.

Sumbangan ketiga-tiga faktor utama itu seolah-olahnya dapat digambarkan bahawa pada satu pihak pengajaran pendidikan Islam di sekolah tidak mendedahkan ilmu berkenaan sebagai sebahagian daripada silibus, sedangkan di tengah-tengah kehidupan bermasyarakat pula tidak juga didedahkan secara tidak formal, malahan ilmu tersebut pula ditanggapi bagaikan sejenis ilmu yang sinonim dengan ajaran sesat dan dipromosi sebagai bukan sebahagian daripada ilmu Islam.

Dalam keadaan sedemikian sudah pastilah disiplin ilmu ini menjadi jauh terpinggir dan tidak menjadi sebahagian daripada kandungan keilmuan agama yang dimiliki dalam kalangan ummah.

Dalam lain perkataan, istilah ilmu agama dalam konteks kefahaman umat Islam semasa di Malaysia, adalah tidak termasuk ilmu tasawuf dan tarekat.