2 Hakikatnya komitmen kerajaan terhadap agenda pendidikan Islam adalah amat tinggi sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam Agama Negara. Contohnya di Kelantan sahaja, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM21 juta yang mana setiap pusat tahfiz mendapat paling rendah antara RM202,000 sehingga RM250,000 bergantung kepada jumlah pelajar. Semuanya berdaftar dibawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

3 Peruntukan di atas tidak termasuk institusi-institusi agama yang sememangnya di bawah tanggungan kerajaan khususnya di bawah pemantauan Kementerian Pendidikan Malaysia. Setiap tahun kerajaan membelanjakan tidak kurang RM980 juta setahun untuk membiayai gaji dan emolumen hampir 59,000 guru-guru agama dan hampir 500 sekolah-sekolah agama termasuk sekolah aliran tahfiz dan ulul albab.

4 Peruntukan ini juga tidak termasuk sekolah-sekolah dibawah Mara seperti MRSM Ulul Albab aliran Tahfiz dan sekolah-sekolah agama yang ditanggung khusus oleh Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

5 JAKIM sendiri mendapat peruntukan hampir RM500 juta setahun untuk menanggung elaun 33,000 Guru-Guru Kelas Fardhu Ain, 3,950 Guru-Guru Takmir dan 14,254 para Imam seluruh Malaysia.

6 Kerajaan juga mempunyai Institusi Darul Quran JAKIM yang telah melahirkan 6,472 orang graduan yang ada antaranya adalah 'Hafiz Profesional' yang berkelulusan doktor, akauntan, jurutera dan pentadbir kerajaan melalui program kerjasama dengan universiti-universiti tempatan.

7 Terbaru di bawah Dasar Tahfiz Negara yang dicetuskan Perdana Menteri, kerajaan mensasarkan untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 di bawah gagasan TN50.

8 Selain yang disebutkan di atas, asas utama yang harus diketahui bahawa tanggungjawab pentadbiran agama Islam termasuk hal yang menyentuh sekolah-sekolah agama dan pusat-pusat tahfiz adalah di bawah kuasa negeri-negeri. Justeru, pendaftaran pusat tahfiz adalah di bawah pihak berkuasa agama negeri.

9 Berdasarkan penyelarasan data yang dibuat JAKIM di peringkat persekutuan sehingga kini terdapat 20 buah sekolah tahfiz milik kerajaan negeri dengan 4,643 murid dan 618 buah sekolah tahfiz swasta berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri dengan 37,902 murid.

10 Perkembangan mutakhir me­nun­tut penubuhan Jawa­tan­kuasa Khas yang dipe­nge­rusikan Timbalan Per­­dana Menteri (yang akan ber­si­dang Selasa ini). Penubuhan jawa­tan­kua­sa ini adalah usaha untuk meng­gembleng kesefahaman dan kerjasama yang baik antara agensi-agensi Persekutuan dan Negeri. Ini bagi memastikan operasi institusi-institusi pendidikan agama dapat berjalan dengan lebih teratur dan tersusun termasuk penekanan aspek keselamatan dan kebajikan. Ini juga bagi melicinkan koordinasi dari aspek pemantauan dan pengoperasian termasuk pendaftaran pusat-pusat tahfiz walau berhadapan kekangan perundangan masa kini.

Hakikatnya pertumbuhan seko­lah-sekolah agama dan tahfiz yang bagaikan cendawan selepas hujan memerlukan penggemblengan semua pihak bagi memastikan perja­lanannya mematuhi piawai keselamatan dan kualiti pendidikan yang sebenar. Ini termasuklah kerja­sama masyarakat agar tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama dan pusat-pusat tahfiz yang tidak berdaftar. Moga-moga tragedi Darul Ittifaqiah menjadi pencetus kepada kerjasama utuh antara pelbagai pihak termasuk agensi-agensi Persekutuan dan Negeri bagi mengelakkan perkara sama berulang kembali.