Namun malangnya, tindakan diambil seterusnya bukan sahaja meneliti dan semak tetapi ada juga yang menyebarkan dan memboikot produk tersebut tanpa mengkaji kesahihan berita diterima.

Sebagai contoh, tular kembali video berkaitan sembelihan ayam yang dibeli di sebuah pasar raya. Sembelihannya didakwa tidak halal walaupun ada logo halal pada pembungkusannya.

Lebih mendapat perhatian ramai apabila berita itu menjadi tular ketika Aidiladha lalu. Justeru Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil memberi pencerahan perkara yang berlaku dengan menjelaskan kaedah sembelihan dan menafikan tular tersebut dalam Facebook.

Perkara itu turut terkena tempias kepada penulis yang perlu menjelaskan dan menjawab secara teknikal kaedah sembelihan tersebut walaupun pada hari Tasyrik.

Di Malaysia, harga ayam dikawal oleh kerajaan terutama musim perayaan. Ada ayam standard dan ada ayam super. Ayam standard adalah ayam yang dijual lengkap dengan kepala dan kaki masih bersambung. Harganya adalah lebih murah.

Manakala, ayam super adalah ayam dijual tanpa kepala dan kaki yang telah dibuang oleh rumah sembelihan dengan menggunakan kaedah pembuang kepala (head puller). Kaedah ini telah mendapat pengiktirafan kesihatan daripada Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV).

Harganya lebih mahal tetapi lebih berkualiti serta selamat kerana kepala dan kaki mempunyai bakteria berbahaya daripada pandangan sains kesihatan.

Bagaimanapun, pengguna Islam tetap juga ingin tengok kepala dan kaki ayam yang lengkap, beranggapan untuk melihat sendiri urat-urat di leher ayam. Walaupun mempunyai logo halal, timbul isu lain apabila kepala ayam itu diletakkan semula.

BERLAINAN KAEDAH TRADISIONAL

Isu utamanya adalah kaedah sembelihan. Pengguna Islam tidak boleh menyamakan kaedah sembelihan diajar oleh ustaz atau tok guru di sekolah dulu iaitu perlu memegang setiap ekor ayam, sembelih dengan memutuskan halkum dan marikh serta dua urat darah kemudian dilepaskan ke tanah.

Realiti sembelihan kini di rumah sembelihan mencapai ratusan ribu ekor sehari. Bagaimana kaedah sembelihannya?

Sekiranya kita memahami ilmu sembelihan moden, kaedah dan prosedurnya barulah kita akan faham mengapa ia berlaku dan tidak mudah untuk kita mengharamkan sesuatu yang sebenarnya halal disebabkan oleh kekurangan ilmu kita.

Apabila video tersebut menjadi tular, maka ramai pengguna mengharamkan ayam yang halal. Kredibiliti JAKIM dipersoal seolah-olah memberikan sijil halal kepada ayam yang haram.

Penulis tidak menyalahkan pengguna kerana mereka tidak didedahkan secukupnya sembelihan dalam teknologi semasa, namun pengguna dinasihatkan agar merujuk kepada pakar jika tidak mengetahui sesuatu perkara.

Kita sering mendengar ‘fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh’, tetapi sejauh mana kita memahami tentang ungkapan tersebut, atau sekadar hanya ikutan dan penyedap kata-kata sahaja. Sebenarnya itu peringatan daripada Allah SWT maksudnya: “Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada fitnah.” (al-Baqarah: 217)

Apatah lagi dunia maya masa ini menyaksikan fitnah berlaku di hujung jari. Dalam konteks isu halal, tidak dinafikan bagai tiada penghujungnya, setiap masa ia menjadi perbualan hangat dan fitnah dalam kalangan masyarakat yang tidak mengetahui isu sebenar.

Sedangkan isu tersebut adalah pengulangan bertahun-tahun lamanya termasuk isu sembelihan. Malangnya, ia masih menjadi tular menerusi pelbagai saluran terutama media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram dengan begitu cepat.

Menimbulkan Kegelisahan

Menularkan isu halal seperti ini hanya akan mengakibatkan kegelisahan masyarakat terutama umat Islam yang cukup sensitif tentang makanan halal dan haram.

Ini adalah persepsi masyarakat terhadap isu-isu halal yang akhirnya menyebabkan masyarakat keliru. Sehingga hebat diperkata; “produk ini halal atau haram, tetapi ada logo halal? JAKIM buat apa, sekejap halal sekejap haram?”

Maka ramai tuduh-menuduh dan fitnah-memfitnah sesama sendiri. Perkara ini secara tidak langsung mewujudkan perpecahan serta perbezaan pandangan yang mengelirukan. Bagaimanakah sikap kita terhadap berita yang belum diketahui kebenarannya dan bersumber daripada orang belum kita ketahui kejujurannya?

Allah berfirman maksudnya: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (al-Hujurat : 6)

Jika kita tidak pasti status halal atau haram sesuatu produk, maka kita seharusnya merujuk kepada pakar atau berilmu dalam bidang itu iaitu JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Sehinggakan ulama terkemuka, Sheikh Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya berjudul ‘Halal dan Haram dalam Islam’ menyamakan orang yang mengharamkan yang halal dan sebaliknya seperti mensyirikkan Allah.

Dalam hal ini, kita sebagai pengguna bijak seharusnya mempercayai dan yakin dengan badan yang diberi tanggungjawab oleh pemerintah untuk mengesahkan sijil dan logo halal. Kaedah terbaik adalah yakini halal Malaysia yang terdapat pada produk atau boleh merujuk kepada direktori halal di www.halal.gov.my.