Dia bertemu dengan Osama Bin Laden di Kandahar tetapi tidak disukai Osama kerana pandangan tegarnya. Namun begitu, dia dibekalkan wang sebanyak AS$200,000 (RM890,000) oleh Osama sebagai pinjaman untuk membina sebuah kem latihan di Herat, bandar ketiga terbesar di Afghanistan.

Di kem ini, dia menubuhkan Jund al-Sham, memiliki sekitar 150 anggota, melatih militan untuk mengeluarkan senjata kimia dan dikatakan sebagai antara kemudahan latihan al-Qaeda walaupun Zarqawi belum berbaiah dengan Osama.

Kemudiannya, dia menghantar Abu Abdel Rahman al-Shami untuk membina jaringan dan menubuhkan Jund-al-Islam di utara Iraq, di wilayah semiautonami Kurdistan yang terlindung daripada ancaman Saddam Hussein ketika itu kerana zon larangan terbang.

Jund al-Islam menguasai kawasan pergunungan seluas 500 kilometer persegi, diduduki sekitar 200,000 orang dan selepas peristiwa 11 September 2001, ia bergabung dengan sel militan lain serta membentuk kumpulan yang lebih besar, dikenali sebagai Ansar al-Islam.

Apabila pemerintahan Taliban di Afghanistan dijatuhkan oleh Pakatan Utara dan negara Barat, Zarqawi yang tercedera dengan pengikutnya seramai 300 orang melarikan diri ke Kandahar sebelum memasuki Iran dan mendapat rawatan di Mashhad. Usaha Kerajaan Jordan melakukan ekstradisi terhadapnya ketika itu kerana merancang serangan ke atas beberapa lokasi di Jordan, menemui kegagalan.

Kemudiannya, Zarqawi memindahkan pasukannya ke wilayah Kurdistan Iraq dengan bantuan Ansar al-Islam dan seterusnya menubuhkan sel kecil di Biyara. Selepas beberapa bulan, sel ini dijenamakan semula sebaga Jama’at al-Tawhid Wal Jihad (JTWJ). Semasa Iraq diserang dari 19 Mac ke 1 Mei 2003, Zarqawi telah menubuhkan ‘sel senyap’ di Baghdad.

Kemudiannya, pemberontakan bersenjata ke atas Tentera Amerika Syarikat (AS) bermula oleh pejuang pro-Saddam sebelum disertai JTWJ. Namun selepas Saddam ditangkap pada 13 Disember 2003, kebanyakan pejuang pro-Saddam meletakkan senjata atau memasuki pelbagai kumpulan jihad.

MULA TUNJUK ‘TARING’

JTWJ menunjukkan taringnya apabila melaksanakan tiga serangan pada Ogos 2003 iaitu meletupkan sebuah kereta di Kedutaan Jordan di Iraq pada 7 Ogos 2003 (membunuh 17 orang) dan menggunakan pengebom bunuh diri di Misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Iraq pada 19 Ogos 2003 (membunuh 20 orang termasuk wakil khas PBB di Iraq).

Pada 29 Ogos 2003, JTWJ melancarkan serangan bom kereta ke atas Masjid Imam Ali Syiah di Najaf, menggunakan bapa mertuanya ‘untuk syahid’ yang membunuh 95 orang daripada kalangan jemaah yang berkumpul untuk solat Jumaat. Pada 27 Oktober 2003, JTWJ melakukan pelbagai serangan bom berkereta disasarkan kepada pasukan polis Iraq dan Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa yang membunuh 35 orang dan mencederakan sekitar 220 orang.

Bermula tahun 2004, Iraq menyaksikan perubahan bentuk darurat daripada militan pro-Saddam kepada militan jihad terdiri daripada kumpulan Sunni Iraq dan militan antarabangsa dengan agenda Salafi.

Pada 2 Mac 2004, serangan bom JTWJ membunuh 185 orang awam sempena Hari Asyura. Pada 6 April 2004, dengan merujuk kepada pendapat Ibn Taimiyyah, Zarqawi menyampaikan mesej kepada golongan Sunni Iraq bahawa Syiah bukan Muslim yang sebenar. JTWJ cuba menyerang Jordan apabila sebanyak 20 ton bahan kimia dan letupan dirampas di rumah milik ahli TWTJ di Amman. Turut dirampas adalah tiga trak besar yang diubah suai untuk merempuh halangan keselamatan.

Pada Julai 2004, JTWJ sekali lagi membunuh 98 orang Syiah di Masjid Syiah. Dalam bulan Ogos 2004, JTWJ terlibat membunuh lebih 100 orang awam dan pada September 2004, Zarqawi mengisytiharkan ‘perang’ ke atas golongan Syiah Iraq. Kegagalan tentera bersekutu dan kerajaan Maliki al-Nouri di Baghdad mewujudkan keamanan dan ketenteraman awam menyaksikan Fallujah, Samarra, Baquba dan Raadi berada bawah kawalan pelbagai kumpulan militan.

PENGAJARAN EVOLUSI DARI JUND AL-ISLAM KE JTWJ

  • Sebahagian mujahidin Perang Soviet-Afghanistan bertukar menjadi militan dengan melancarkan serangan, pemberontakan ke atas pemerintah Muslim di negara asal mereka, seperti Arab Saudi, Jordan, Algeria, Indonesia, termasuk Malaysia.
  • Kumpulan pengganas berevolusi mengikut persekitaran untuk meneruskan kelangsungan mereka dengan berhijrah ke tempat lain, mendapatkan kerjasama sesiapa yang boleh membantu, merekrut ahli baharu dan melakukan penjenamaan semula, seperti berlaku di Filipina dan Indonesia.
  •  Sesebuah kumpulan pengganas bermula dengan sel yang kecil, menjadi besar apabila bergabung dengan sel-sel lain yang berkongsi matlamat sama, berkompromi atas matlamat tidak disepakati.
  • Kumpulan pengganas tidak mengambil kira orang awam, pihak berkecuali, pasukan bantuan kemanusiaan, ahli NGO terbunuh atau masjid yang rosak apabila melakukan serangan. Ini bertentangan dengan Islam, nilai-nilai sejagat dan prinsip kemanusiaan.
  • Negara kucar-kacir, penuh konflik mudah dieksploitasi pihak luar dan kumpulan pengganas untuk bertapak serta berkembang.