Sebenarnya 61 tahun kemerdekaan adalah tempoh singkat berbanding dengan 446 tahun negara dijajah. Negara pernah dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

Tentulah dalam tempoh yang begitu lama, kesan penjajahan itu agak sukar untuk dihapuskan walaupun setelah merdeka.

Namun itu bukanlah alasan bagi tidak meloloskan diri daripada minda penjajahan.

Kemajuan negara berbanding zaman pramerdeka amatlah ketara. Untuk itu sekalung tahniah diucapkan kepada setiap rakyat Malaysia yang tidak putus-putus berusaha membangunkan negara, begitu juga kerajaan dalam memacu kemajuan negara hingga disegani di setiap pelosok dunia.

MASIH BERGANTUNG

Namun, dalam menikmati kebebasan ini terdapat beberapa aspek yang masih terus ‘dijajah’ khususnya perundangan.

  • Umpamanya kebergantungan mahkamah sivil di Malaysia terhadap undang-undang lazim (common law) Inggeris melalui seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 masih menjadi aspek penting dalam penghakiman di mahkamah walaupun telah merdeka.
  • Kita masih meminggirkan budaya, adat resam, norma dan agama dengan mengimport tatabudaya dan norma asing dalam undang-undang iaitu undang-undang lazim Inggeris.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz pernah menyarankan supaya undang-undang lazim Malaysia digarap dan menyuntik elemen undang-undang serta jurisprudens Islam.

Tambatan kepada undang-undang Inggeris perlu dihentikan dan keutamaan kepada prinsip undang-undang Islam yang lebih mencerminkan kehendak majoriti rakyat Malaysia direalisasikan.

Namun golongan ultrasekular yang tidak menyelusuri hakikat sejarah negara, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa undang-undang lazim Inggeris telah berperanan baik selama ini.

Tentangan ini seolah-olah mahu membawa negara ke era prakemerdekaan. Mereka masih mengutamakan norma dan budaya penjajah berbanding norma serta budaya masyarakat di Malaysia sendiri.

Jelas kongkongan pemikiran penjajah masih menebal dalam diri mereka dan menolak budaya arus perdana rakyat Malaysia.

FAHAMI UNDANG-UNDANG ISLAM

Sikap ini sebenarnya timbul akibat kedangkalan ilmu undang-undang Islam yang adil tanpa mengira bangsa dan agama. Undang-undang Islam adil bukan hanya kepada manusia malah kepada sekalian alam semesta.

Perkara ini dapat dilihat umpamanya dalam undang-undang Islam yang begitu mengambil berat tentang pemeliharaan alam sekitar dan tanggungjawab manusia terhadap alam sekitar.

Undang-undang Islam lebih mementingkan aspek tanggungjawab manusia, manakala undang-undang Barat seperti Inggeris pula lebih mengutamakan hak. Itulah sebabnya golongan ini terlalu mementingkan hak asasi manusia berbanding dengan tanggungjawab asasi manusia.

Mereka begitu angkuh terhadap Pencipta dan menuntut pelbagai hak tanpa melunaskan tanggungjawab mereka.

Natijahnya, masyarakat menjadi terlalu mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawab bersama. Masyarakat juga menjadi terlalu individualis dan tidak memadu kudrat bagi mempertahan identiti serta sahsiah diri.

Kenapakah kita lebih mudah menerima perkara asing tanpa persetujuan berbanding jurisprudens Islam yang mana sebahagian besar rakyat Malaysia mengamalkannya dan pernah suatu ketika dahulu diamalkan secara menyeluruh di Malaysia?

Sikap tidak menyenangi orang Islam mengamalkan agama mereka secara sepenuhnya adalah berpaksikan kepada ketidakfahaman tentang ajaran Islam sendiri dan kekeliruan berhubung kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiada siapapun boleh mempertikai kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang diusahakan oleh orang Islam sekarang hanyalah untuk mengembalikan Islam pada kedudukan sebenar sebagaimana sebelum penjajahan.

SUDAH TIBA MASANYA

Orang Islam perlu cuba menerangkan keadaan ini kepada rakan bukan Islam agar syak wasangka ini bakal terpadam.

Tiada alasan untuk gusar jika orang Islam melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya kerana Islam menjamin kebebasan beragama.

Sejarah juga membuktikan Islam tidak pernah disebarkan secara paksaan. Malah jaminan kebebasan beragama dalam Islam adalah lebih luas berbanding termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelahiran golongan ultrasekular pada saat negara sudah mencecah usia 61 tahun adalah fenomena amat dikesali.

Keterbukaan pemimpin negara masa ini dalam isu-isu sensitif tidak sepatutnya dimanipulasi sehingga memijak keluhuran dan kedaulatan Islam di Malaysia.

Keterbukaan pemimpin negara mendengar permasalahan yang timbul menggambarkan pemimpin Islam di Malaysia mengamalkan prinsip selari panduan Islam.

  • Golongan ini juga seolah-olah menggambarkan mereka yang mahukan Islam adalah golongan yang menolak undang-undang dan antiperpaduan.
  • Pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap golongan Islam termasuklah menuntut pihak-pihak yang inginkan Islam meletak jawatan, disingkirkan daripada jawatan dan sebagainya.

Ini adalah tindakan tidak bertamadun yang tidak menghayati semangat Perlembagaan Persekutuan.

Golongan yang inginkan Islam sebenarnya tidak pernah meminggirkan perpaduan kerana perpaduan itu sendiri adalah tuntutan dalam Islam.

Apa yang diperjuang ialah undang-undang lebih adil dan mengamalkan suruhan serta perintah agama dalam erti kata yang sebenar.

Dalam hal demikian, sudah tiba masanya pengamal undang-undang di Malaysia mengakui hakikat bahawa Islam adalah sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia. Islam telah sebati dalam diri dan jiwa rakyat Malaysia.

Malah rakyat bukan Islam juga mengakui hakikat ini.

Marilah sama-sama menganjak paradigma ke arah melaksanakan undang-undang lazim Islam yang lebih sesuai dan adil kepada masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa juga agama.

Memartabatkan Islam bukanlah bererti menolak Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi kerana Perlembagaan Persekutuan itu sendiri memberi ruang kepada pelaksanaan Islam ke tempat paling tinggi.

Dalam era Malaysia Baharu, sikap sebegini harus pupus daripada minda rakyat. Malaysia merupakan tanah watan bersama tetapi hakikat sejarah tidak harus dikesampingkan.