Saudara mara? Jangan cakaplah, bagaikan peluru penabur mereka ‘menembak’ aku. Mereka semuanya tak faham kerana apa yang aku lakukan adalah untuk kebaikan diri dan keluarga.

Selama ni bukan mereka yang menyuapkan makanan kepada keluarga aku. Yang mereka tahu, hanya melemparkan kata-kata keji. Sekali lagi aku katakan, hanya aku yang faham dunia aku. Yang penting, aku bahagia dan dapat mengubah nasib keluarga.

Selama ini, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Aku hidup serba kekurangan, namun sejak tiga tahun kebelakangan ini, mintalah apa sahaja, akan aku penuhi permintaan keluargaku. Hari ini soal duit bukan lagi masalah. Niat aku untuk membantu keluarga dan adik-adik yang berderet macam kereta api.

Ayah? Dia tak pernah pun ambil tahu tentang aku. Apatah lagi untuk memahami naluriku. Herdikan dan makian, sudah menjadi makananku. Baginya, aku anak ‘cacat’ yang sengaja berperwatakan lembut untuk meraih perhatian orang!

Aku akui nasib aku sebagai anak sulung tidak seuntung adik-adik. Sejak tingkatan 3, sudah berhenti sekolah untuk menolong ibu. Segala benda aku buat, asalkan dapat duit. Hasil titik peluh itu, adik-adik dapat meneruskan persekolahan. Aku bukan sahaja pandai memasak, mengubah bahkan mengandam.

Apabila berhijrah ke Kuala Lumpur, penampilanku berubah. Apatah lagi bila job semakin lebat. Atas nasihat kawan-kawan, aku menukar imej menjadi seorang wanita. Aku ambil pelbagai pil untuk mendapatkan kulit yang gebu, mulus dan halus.

Semuanya untuk memudahkan mendapat tawaran-tawaran lumayan. Tukar jantina? Niat itu pernah terlintas pada hati, tapi belum nekad lagi untuk melakukannya. Rasanya aku masih ada iman.

Yang pasti, ibu mana tidak terkejut dengan perubahan anak lelakinya. Puas dia memujuk supaya berubah. Sukar! Mana mungkin aku berpatah balik. Tidak mahu ibu terus berleter, aku ambil keputusan untuk tidak lagi menjenguk ibu, adik-adik dan ayah di kampung. Namun setiap bulan, aku tidak pernah lupa mengirimkan belanja untuk keluarga di kampung.

PANDANGAN KAUNSELOR

Sememangnya apa yang ditetapkan oleh Islam, keputusannya tidak akan pernah berubah atau bertukar. Setiap kejadian Allah itu jelas. Lelaki atau perempuan. Khunsa? Dia juga makhluk Allah SWT yang akhirnya, apabila tiba masa bersesuaian, pilihan perlu dibuat, lelaki atau perempuan.

Terdapat banyak perbincangan ulama dan pandangan ahli perubatan berkaitan dengan hal tersebut. Di mana kecenderungan itu lebih banyak, maka di situlah keputusannya. Hanya satu dan tiada dua!

Hakikatnya:

  • Tiada istilah naluri wanita terperangkap dalam badan seorang lelaki. Kejadian Allah itu sudah cukup sempurna. Tetapi bagaimana manusia membawa perwatakan dan mendidik nafsunya, itulah yang memerlukan kekuatan serta keimanan.
  • Menjadi lelaki lembut, bukan satu kesalahan. Sekalipun ia bersifat semula jadi, namun keistimewaan dimiliki adalah anugerah Allah yang boleh dimanfaatkan tanpa sedikit pun melanggar aturan syarak.
  • Setiap kejadian manusia itu berbeza-beza dan ia tidak sama antara satu sama lain. Perbezaan itulah yang mengajak manusia untuk saling mengenali antara satu sama lain dan berfikir kebesaran Allah.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat:13)

  • Yang paling pasti, Allah tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Lantas, gunakanlah akal untuk berfikir agar perbezaan yang dimiliki mendatangkan kebaikan tanpa melanggar batas halal dan haram.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal; (Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka,” (Surah Ali Imran: 190-191)

Hakikatnya perbezaan yang Allah ciptakan adalah rahmat bagi mereka yang meletakkan keyakinan bahawa ‘kewujudan’ dan ‘kejadian’ mereka seumpama itu, adalah kehendak Allah. Menukar perwatakan mahupun jantina demi kepuasan dan tuntutan nafsu serta mencari habuan dunia, tidak akan pernah memberikan kebahagiaan. Jangan menipu diri sendiri dan menafikan apa yang dimiliki. Kembalilah kepada tuntutan agama. Tanpa agama, manusia hanyut dan tanpa agama, kebahagiaan tidak selamanya berkekalan.

TIP KAUNSELOR

1. Mencari kepuasan dengan mengubah kejadian Allah bukanlah jalan terbaik. Sebaliknya kekal dengan perwatakan sedia ada dan mengambil manfaat daripadanya tanpa melanggar batasan syarak, adalah lebih baik dan dipandang mulia di sisi Allah.

2. Setiap yang berlaku itu adakalanya ujian Allah untuk menguji manusia agar memilih antara iman dan nafsu. Dalam keadaan ini syaitan bakal memainkan peranannya.

“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdaya mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata,” (Surah an-Nisa: 119)

3. Menukar perwatakan berlainan jantina setelah jelas jenis jantinanya adalah perkara yang amat dilarang dalam Islam. “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki,” - Riwayat Bukhari.

4. Walau apapun keadaannya, tiada ruang yang dibenarkan Islam untuk seseorang berperwatakan berlainan jantina sekalipun untuk suka-suka.

5. Mempunyai sifat-sifat kewanitaan dalam diri seperti gaya percakapan, berjalan dan sebagainya, selagi ia tidak dibuat-dibuat dan bersifat semula jadi tidak menjadi kesalahan dalam Islam.

6. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982 memutuskan, seseorang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki, manakala seseorang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun (lelaki atau perempuan itu) berjaya menukarkan jantinanya melalui pembedahan. Pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan ataupun sebaliknya, melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak.