Sikap yang lebih kepada usaha mempertahan hak-hak dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan bakal menyukarkan usaha untuk merapatkan jurang antara aliran tahfiz (persendirian) dengan pendidikan tahfiz arus perdana sedia ada (berdaftar dengan kerajaan negeri dan Persekutuan)

“Jika semangat keberasingan masih tebal dalam kalangan pentadbir dan penggubal undang-undang berkenaan, maka ia akan merugikan masa depan aliran pendidikan tahfiz di negara ini, seolah-olah seperti mewujudkan suasana antara dua darjat.

“Inilah ibu kepada permasalahan tersebut dan saya percaya ia boleh diselesaikan jika mereka bersikap lebih terbuka,” kata Pensyarah Pusat Citra UKM, Dr. Azizi Umar.

Tambah beliau, suasana tersebut menyebabkan sistem pendidikan agama akan terus terabai walaupun semua pihak menyedari aliran pendidikan itu kini mendapat perhatian tinggi dalam kalangan ibu bapa.

Katanya, pada masa ini jumlah pelajar dan guru tahfiz sama ada yang berada dalam arus perdana atau persendirian amat ramai iaitu mencecah jutaan jumlahnya.

  • Pelajar tahfiz arus perdana, jumlahnya adalah 4.6 juta orang dan persendirian pula, 1.72 juta orang.
  • Bilangan guru dalam arus perdana, kira-kira 421,828 dan persendirian sebanyak 69,575 orang.

“Jumlah itu tidak termasuk sekolah tahfiz tidak berdaftar dan saya dimaklumkan bahawa terdapat 669 sekolah yang tidak berdaftar. (sumber: Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dan Sistem Maklumat Pendidikan Islam (Simpeni).

“Keengganan untuk berdaftar tersebut kerana mereka bimbang implikasi hilang identiti, takut wujud campur tangan dalam pengurusan sekolah dan tidak tahu apakah kelebihan bila berdaftar,” katanya.