Pelik benar jika kita dengar ada orang yang ikhlas menasihati temannya yang tenggelam dalam nikmat kesenangan seperti dialog di atas. Si kaya, si tampan atau orang yang berpangkat pasti tersentak melopong setelah mendengar nasihat penuh belas kasihan daripada temannya itu. Barangkali segera dipegang dahi si pemberi nasihat sambil berkata:

“Anda sihat? Sudah makan ubat hari ini?”

Kelihatan nasihat sabar atas ujian senang di dalam dialog di atas mustahil berlaku kerana konotasi ‘ujian’ hanya sinonim dengan situasi susah atau kehidupan yang sukar. Itu tenungan mata zahir kita, apa pula kata al-Quran? Firman Allah:

Setiap diri akan merasai mati, dan Kami uji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan,” (al-Anbiya’[21:35]).


HIDUP ADALAH UJIAN

Sebenarnya manusia akan sentiasa diuji Allah sepanjang hidup mereka kerana dunia adalah pentas ujian. Kadangkala ujian datang dengan kesusahan dan kadangkala dengan kesenangan. Dengan semua ujian itu, Allah mahu melihat siapa yang syukur, kufur atau tahu mengatur tutur. Tutur syukur pada lidah pula wajib seiring dengan jiwa yang luhur kerana ada manusia yang nampak pada zahirnya seperti syukur tapi jiwanya penuh kufur.

Walaupun pelik dan janggal, sebenarnya ujian kesenangan jauh lebih sukar dihadapi berbanding ujian kesusahan.

Buktinya:

  • Ketika manusia ditimpa susah, lidah mereka senang mengenang Allah. Rumah Allah kerap dikunjungi bagi mengadu nasib diri. Kain sejadah menjadi teman harian kerana sangat mengharapkan belas kasihan-Nya.
  • Ketika diri bermandi senang, harta bertimbun menjadi tempat berenang, jasa Allah langsung hilang. Kononnya segala kesenangan bukan daripada kurniaan Allah tetapi kerana diri yang gigih berjuang, mencari harta malam dan siang.
  • Ini disebut Allah dalam kisah Qarun hartawan yang malang:

“Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia tahu bahawa Allah telah binasakan sebelumnya, umat yang telah lalu, orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya),” (al-Qasas [28:78]).

  • Dalam firman lain, Allah SWT menyedarkan kita dengan mata fikir manusia yang singkat:

“(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!” Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghina daku!,” (al-Fajr [89:15-16]).


ELAK JADI ISTIDRAJ!


Oleh itu, setelah tahu hakikat ujian yang sebenar, mata hati kita perlu celik dan terang!

Contohilah Nabi Sulaiman a.s. yang tahu bersyukur ketika dimandikan nikmat oleh Allah. Hayati dan amalkan doa baginda ini agar kita tidak terbabas daripada landasan iman yang sebenar:

“Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan dia berdoa dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmat-Mu - dalam kumpulan hamba-Mu yang soleh,” (al-Naml [27:19]).

Jika ujian susah memeritkan jiwa dan memenatkan jasad, bersyukurlah kerana kita lebih senang melihat pantulan kuasa Allah di sebalik ujian tersebut. Sebaliknya jika kita bermandi dalam ujian senang kita akan mudah hanyut atau lemas tanpa sedar.

Ujian senang boleh bertukar menjadi ‘istidraj’ jika jiwa manusia tidak dikejutkan untuk mengenal Pemilik sebenar semua nikmat tersebut. Istidraj adalah kelebihan yang diberikan Allah kepada makhluk dalam murka-Nya. Apabila si makhluk tewas dalam ujian senang itu, nyawanya direntap keras lalu jatuhlah dia tertiarap.

“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingat mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan),” (al-An’am [6:44]).

Oleh itu, bukalah mata hati anda sepanjang masa dan sentiasalah berpaut pada tali agama agar ujian senang yang diberikan Allah tidak bertukar menjadi musibah agama yang menyebabkan kita karam dalam lautan api di akhirat kelak.

Mohon dijauhkan Allah!