Malah, Rasulullah SAW menganggapnya sebagai satu jalinan hubungan paling kukuh, sebagaimana dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud, “Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah serta marah juga kerana Allah.”

Jadi tidak hairanlah apabila Pengarah Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Abdull Rahman Mahmood menyifatkan ukhuwah itu sebagai amat penting dalam pembangunan ummah pada masa depan.

“Situasi semasa umat Islam sama ada majoriti atau minoriti dilihat begitu mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam, sekali gus dipandang rendah, lemah dan pelbagai tohmahan negatif lain,” katanya semasa Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Kampung Kedahan, kira-kira 30 minit perjalanan dari pusat bandar Nakhon dalam wilayah Nakhon Si Thammarat, Selatan Thailand.

Forum perdana itu diadakan sempena program Kembara UKM - Pondok Ban Tan di wilayah berkenaan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, jelas Abdull Rahman, kekuatan ukhuwah bergantung kepada sejauh mana kemantapan perpaduan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

“Kemantapan perpaduan itu amat perlu sama seperti sebuah bangunan yang tapak asasnya wajib diperkuatkan. Atau seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggotanya merasai sakit, maka seluruh anggota lain akan turut menanggung penderitaannya.

“Umat Islam seharusnya juga membuang tanggapan bahawa bila tidak ramai, ia mampu mewujudkan satu tarikan ke arah ikatan luar biasa tetapi bila ramai, mereka akan bergaduh sesama sendiri walaupun hanya melibatkan perkara remeh,” katanya.

Kata Abdull Rahman, ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.

“Ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT bermaksud, “Sesungguhnya orang Mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat,” (al-Hujurat: 10),” katanya.

Beliau berkata, umat Islam tidak seharusnya menjadi seperti buih-buih sabun yang nampak cukup banyak tetapi bila diangkat atau ditapis, ia hilang tanpa dapat dikesan.

“Kita perlu jadi seperti pasukan bola sepak. Menang atau kalah, bukan kerana faktor seorang individu tetapi lebih kepada kekuatan semangat perpaduan yang ada dalam kalangan barisan pemain dan kejurulatihan,” katanya.

PEDOMAN

Jangan jadi seperti buih-buih sabun yang nampak banyak tetapi bila diangkat atau ditapis, ia hilang tanpa dapat dikesan.

Perpaduan 
dalam Islam mesti dibuktikan dan dilaksanakan, bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.

Situasi semasa, sama ada majoriti atau minoriti umat Islam begitu mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam.

Ukhuwah atau jalinan hubungan yang kukuh sesama Muslim amat penting dalam pembangunan ummah.