Antaranya, pelbagai program realiti dakwah diperkenal bagi mencari pelapis baharu sama ada menerusi siaran langsung di televisyen atau tertutup.

Istimewanya, bukan sahaja berlatarbelakangkan pendidikan Islam, malah mereka daripada jurusan konvensional turut mengambil peluang berdakwah menerusi saluran yang tersedia.

Perkara ini merupakan satu anjakan membanggakan apabila lahir ramai pendakwah dari pelbagai bidang yang boleh menyebarkan dakwah kepada rakan bidang sama kerana lebih memahami keperluan dan kekeliruan agama golongan tersebut.

Bagaimanapun, pendakwah dinasihatkan agar mengakui kemampuan masing-masing sebelum menerima tawaran untuk menyampaikan sesuatu topik ceramah agama supaya tidak menyimpang ketika berdakwah.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Muhamad Hafizi Sulaiman berkata, perkara ini penting bagi mengelakkan pendakwah daripada memetik sumber tidak sahih sebelum disebarkan kepada pendengar.

“Tidak dinafikan, tiada manusia yang sempurna dan pakar dalam semua bidang.

“Oleh itu, pendakwah perlu mengetahui kebolehan masing-masing untuk menyebarkan ilmu agama kerana mereka bertanggungjawab terhadap apa yang disampaikan.

“Jika kita lihat kembali sejarah ulama terdahulu, mereka berstatus alim tetapi jika diundang ceramah dan diberikan topik yang bukan daripada bidangnya, mereka tidak terima atau tidak hadir pada majlis tersebut. Ini kerana mereka bimbang ilmu yang diajar tidak benar,” katanya.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat terhadap pendakwah perlu dimanfaatkan bagi menyebarkan ilmu yang benar dan tidak mengelirukan agar selari dengan perintah syariat Islam sebenar.

“Jangan kerana ingin mengejar sesuatu kita sanggup terima semua undangan memberikan ceramah sehingga tidak sempat membuat ulang kaji.

“Mungkin mudah memperoleh segala maklumat pada zaman ini menerusi Internet hanya menggunakan telefon bimbit, namun sejauh manakah sumber itu tepat?

“Ini kerana, banyak hadis bertaraf lemah atau palsu dan kisah-kisah rekaan Israiliyyat dan Nasraniyyat ini juga dilihat turut disebarkan oleh golongan agama, termasuk menerusi rakaman di televisyen,” ujarnya.

AGAMA ADALAH AMANAH

Mengambil pengajaran daripada disiplin ilmu yang ditunjukkan oleh ulama mazhab terkemuka, Imam Syafie, Muhamad Hafizi berkata, walaupun terkenal sebagai ulama fikah, namun beliau mempunyai latar belakang hadis yang sangat hebat.

“Untuk menetapkan sesuatu hukum dalam fikah bukan perkara mudah, ia memerlukan penelitian dalam semua aspek bukan sahaja merujuk kepada dalil al-Quran dan hadis, malah termasuk maslahah (keperluan) dan keadaan semasa.

“Jika kita lihat, Imam Syafie layak mengeluarkan sesuatu hukum setelah menghafal ribuan hadis. Ini kerana beliau sangat memegang amanah diberikan untuk menyebarkan agama Islam dan memastikan keputusan dibuat selari dengan perintah agama.

“Oleh itu, pendakwah juga perlu membersihkan diri daripada sifat-sifat keduniaan, melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan ikhlas sebelum berdakwah serta menerima undangan berceramah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menyebarkan agama Islam terutama ketika mengaitkan dengan hadis dan al-Quran perlu diteliti terlebih dahulu agar tidak memetik sumber salah.

Ini kerana Rasulullah SAW memberi amaran kepada golongan yang mereka-reka hadis dengan bersabda: “Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku maka hendaknya dia mengambil tempat duduknya di neraka.” - Riwayat Bukhari

“Jangan rosakkan niat mulia pada asalnya untuk menyebarkan agama Islam dan memperoleh pahala sebaliknya menjadi ejen kepada penyebaran ilmu salah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Hafizi berkata, pihaknya dalam proses menubuhkan pusat kajian hadis, Darul Hadis sebagai rujukan orang ramai terutama umat Islam dan pendakwah dari seluruh dunia berhubung isu serta status hadis lengkap dengan keterangan.

Ia kata beliau, antaranya menerusi portal dan aplikasi telefon bimbit yang boleh diakses oleh pengguna.