Eksplorasi selama dua hari yang diketuai Ketua Pengarah YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin dan disertai kumpulan media itu membawa peserta menjelajah ke sembilan kepulauan di Semporna termasuk di zon kepulauan berisiko.

Bukan sahaja perlu membuat persediaan mental dan fizikal malah sukarelawan juga harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang eksplorasi dalam usaha menjejaki keperluan murid di sekolah kawasan pedalaman tersebut.

Itu semua bertujuan mendapatkan gambaran lebih jelas keadaan yang dihadapi bagi menyediakan bantuan dalam memperkukuh aspek pendidikan dan pembangunan agama Islam agar mereka tidak keciciran berbanding murid lain di bandar.

Abibullah berkata, hasil daripada jelajah tersebut, beberapa perkara akan diambil perhatian antaranya, menganjurkan klinik Inspirasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada murid-murid terlibat.

Beliau berkata, tidak tertumpu kepada bantuan berbentuk logistik, pihaknya turut mengutamakan bantuan yang dapat mempertingkat taraf pendidikan agar golongan sasar mampu berdaya saing.

“Apa yang kita sasarkan dalam eksplorasi pulau ini adalah untuk meningkatkan pencapaian murid sekolah agar lebih cemerlang pada masa depan dan melahirkan ramai tokoh setempat serta individu berjaya.

“Kita dapati mereka kekurangan dalam aspek tenaga pengajar dan kemudahan pembelajaran lengkap. Oleh itu, YaPEIM akan mengadakan kelas-kelas tambahan tentang subjek berkaitan di samping sedikit sebanyak alat bantuan bagi kegunaan pihak sekolah dan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan eksplorasi pulau tersebut di Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Menampilik, Semporna.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Operasi Laut Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Laksamana Pertama Maritim Kamarulzaman Abu Hassan dan Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna, Arman Abd. Rahman.

Pada program itu, YaPEIM turut menyampaikan sumbangan berupa alat tulis dan bahan bacaan kepada murid dan semua sekolah dilawati.

UTAMAKAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Mengulas lanjut, Abibullah berkata, pemilihan kepulauan di daerah Semporna adalah berdasarkan kepada keperluan penduduk di pulau tersebut selain keunikan setiap pulau berkenaan.

“Umat Islam adalah penduduk majoriti di Semporna, begitu juga kepulauan-kepulauan yang terdapat di sekitarnya. Uniknya setiap pulau di sini masing-masing mempunyai sekolah tetapi malangnya kurang mendapat perhatian kerana terletak jauh.

“Bukan sahaja memberi tumpuan kepada perniagaan, kita juga meletakkan aspek pembangunan pendidikan sebagai satu daripada misi penubuhan YaPEIM,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua program yang dianjurkan itu juga adalah hasil sumbangan orang ramai kepada YaPEIM menerusi saluran yang disediakan termasuk skim potongan gaji.

“Pada 2017, kita memperuntuk sebanyak RM10 juta bagi menjayakan program Inspirasi SPM dengan membabitkan 182,000 pelajar di 152 daerah seluruh negara,” jelasnya.