Saya terkejut apabila menerima soalan ini. Ia adalah kesilapan kritikal yang berlaku dalam masyarakat kerana terlalu ghairah menyambut hari raya. Perlu diingatkan bahawa Islam sangat menjaga kehormatan wanita. Wanita yang masih berada dalam idah kematian suami wajib menjaga diri sebagaimana arahan Allah ini:

“Orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (idah) empat bulan 10 hari. Kemudian apabila telah habis idahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat,” (al-Baqarah 2:234).

Wanita yang berada dalam idah kematian suami tidak boleh keluar rumah kecuali untuk keperluan mendesak seperti mencari rezeki. Mereka juga tidak boleh berhias atau melakukan tindakan yang boleh mengundang pinangan baharu sebelum berakhirnya idah. Antara sebab larangan ini adalah bagi memastikan rahim mereka benar-benar bersih daripada zuriat suami yang baru meninggal dunia. Selain itu, ia juga bagi mengelakkan prasangka buruk masyarakat tentang kematian suaminya. Jika isteri terlalu galak keluar dan bersuka ria, mata awam boleh berprasangka dengan pelbagai andaian. Ini secara tak langsung bakal mencemarkan maruah si wanita. 


HARI KEBESARAN AGAMA


Dua hari raya yang diwartakan Islam adalah hari kebesaran agama dan bukannya perayaan budaya atau bangsa. Islam adalah agama Allah dan Allah pula Tuhan semua bangsa dunia, bukan Tuhan orang Arab atau orang Melayu sahaja.

Jika Islam tidak diutus melalui Rasulullah SAW, dua hari raya Islam tidak mungkin kita sambut dengan meriah. Perhatikan kisah sejarah awal sambutan hari raya dalam hadis ini:

“Anas r.a. menceritakan ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduknya memiliki dua hari raya yang mereka bergembira padanya. Rasulullah bertanya: “Dua hari apa ini?” Mereka menjawab: “Dua hari yang kami biasa bergembira padanya ketika jahiliah.” Rasulullah SAW pun bersabda: “Sesungguhnya Allah telah ganti kedua-dua hari tersebut dengan dua hari yang lebih baik, Aidiladha dan Aidilfitri,” - Sunan Abu Dawud.

Apabila difahami bahawa Aidilfitri adalah anugerah Allah kepada umat Islam, maka sangat malang dan tidak cocok jika sambutannya disulami perbuatan melanggar suruhan Allah. Setakat pemerhatian penulis, banyak kesilapan yang dilakukan oleh ramai Muslim ketika menyambut hari raya, antaranya:

  • Sibuk berhari raya sehingga mengabaikan solat sunat hari raya dan solat fardu.
  • Berhabis harta, bergolok gadai kerana tak mahu kalah dalam sambutan hari raya.
  • Pergaulan tanpa kawalan antara saudara mara yang sah nikah atas alasan sambutan hari raya. Pergaulan ini melibatkan banyak isu seperti bersalaman secara bebas, mendedahkan aurat dan sebagainya.

Remeh tapi beri impak

BAGAIMANAPUN,  antara dua dosa yang selalu dipandang remeh walaupun memberi impak besar kepada setiap Muslim adalah:

1. Meneruskan dosa yang ditangguh seketika kerana bulan Ramadan.

  • Ramai Muslim menangguhkan dosa kerana menghormati bulan Ramadan. Setelah bulan itu berlalu, mereka kembali kepada dosa lama seperti manusia ‘gian dosa’.
  • Kaki tak solat kembali lupa jalan ke surau masjid atau berapa jumlah rakaat solat lima waktu kerana sibuk dengan rutin harian.
  • Kaki dedah aurat mulai hilang tudung atau baju sopan di celah timbunan baju dalam almari.
  • Kaki umpat kembali mengaktifkan akaun facebook atau kumpulan whatsapp yang dijadikan medium kutuk umpat setelah bercuti seketika dalam bulan Ramadan.
  • Kaki gaduh kembali mencari isu untuk dinyalakan dalam kandang politik atau pergaduhan keluarga yang padam seketika dalam bulan Ramadan.

Sikap ini sangat bahaya kerana mereka seakan mempersendakan makna taubat. Mereka tidak menjiwai makna taubat yang merangkumi sesalan dan azam sepenuh hati tidak akan mengulangi dosa lampau (Ali ‘Imran 3:135).

Jika taubat sebelum Ramadan tidak digerakkan oleh niat yang ikhlas, apa agaknya penerimaan Allah terhadap amalan puasa mereka? Saya sangat bimbang setelah membaca sabda Rasulullah SAW ini:

“Ka’ab bin ‘Ujrah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Bawa datang mimbar itu.” Kami pun membawa mimbar yang dipinta, apabila Baginda menaiki satu anak tangga Baginda berkata: ”Amin!” Apabila Baginda menaiki tangga kedua, diucapnya lagi: “Amin!” Apabila Baginda menaiki tangga ketiga, diucapnya lagi: “Amin!” Para sahabat bertanya mengenainya, Baginda bersabda: “Jibril datang menemuiku dan berkata sia-sialah (hidup) orang yang masuk ke bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya (selepas habis Ramadan). Oleh itu aku ucapkan amin. Apabila aku menaiki tangga kedua, Jibril berkata Sia-sialah (hidup) orang yang disebut namamu di sisinya tetapi dia (diam) tidak berselawat. Aku pun ucapkan Amin. Apabila aku menaiki tangga ketiga, Jibril berkata lagi sia-sialah (hidup) seseorang yang sempat bersama seorang atau kedua ibu bapanya yang tua tetapi usaha menjaga kedua-duanya tidak membawanya ke syurga. Oleh itu, aku ucapkan Amin!,” - Mustadrak al-Hakim.

2. Dosa mengambil hak orang lain semasa majlis sambutan hari raya.

  • Ada sesetengah pengunjung majlis sambutan Aidilfitri bersikap pelik apabila sanggup membungkus atau tapau makanan yang disediakan penganjur walaupun majlis belum berakhir.
  • Operasi membungkus dilakukan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan apatah lagi izin daripada pihak penganjur.
  • Apa agaknya istilah terbaik bagi tindakan ambil barang orang tanpa pemiliknya tahu atau izin? Ia sangat mirip dengan makna curi dan curi adalah jenayah yang sangat dimurkai Allah.
  • Semua Muslim wajib tahu, yang haram itu bukan hanya ‘babi’ tetapi ambil hak orang lain tanpa izin juga dosa yang ada hukuman dunia dan akhiratnya.
  • Tindakan pelaku yang tapau makanan tanpa izin telah menzalimi dua pihak iaitu penganjur yang berhasrat agar semua jemputan dapat menikmati hidangan dan juga menzalimi tetamu yang tiba lewat.

Sempena Aidilfitri yang mulia ini, marilah sama-sama kita sambut perayaan agama kita ini dalam kehendak Allah. Jangan kerana galak berhari raya menyebabkan kita menjentik kemurkaan Allah. Teruskan momentum ibadah Ramadan bersama kegembiraan Syawal, mudah-mudahan hidup kita diberkati dan amalan kita diterima Allah.