Difahamkan lelaki berusia 65 tahun tersebut bukan sahaja mengamalkan ajaran syiah, malah disyaki bertindak sebagai salah seorang ketua kepada kumpulan pengikut syiah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Pe­nerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud mengesahkan penahanan kumpulan pengikut syiah oleh JHEAIK di lokasi tersebut, tengah malam kelmarin.

Beliau bagaimanapun enggan­ mengulas atau mengesahkan pe­nahanan pemimpin politik terbabit dan hanya berkata, sama ada ahli politik atau tidak, sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan akan diambil tindakan.

Menurut Mohd. Nassuruddin, berdasarkan risikan, kumpulan pengikut syiah itu dipercayai mengamalkan ajaran tersebut di negeri ini sejak lima hingga enam tahun lalu.

“Kumpulan syiah ini bukan baharu, saya difahamkan mereka sudah lama bertapak di negeri ini, iaitu antara lima hingga enam tahun, atau mungkin lebih, tetapi mereka ini pandai sembunyikan kegiatan dan kita tidak ada bukti untuk ambil tindakan.

“Pihak penguat kuasa sudah berbulan-bulan intip dan dalam kejadian kelmarin, barangkali mereka gagal hidu kehadiran pihak berkuasa ketika mengadakan upacara keagamaan,” kata­nya.

Beliau ditemui selepas mewa­kili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob merasmikan Seminar Bahaya Islam Liberal anjuran Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini hari ini.

Semalam, seramai 50 individu termasuk wanita dan kanak-ka­nak dipercayai pengikut syiah ditahan dalam satu operasi di Jalan Sri Cemerlang ketika melakukan upacara keagamaan yang bercanggah dengan ajaran Islam.