Komoditi unik iaitu emas merupakan satu bentuk aset simpanan dan pelaburan terbaik yang seharusnya dimonopoli serta dikuasai masyarakat 
Islam.

Keupayaan menguasai emas sebagai nilai mata wang dunia dilihat sebagai jalan terbaik mengawal ekonomi dunia dan mengelak berlakunya perbuatan memanipulasi mata wang dunia sehingga berlakunya krisis kewangan.

Dunia pernah merasai bagaimana kejatuhan nilai mata wang kertas akibat ‘permainan’ oleh pihak tidak bertanggungjawab dari negara Barat, sekali gus menyaksikan banyak negara Islam ‘terjerut leher’ ekoran manipulasi jahat tersebut.

Krisis mata wang yang masih segar diingati sehingga ke hari ini adalah melibatkan penyangak kelahiran Hungary-Amerika Syarikat, George Soros yang menyebabkan ekonomi negara-negara Asia mengalami kejatuhan nilai mata wang yang menjunam ke paras paling teruk.

Kejadian seumpama itu pastinya mahu dielak daripada terus berlaku kerana kesannya adalah sangat mendalam, mengakibatkan pelbagai permasalahan terutama ke atas kestabilan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara.

ALTERNATIF KEPADA PERMASALAHAN UTAMA

Pensyarah Kanan Jabatan Syariah Fakulti Pengajian 
Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salmy Edawati Yaacob berkata, mata wang dinar dan dirham telah diguna pakai sejak zaman Rasulullah SAW, manakala dinar emas Islam diperkenal oleh ‘Abd. al-Malik bin Marwan semasa pemerintahan beliau.

Katanya, usaha tersebut berjaya dinobatkan sebagai mata wang terunggul dalam kalangan umat Islam, malah diiktiraf sebagai mata wang emas yang pertama dikenali sebagai dinar Islam.

Jelasnya, dinar emas itu asalnya daripada kerajaan Rom dan Parsi, tetapi apabila ‘Abd. al-Malik memperkenal mata wang tersebut, beliau telah membuang elemen-elemen tidak syariah pada mata wang kedua-dua kerajaan itu.

“Awalnya disebut dinarius tetapi orang Arab memanggilnya dinar. Mata wang dinar Islam itu digunakan sehingga kejatuhan kerajaan Turki Othmaniah pada 1924. Bermula zaman itu, maka dinar emas hilang di muka bumi sehingga orang tidak lagi menggunakannya dan digantikan dengan mata wang kertas.

“Ekoran konflik yang tercetus, sebahagian berpandangan bahawa mata wang emas perlu dikekalkan.

“Namun ada yang 
mahu melaksanakan inovasi baharu dalam kewangan Turki dengan melihat mata wang kertas lebih mudah digunakan sebagai mata wang sehingga pada hari ini,” katanya yang ditemui sempena Festival Antarabangsa Emas, Dinar dan Dirham 2017, di UKM, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Datuk Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah dan Pengurus Besar Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd. (KGT), Khalili Abdul Kadir.