Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Dilema ibu mentua ‘diktator’

SUAMI perlu adil merancang percutian untuk pulang ke kampung masing-masing 2
SUAMI perlu adil merancang percutian untuk pulang ke kampung masing-masing bagi mengelakkan berat sebelah. - GAMBAR HIASAN

SUDAH bertahun-tahun ia berlaku. Mahu menolak, takut ada yang terluka. Tapi bila tak cakap, hati sendiri yang merana. Dilla sememangnya tidak faham mengapa ibu mentuanya bersikap sedemikian.

Pantang ada cuti, pasti dia merancang pelbagai ‘agenda kenduri’. Mahu atau tidak, si menantu dan si anak terpaksa balik memenuhi kehendaknya.

Adakala Mahfuz kasihan dengan isterinya. Dia tahu, dia sudah tidak berlaku adil. Tapi apakan daya, sumpah seranah si ibu lebih menakutkan daripada isteri yang mungkin marah untuk tempoh dua ke tiga hari.

Pernah Dilla menyuarakan hasratnya untuk balik menjenguk kedua-dua ibu bapanya di kampung apabila cuti sekolah. Perancangan awal itu dibuat bagi memastikan Mahfuz memohon cuti. Tiba-tiba, malam itu telefon berdering. Si ibu mertua ‘memerintahkan’ anaknya balik ke kampung atas alasan nak buat doa selamat dan bacaan tahlil.

Walhal, Mahfuz bukan satu-satunya anak lelaki. Ada lima orang lagi yang boleh membantu. Tapi, sikap si ibu yang mahu semua anaknya berada di kampung ketika majlis kenduri membuatkan Mahfuz serba salah.

Mahfuz tahu, isterinya beria-ria mahu pulang ke kampungnya. Hasrat yang diluahkan ketika Dilla menelefon ibunya, masih terngiang-ngiang pada telinga.Sukanya Dilla bila Mahfuz setuju dengan perancangannya.

Apatah lagi sejak lima tahun berkahwin, boleh dikira berapa kali Dilla berpeluang bersama-sama keluarga pada pagi hari raya. Dengan tempoh cuti yang terhad, mana mungkin Dilla pergi ke dua destinasi. Mahu tidak mahu, Dilla terpaksa mengalah.

Pernah sekali Dilla dan Mahfuz tidak memenuhi kehendak si ibu dan mereka mengambil keputusan untuk balik ke kampung Dilla. Akibatnya, tiga bulan si ibu tidak bercakap dengan Mahfuz dan Dilla. Bila mereka menjenguknya di kampung, ketika itu juga si ibu akan mengunjungi rumah anak-anaknya yang lain.

Bukan tidak bersimpati dengan nasib isterinya tapi Mahfuz tidak mampu menolak permintaan si ibu. Dia keliru, mana satu perlu diutamakan.

Mahfuz sememangnya faham dengan sikap ibunya yang suka menyumpah seranah anak-anak apabila hajatnya tidak tercapai. Tapi dalam keadaan Mahfuz yang sudah berkahwin, dia mengharapkan si ibu faham situasinya. Malangnya sikapnya sama sahaja.

Anak menantu yang lain? Semuanya tidak berani menentang. Ditelan mati emak, diluahkan mati bapa. Begitulah keadaan Mahfuz. Dia tahu, ada masanya tahap kesabaran si isteri akan tercabar dan paling Mahfuz takuti gara-gara sikap si ibu rumah tangga mereka boleh berantakan.

1.Doa ibu adalah mustajab.

  •  Rasulullah SAW bersabda: “Tiga doa mustajab yang tidak diragukan lagi iaitu doa orang tua, doa orang bermusafir dan doa orang dizalimi.” - Riwayat Abu Daud.

Justeru sebagai seorang ibu, seboleh-bolehnya elakkan mendoakan sesuatu yang tidak baik kepada anak-anak kerana ia boleh mendatangkan kepincangan dalam kehidupan mereka.

2.Komunikasi berkesan dalam keluarga adalah sesuatu yang amat dituntut.

  •  Komunikasi dua hala yang baik akan mengeratkan silaturahim dan kasih sayang. Ia juga bakal menimbulkan rasa hormat antara satu sama lain.

3.Memudahkan urusan orang lain

  •  Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutupi aib seorang Muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu suka menolong saudaranya.” - Riwayat Muslim

4.Bertolak ansur

  • Mendatangkan kebaikan kepada diri dan orang lain, malah mampu mewujudkan perasaan hormat antara satu sama lain.

- “Dan tidakkan sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dengan perbuatan jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepada kamu) dengan cara yang baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib,” (Surah al-Fussilat, ayat 34)

TIP  KAUNSELOR

Asam garam kehidupan rumah tangga sememangnya mencabar. Ia wujud rentetan daripada budaya dan cara didikan yang berbeza, justeru apabila berlaku ikatan perkahwinan, maka dua budaya keluarga ini akan cuba diserasikan. Mungkin mengambil masa, namun mahu atau tidak, setiap pasangan harus bersedia dengan keadaan tersebut.

Perkahwinan bukan hanya melibatkan dua insan bahkan seluruh keluarganya. Jika sebarang konflik berlaku, ia seharusnya diurus dengan baik agar tiada pasangan merasa terpinggir atau tidak diterima dalam kelompok keluarga baharu.

Dalam masa sama, bagi ibu bapa yang sejak kecil telah mendidik anak-anak untuk tidak membantah kehendak mereka, harus berlapang dada bahawa anak-anak kini sudah mempunyai keluarga masing-masing. Mereka perlu diberi peluang mengatur hidup sendiri tanpa terlalu banyak campur tangan pihak ketiga.

Tidak dinafikan bahawa dalam banyak hal ibu bapa perlu diutamakan.

Namun sebagai ketua dalam keluarga yang dibina, si anak perlu bijak membuat keputusan. Ini penting supaya rasa hormat isteri dan anak-anak terhadap dirinya tidak luntur serta rasa hormat anak kepada si ibu juga tidak terjejas.

Ibarat ‘menarik rambut dalam tepung, tepung tidak berselerak dan rambut tidak putus’, begitulah tindakan perlu diambil oleh si anak agar kedua-dua pihak memperoleh hak masing-masing tanpa ada yang terluka.

Apa pun, saat melepaskan anak-anak berkahwin dan memilih pasangan masing-masing, ibu bapa seharusnya memahami bahawa mereka perlu bersedia untuk ‘berpisah’ dengan anak-anak.

Ikatan antara anak dan ibu tidak akan terputus, namun situasinya sudah berbeza. Jika sebelum ini anak-anak bawah pemantauan ibu bapa secara mutlak, tapi berubah sebaik sahaja anak-anak berkahwin.

Sebagai ibu bapa, doa mereka amat penting buat anak-anak meneruskan legasi keturunan mereka.

Sumpah seranah dan maki hamun sebenarnya langsung tidak menyelesaikan masalah. Bahkan menambahkan beban konflik diri mahupun keluarga.

Apatah lagi jika sikap mementingkan diri terus diamalkan, bukan sahaja anak-anak akan menjauh bahkan menantu turut terkesan dengan keadaan ini.

Berilah sedikit kelonggaran untuk anak dan menantu mengatur kehidupan mereka. Keadaan ini sebenarnya lebih mengeratkan kasih sayang antara satu sama lain.

 

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain