Ini termasuk nikmat belajar di sekolah, dapat makan nasi tiga kali sehari dan paling seronok menonton siri The Incredible Hulk selepas berita TV1 RTM.

Selepas menonton mulalah penulis berangan-angan menjadi David Banner lakonan mendiang Bill Bixby. Semasa itu tubuh masih kurus kering berbanding sekarang seperti Hulk itu sendiri.

Namun itu bukanlah kisah yang ingin dipaparkan, kerana sikap pemarah Hulk bukan sahaja merosakkan diri, tetapi keamanan yang dipelihara orang sekelilingnya.

Hari ini keamanan yang dipupuk oleh pihak berkuasa selama ini seakan-akan diketepikan kerana rasa dendam dan persepsi negatif, berpunca daripada rasa bersyukur dengan nikmat sakinah yang dikurniakan jarang dizahirkan dengan ikhlas.

Sesekali bila keluar rumah menuju ke tempat kerja menaiki kereta atau Aliran Transit Ringan (LRT), lihat sekeliling kita, tarik nafas hirup udara bersih di negara ini sedalam-dalamnya.

Usai menarik nafas, panjatkan rasa syukur kerana keamanan negara ini bukan sahaja kerana tiada peperangan, kebuluran atau lari daripada kemungkinan diburu pihak yang ingin menghalau kita dari rumah atas nama pembersihan etnik. Sesungguhnya keamanan di negara ini bukan halimunan tetapi kenyataan.

Keamanan negara adalah kerana masing-masing dikurniakan nikmat untuk hidup beragama dengan menjalankan suruhan agama tanpa takut-takut ditembak dari belakang ketika solat.

Di Palestin nikmat tersebut seakan-akan tidak hadir kerana wujud risiko untuk menjadi arwah semata-mata kerana hendak menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

Umat Islam di negara kita pula, sebaliknya mempunyai ribuan masjid dan surau yang cantik dan indah tetapi menjelang solat lima waktu sukar untuk melihat umat Islam memenuhi saf kecuali semasa solat Jumaat.

Ia amat menyedihkan apabila rasa syukur kepada nikmat yang diterima daripada Allah SWT tidak tergambar pada mulut dan di hati kerana kita menganggap nikmat itu datang sendiri tanpa ada asal-usulnya.

Sebagai contoh, apa salahnya berterima kasih kepada majikan dengan mengucapkan terima kasih selain daripada memberi salam dan memberi tabik hormat kerana membayar gaji setiap bulan.

Sebaliknya apabila syarikat kerugian kita bertindak mengutuk majikan dan menyindir dalam pelbagai medium. Adakah syukur hanya kerana menerima imbalan bukannya ujian?

Mengapa semasa syarikat maju kita menghormati majikan, namun apabila nikmat tersebut diuji dengan kerugian, kita betah menghina hamba Allah itu sedangkan beliau sendiri makhluk Allah SWT yang tidak terlepas daripada ujian.

Dalam konteks ini, generasi muda atau anak-anak perlu dididik untuk mensyukuri nikmat yang ada. Ajarlah mereka untuk berterima kasih dengan kebaikan yang diterima walaupun kepada amah yang dibayar gaji untuk membasuh kasut sekolah putih mereka.

Kita perlu mengajar anak-anak menyebut alhamdulillah apabila menerima berita baik dan mendapat duit belanja daripada kita. Bukannya hanya mengucap alhamdulillah selepas menikmati durian percuma ketika sendawa.

Insya-Allah, jika rasa bersyukur bertapak dalam diri anak-anak, tiada lagi isu anak meninggalkan ibu bapa yang uzur di rumah orang tua dan di perhentian bas.

Hari ini kisah anak-anak mengabaikan ibu bapa sebagai diceritakan penceramah agama bukan penyedap cerita tetapi adalah realiti pahit dalam masyarakat Malaysia yang dimomokkan sebagai berbudi bahasa.

Maka didiklah anak kita nilai bersyukur dengan menghargai apa yang mereka ada, seadanya. Jangan dididik dengan membanding-bandingkan mereka dalam soal material terhadap orang lain kecuali dalam aspek pendidikan dan ibadah.

Kita menyedari juga, hakikat bahawa dalam dunia media sosial hari ini, generasi muda menggunakan bahasa yang menunjukkan mereka seakan-akan tidak bersyukur dengan nikmat yang diperoleh. Bahasa ringkas dan kesat menunjukkan nikmat berkomunikasi seakan-akan dipandang sepi.

Ajari anak kita untuk bersyukur dengan segala nikmat yang ada ketika ia masih wujud walaupun sekadar menghantar mesej telefon.

Kerana apabila nikmat itu hilang kita akan kehilangan punca dan menyalahkan takdir. Paling teruk kita akan menyalahkan orang lain dan bukan diri sendiri. Fikirkanlah kita bukan sempurna.