Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asy­raf Wajdi Dusuki berkata, mendidik peradaban ahli keluarga berteraskan ajaran Islam terma­suk melatih disiplin menunaikan solat lima waktu perlu dijadikan teras utama ke arah melahirkan keluarga yang berjaya.

Menurutnya, usaha mengga­lakkan anak-anak solat berjemaah di masjid perlu ditingkatkan ke­rana sembahyang akan memantapkan jati diri individu selain memiliki ruang untuk berkomu­niti dalam suasana ukhuwah yang lebih kemas.

“Ruang masjid seharusnya dipenuhi oleh golongan muda terutama bagi solat isyak dan subuh sebagai latihan. Jangan biarkan masjid dan surau hanya dihadiri golongan tua.

“Jangan tafsirkan kehendak golongan muda dengan aktiviti hiburan, rekreasi dan riadah sahaja kerana mereka juga perlu mengimarahkan masjid dalam konteks mengerjakan ibadat dan mempelajari ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ismail Kali Ke-41 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Asyraf me­nyampaikan hadiah kecemerla­ngan bagi Pencapaian Pentak­siran Tingkatan 3 dan peperiksaan akhir tahun 2017.

Yang hadir sama, Pengetua sekolah itu, Mohd. Sayuti Idris.

Asyraf turut menegur ibu bapa yang menyediakan kemudahan gajet dan telefon pintar kepada anak-anak sehingga menyebabkan wujudkan pelajar yang bersikap antisosial.

“Kita dapati telah wujud di negara kita terutama dalam kala­ngan remaja yang ketagihan media sosial. Mereka akan kemuru­ngan kalau tidak dapat melayari media sosial yang sebenarnya mengandungi 1,001 perkara yang ada kebaikan dan keburukannya.

“Adalah lebih baik kita kembalikan semua permasalahan dunia alaf baharu kepada ajaran Islam yang sebenar. Latih anak-anak menjaga solat, tertib mengambil wuduk untuk tingkatkan kesucian hati dan fizikal selain ber­disiplin menurut ajaran Islam yang sebenarnya,” kata beliau.