Sabda Rasulullah SAW: “Ketahuilah bahawa dalam tubuh ada seketul daging, apabila ia elok maka eloklah keseluruhan tubuh. Jika ia rosak maka rosaklah keseluruhan tubuh. Ketahuilah ia adalah hati,”- Sahih Bukhari dan Muslim.

Manusia sudah tersalah langkah apabila lebih mementingkan aspek kecantikan fizikal berbanding kecantikan atau kemuliaan hati. Ini antara sebab mengapa Allah menghentak keras jiwa manusia agar segera kembali kepada-Nya:

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang yang beriman, untuk khusyuk (tunduk) hati (jantung) mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak antara mereka menjadi orang yang fasik. Ketahuilah kamu, bahawa Allah menghidupkan bumi sesudah matinya; sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu keterangan dan bukti supaya kamu memahaminya,” (al-Hadid [57:16-17]).


KAITAN HATI DAN BUMI


Apa hubungan antara hati dan bumi sebagaimana disebut dua ayat di atas? Allah Yang Maha Bijaksana pastinya tidak akan menggandingkan kedua-duanya tanpa sebab.

Subhanallah! Rupanya hati manusia yang menjadi pusat akal sama sifatnya seperti bumi. Jika ia dibiarkan kontang tanpa siraman air iman maka ia akan merekah kekeringan dan menjadi tidak subur. Apabila ia kering kontang, maka tumbuhan ‘akhlak atau iman’ tidak mampu untuk tumbuh subur. Ketahuilah! Air itu adalah wahyu dan bumi itu pula adalah hati. Oleh itu, basahilah hati kita dengan al-Quran dan agama.

Firman Allah: “Dan negeri yang baik (tanahnya), tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang yang (mahu) bersyukur,” (al-A’raf [7:58]).

Menurut Ibn Abbas r.a., ayat di atas adalah perumpamaan yang Allah berikan ketika menggambarkan hati orang beriman dan orang kafir (Tafsir Ibn Kathir).

Lalu kita mungkin terfikir, apakah cara paling berkesan membasahkan dan menyuburkan hati? Banyak sekali caranya. Antara yang paling berkesan adalah dengan membaca dan tadabbur al-Quran:

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya,” (al-Zumar [39:23]).

Bicara al-Quran tentang hati sangat luas dan banyak, secara umumnya terdapat tiga makna:

1. Akal pemikiran 
(Surah Qaf[50:37]).
2. Pemikiran dan pandangan 
(al-Hasyr[59:14]).
3. Lokasi hati (al-Hajj[22:46]).


KISAH HATI DILAMUN ‘CINTA’

Izinkan saya berkongsi sebuah kisah ‘gila cinta’ Qays bin Mulawwah iaitu penyair Arab klasik. Dia sedang mabuk cinta dengan seorang wanita bernama Layla. Pada suatu hari dia menjejak anjing kepunyaan Layla. Ketika mengekori si anjing, Qays melewati sekumpulan manusia yang sedang bersolat. Selesai sahaja urusannya, Qays pulang menggunakan jalan yang sama. Sampai sahaja di tempat solat itu, kumpulan lelaki itu bertanya:

“Wahai Qays, mengapa kamu tidak singgah solat bersama kami? Kamu tak nampak kami sedang bersolat?”

Qays menjawab dengan jawapan sentap lagi pedas: “Hatiku terikat erat pada Layla dan kerana itu aku tak nampak kamu semua. Sebenarnya jika hati kamu semua terikat erat pada Allah, kamu pasti tak nampak selain Allah! Pasti kamu tak nampak aku yang melewati kamu. Kamu pasti tak nampak aku sebagaimana aku tak nampak kamu kerana eratnya hatiku pada Layla!”

Kisah gila cinta Qays ini menunjukkan betapa hati kita sangat penting untuk dijaga agar sentiasa dalam ‘wilayah zikir’ kepada Allah. Jika ia sesat dalam ‘hutan kelalaian’ atau ‘larut dalam lautan nafsu’, maka nilai insan akan jatuh ke paras yang jauh lebih rendah daripada haiwan sebagaimana firman Allah:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai,” (al-A’raf[7:179]).

Ayuh berdoa agar hati kita sentiasa dalam jagaan Allah:

“Wahai orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepada-Nya kamu akan dihimpunkan,” (al-Anfal [8:24]).