Peperangan sesama mereka menyebabkan banyak kawasan pertanian musnah dan aktiviti-aktiviti ekonomi lain penduduk juga terjejas. Ini secara tidak langsung, mengakibatkan bekalan makanan terputus dalam tempoh terlalu lama.

Keadaan itu diburukkan lagi oleh tindakan puak-puak yang bertelagah. Bekalan makanan, termasuk sumbangan pihak luar dirampas sama ada untuk kegunaan mereka atau sebagai pertukaran senjata api dengan negara lain.

Ini sejajar dengan pengalaman yang dilalui sekumpulan petugas Islamic Relief Malaysia (IRM) ketika melawat negara tersebut baru-baru ini.

“Tanahnya memang tandus dan kering tetapi jika kawasan itu ada sumber air seperti sungai, telaga atau sistem pengairan yang baik, maka ia pasti subur untuk bercucuk tanam dan aktiviti-aktiviti ekonomi lain.

“Satu lagi, adanya kawalan keselamatan oleh kerajaan yang memerintah,” kata seorang daripada mereka, Sharmiza Husin ketika ditemui di pejabat IRM, Bangi, Selangor, baru-baru ini yang turut disertai seorang lagi ahli misi itu, Muhammad Haris Sharim. - Foto ihsan ISLAMIC RELIEF MALAYSIA

Potensi Balcad untuk masa depan penduduk

Muhammad Haris Sharim yang juga Pegawai Hal Ehwal Rakan, Bahagian Program IRM mengambil contoh satu kawasan yang mereka lawati iaitu Balcad dalam daerah Middle Shabella iaitu 45 kilometer dari Mogadishu (ibu negara Somalia).

Pemandangan di Balcad itu begitu berbeza dengan pandangan umum selama ini. Ia satu kawasan yang aktif dengan aktiviti pertanian. Antaranya ternakan, ubi kayu, betik, pisang dan limau nipis.

Punca utama kesuburan itu kerana adanya aliran Sungai Shabella dan juga telaga sedalam 400 meter hasil sumbangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sebuah negara Arab.

Sungai itu digunakan untuk aktiviti pertanian, manakala telaga tersebut sebagai bekalan air bersih oleh 1,000 buah keluarga yang tinggal di kawasan tersebut.

“Kawasan tersebut nampak makmur dan subur walaupun kita sering dengar Somalia dilanda bencana kemarau berpanjangan. Terdapat banyak pokok pertanian, ternakan dan aktiviti-aktiviti sosioekonomi lain penduduknya,” katanya.

IRM melihat potensi untuk membangunkan tanah seluas 240 hektar yang terletak berhampiran Sungai Shabella untuk merancakkan lagi aktiviti pertanian.

“Kami bercadang untuk membina satu sistem pengairan dari sungai itu ke tanah tersebut agar aktiviti pertanian tidak akan terbantut,” katanya.

Dalam pada itu, IRM bercadang untuk memperkenal skim mikrokredit tanpa faedah kepada penduduk di Balcad yang berminat melaksanakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Pemilihan kawasan itu bukan hanya ia subur dengan aktiviti sosioekonomi tetapi juga ia bawah kawalan sepenuhnya kerajaan Somalia.

“Usaha itu sedang dibuat bersama Islamic Relief Somalia bagi mengenal pasti mereka yang berminat dan bagaimana skim tersebut untuk dilaksanakan,” katanya.

Namun begitu, situasi amat berbeza apabila kumpulan IRM itu berada di Mogadishu. Mereka menggambarkan ia sebagai bandar mati walaupun sesak dengan manusia.

Majoriti bangunan dalam bandar itu mempunyai tembok yang tinggi dan di bahagian atasnya, ada kawat berduri serta mempunyai pengawal bersenjata berat.

Sistem pengangkutan huru hara, jalan raya tidak terurus, kerap kedengaran letupan dan tembakan, ramai gelandangan, banyak bangunan rosak akibat serangan pengganas dan lain-lain.

“Kami juga diingatkan agar semua aktiviti perlu ditamatkan sebelum pukul 5 petang bagi mengelakkan menjadi mangsa culik atau rompakan pihak tertentu.

“Tetapi dalam masa terhad itu, kami sempat menyalurkan bantuan makanan dan bekalan air kepada pelarian di kem-kem pelarian yang terletak sepanjang jalan antara pinggir bandar Mogadishu hingga Afgooye,” kata Muhammad Haris.

Terdapat 500 kem pelarian dengan 600,000 keluarga di kawasan itu tetapi disebabkan dana yang terhad, hanya 10 peratus sahaja daripada jumlah tersebut menerima bantuan makanan dan bekalan air.

“Selain itu, kami sempat membina 10 buah tandas di sebuah kem pelarian yang boleh dikatakan ‘terlepas pandang’ oleh NGO kemanusiaan berikutan lokasinya agar jauh daripada jalan itu.

“Jumlah tandas itu hanya untuk 20 daripada 1,000 keluarga pelarian di kem yang dikenali Kunturwarey kerana dana yang terhad,” katanya.