Sebelum saat sedih itu bermula, Mazen Al-Hummada bersungguh-sungguh menceritakan keperitan yang dialami kerana diseksa oleh pihak tentera Presiden Bashar Al-Assad di Syria selama hampir 15 bulan.

Namun tatkala mahu mula menceritakan bagaimana dia diseksa sehingga hilang kehormatan diri, lelaki Syria itu seperti tidak terdaya menahan air mata daripada mengalir.

Sambil memohon maaf kepada hadirin yang ada kerana terpaksa menceritakan bagaimana kemaluannya dijadikan ‘sasaran terbaik’ untuk mengorek rahsia dan memaksa dia mengaku terhadap apa yang tidak dilakukannya, dia tertunduk hiba.

Cuba menahan air mata daripada terus menitis, namun kejadian memilukan itu begitu kuat merentap kekuatan dirinya daripada terus berbicara. Dipalit memori ngeri yang langsung tidak pernah terlintas akan berlaku kepada dirinya, Mazen ternyata begitu terkesan dengan apa yang telah dilaluinya.

Menjadi tahanan dengan tanpa mengetahui apa kesalahan yang dilakukan, dia kemudiannya dipaksa untuk membuat pengakuan berhubung tindakan melakukan sabotaj ke atas pemerintahan Presiden Bashar.

“Saya mohon kemaafan kepada kamu semua kerana saya terpaksa menceritakan pengalaman sensitif apabila kemaluan saya dijadikan pertaruhan buat mereka untuk memperoleh maklumat dan memaksa saya membuat pengakuan terhadap perkara yang saya sendiri tidak melakukannya.

“Mereka sangat kejam apabila menggunakan penyepit besi dengan meletakkan pada kemaluan saya dan kemudiannya mengetatkan penyepit besi tersebut. Selain itu, mereka juga menggunakan batang besi dengan memasukkannya ke dalam lubang dubur saya bagi tujuan menyeksa,” katanya penuh sayu.

Beliau mendedahkan perbuatan terkutuk rejim Assad itu ketika dibawa ke Malaysia baru-baru ini semasa penganjuran Forum dan Pameran berhubung ‘Penyeksaan di Syria dan Fail Pendedahan Caesar’ anjuran Syrian Emergency Task Force (SETF).

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif SETF, Mouaz Moustafa dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim.

Sesi perkongsian pengalaman ngeri itu turut dihadiri tetamu yang bukan terdiri daripada masyarakat Islam. Mereka terpanggil untuk mengetahui dan mendengar secara terus daripada mulut mangsa yang menjadi kezaliman rejim Assad.

Meneruskan sesi dialog yang diterjemahkan oleh Mouaz, Mazen berkata, bukan golongan dewasa sahaja menjadi sasaran kezaliman pihak rejim tersebut, malah anak-anak kecil juga ditangkap dan dipaksa membuat pengakuan terhadap usaha mensabotaj pentadbiran sedia ada.