Disebabkan keluasan dan kedalamannya, banyak khazanah yang tidak diketahui tersembunyi dan keadaan ini sering menimbulkan pertanyaan termasuk daripada para saintis.

Yang pasti, semua kejadian dan kehidupan dalam dasar lautan itu mempunyai hikmah tersendiri. Bermula daripada pelbagai spesies kehidupan seperti ikan, batu karang dan sebagainya, diakui bahawa manusia belum mampu untuk merungkai semua misteri kehidupan dijadikan oleh Allah SWT itu.

Selama ini mungkin aktiviti dakwah banyak berkaitan dengan keadaan yang berlaku atas daratan, agak kurang dikaitkan dengan khazanah yang tersimpan rapi dalam dasar lautan.

Untuk memahami apa yang tersembunyi dalam dasar lautan dan kaitannya dengan dunia dakwah, Muhamad Abdullah, seorang penceramah bebas, meluaskan pengetahuannya dengan mengikuti kursus peringkat Ketua Jurulatih anjuran Professional Association of Diving Instructor (PADI) di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Tujuannya, dengan sedikit ilmu berkaitan selam skuba itu beliau berharap dapat memperluas usaha dakwahnya selain terus mempelajari ilmu-ilmu yang belum diketahuinya.

Kursus peringkat tertinggi dalam selam skuba PADI itu melibatkan 25 buah negara termasuk Malaysia dengan 35 peserta. Ia hanya diadakan dua kali dalam setahun.

Muhamad adalah satu-satunya wakil Malaysia manakala negara lain antaranya ialah China, Korea Selatan, Mesir, Arab Saudi, Jepun dan negara-negara Eropah.

Menurut Muhamad, tujuannya menyertai kursus tersebut antara lain bagi mendekatkan diri dengan penyelam skuba sambil berkongsi pengetahuan agama di samping melahirkan seramai mungkin penyelam skuba.

“Sedikit ilmu yang ada ini diharap dapat dikongsi bersama dengan para penyelam skuba tanpa mengira peringkat umur atau latar belakang,’’ katanya.

Untuk mencapai tahap ketua jurulatih selam skuba, seseorang itu perlu melalui banyak kursus lain dan dalam Malaysia sahaja pada masa ini difahamkan hanya terdapat tujuh orang ketua jurulatih PADI sahaja.

Bermula daripada peringkat Open Water (asas) diikuti Advance (lanjutan) dan seterusnya peringkat yang lebih tinggi seperti jurulatih, seseorang itu perlu melalui pelbagai latihan sebelum layak menyertai kursus ketua jurulatih.

Malah, peluang Muhamad menyertai kursus tersebut dianggap sebagai peluang keemasan memandangkan beberapa permohonannya sebelum ini ditolak disebabkan beberapa kekurangan.

“Kegagalan menyertai kursus ini sejak tahun lalu tidak mematahkan semangat untuk terus memohon. Alhamdulillah kali ini permohonan saya diterima,’’ katanya.

Kedudukan beliau sebagai ketua jurulatih kelak akan membolehkannya memberikan kelayakan persijilan kepada penyelam skuba yang mahu mendapatkan taraf jurulatih serta peringkat seterusnya.

Berbual lebih lanjut, Muhamad memberitahu, antara penyelam skuba yang diberikan persijilan selam skuba asas dan lanjutan sebelum ini setelah mengikuti kursus ialah beberapa orang pekak dalam program diadakan di Pulau Tenggol, Terengganu pada tahun lalu.

“Mereka (golongan orang pekak) juga mahu bersama masyarakat normal menjalani aktiviti-aktiviti ekstrem seperti selam skuba ini. Apa yang menarik, mereka ini lebih tekun apabila belajar selam skuba. Bahasa isyarat yang diguna ketika di dasar laut mudah diterapkan kerana dalam kehidupan harian mereka berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat,’’ katanya.

Setakat ini dianggarkan lebih 400 penyelam skuba berjaya diberikan persijilan oleh Muhamad yang merupakan pengasas kepada I-Divers (Islamic Divers) dan Muslimah Divers.

Selain itu, Muhamad juga berjaya memberi persijilan selam skuba kepada beberapa pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir sejak beberapa tahun lalu.

Menceritakan minatnya mengikuti kursus ketua jurulatih itu, beliau memberitahu, antara yang diterapkan sepanjang latihan itu ialah pengurusan kewangan, pentadbiran, pemasaran, kekuatan mental serta kemahiran-kemahiran lain termasuk cara mencari penyelesaian apabila berhadapan dengan sesuatu krisis berkaitan.

“Memang terasa saingan terlalu hebat memandangkan saya seorang sahaja mewakili Malaysia dan terpaksa pula berlumba dengan peserta dari negara-negara lain.

“Sebelum menyertai kursus ini, saya perlu mengikuti latihan sampingan secara sendirian seperti selam skuba gua, selam skuba ais dan beberapa kursus lain,’’ katanya.

Kursus-kursus tersebut yang kesemuanya berjumlah 36 kemahiran dijalankan di beberapa negara termasuk Mesir dan Cyprus.

 

Bangga ustaz wakili Malaysia, luaskan dunia dakwah

SATU-SATUNYA wakil Malaysia dalam kursus peringkat Ketua Jurulatih Professional Association of Diving Instructor (PADI) kali ke-19 sudah cukup membanggakan bagi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Jelas beliau, ini kerana wakil Malaysia itu, Muhamad Abdullah bukan sahaja antara 35 peserta terpilih, malah terpaksa bersaing dan membuktikan kemahuan dengan peserta dari negara-negara lain seperti Eropah, Arab Saudi, Mesir, China, Korea Selatan dan Jepun.

“Kursus selam skuba peringkat ketua jurulatih PADI ini hanya diadakan dua kali dalam setahun. Kita bukan sahaja bangga sebab Sabah menjadi pilihan program ini malah Ustaz Muhamad dapat mewakili Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup dan penyampaian sijil kursus itu di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Masidi berkata, adalah menjadi harapan agar Muhamad dapat berkongsi ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang ada dengan penyelam-penyelam skuba lain.

“Alam atau dunia dasar lautan lebih luas berbanding daratan. Dengan kata lain, terlalu banyak rahsia dan khazanah yang tersembunyi yang belum dapat dirungkai.

“Begitu juga dengan dakwah. Diharap Ustaz Muhamad akan terus berdakwah dan berkongsi ilmu yang ada. Teruskan berdakwah sambil menjalankan aktiviti selam skuba,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Masidi berkata, dengan memiliki ilmu selam skuba itu, diharap dakwah yang dijalankan lebih meluas serta dikaitkan dengan pengetahuan dasar laut.

“Jika di atas (daratan) dunianya memang luas, apatah lagi di bawah (dasar laut), ia lebih luas. Harapan saya, dakwah dijalankan nanti pun lebih meluas,” katanya.

 

Bermulanya minat mendalam

Untuk mencapai tahap ketua jurulatih, Muhamad yang memulakan aktiviti skuba pada 2007 dan secara berperingkat-peringkat meluaskan lagi pengetahuan dan kemahiran sebelum sampai ke tahap sekarang.

Menjawab pertanyaan, Muhamad berkata, pada mulanya dia tidak terfikir untuk mengambil kursus selam skuba.

“Pada 2007 ketika berada di Pulau Tioman, saya pada mulanya sekadar melancong di sana. Apabila berlaku ombak besar dan feri tidak dapat keluar, saya terpaksa tinggal lebih lama di sana.

“Disebabkan keadaan itu, saya terfikir lebih baik saya belajar selam skuba daripada membuang masa. Apabila belajar, memang seronok dan kagum melihat kehidupan serta keunikan alam dasar laut yang begitu cantik dan penuh warna-warni.

“Bermula dari situ, setiap kali saya pergi selam skuba, ramai orang yang ditemui akan bertanyakan perkara-perkara berkaitan agama Islam seperti hukum dan sebagainya. Dari situ saya dapati dunia selam skuba boleh dikaitkan dengan dakwah.

“Penyelam akan bertanya banyak perkara termasuk arah kiblat yang boleh dilihat daripada kedudukan bintang-bintang di langit pada waktu malam selain bentuk pakaian Muslimah bagi penyelam wanita,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Muhamad berkata, alam dasar laut yang begitu luas memerlukan perkongsian banyak ilmu untuk memahami kebesaran Allah SWT.

Bagi beliau sendiri, ilmu yang ada hanya sedikit dan oleh itu memerlukan perkongsian dengan orang-orang lain serta pihak lain.