Kaki ibadat dalam kalangan Bani Israel yang mendiami kampung nelayan itu begitu yakin dengan takdir kemusnahan teman mereka yang sudah melanggar arahan Allah SWT. Bani Israel diarahkan beribadat pada Sabtu. Kerja mereka adalah menangkap ikan dan pada hari biasa ikan tidak banyak timbul.

Allah SWT lantas menguji iman mereka apabila ikan timbul secara luar biasa pada hari larangan (Sabtu). Kegilaan kepada untung melampau menyebabkan segelintir penghuni kampung itu melanggar perintah Allah dan bersungguh-sungguh menangkap ikan pada hari tersebut.

Firman Allah: “Dan tanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari lain, ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik,” (al-A’raf [7:163]).


BERPECAH-BELAH

Penduduk kampung nelayan itu akhirnya berpecah kepada tiga kumpulan:

1. Secara rakus menangkap ikan pada Sabtu. Godaan ikan pada hari berkenaan menyebabkan mereka tidak lagi mempedulikan ibadat yang diarahkan Allah SWT.

  • Inilah sikap sesetengah Muslim di Malaysia sekarang, kegilaan mencari dunia menyebabkan mereka lupa menyembah Allah yang memiliki dunia ini. Amat malang sekali orang seperti mereka.

2. Kumpulan yang tetap teguh atas arahan beribadat dan tidak berdiam diri melihat kemungkaran teman mereka yang menggila mencari ikan pada Sabtu. Sikap ini melambangkan iman mereka kepada Allah dan menjadi kebanggaan umat terbaik yang dinobatkan kepada kita umat Islam:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik,” (Ali Imran [3:110]).

3. Kumpulan terakhir ini agak mementingkan diri sendiri dan hanya tahu beribadat. Kemungkaran yang berlaku di depan mata tidak dipedulikan. Asal mereka dapat beribadat kepada Allah sudah cukup. Tiada kepentingan dakwah bagi mereka. Sikap ini disebut Allah SWT sebagai pengajaran penting bagi kita semua:

“Dan (ingatlah) ketika segolongan antara mereka berkata: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat? Orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri daripada bersalah kepada Tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertakwa,” (al-A’raf [7:164]).


TUGAS SEMUA PIHAK

Kumpulan kedua di atas seharusnya menjadi pegangan dan ikutan kita semua. Dakwah bukan tugasan sesetengah pihak yang dibayar gaji sahaja. Ia menjadi tugas semua Muslim yang mahukan dunia ini aman dalam acuan Allah.

Dakwah sangat luas ruang lingkupnya. Ia boleh disampaikan oleh sesiapa sahaja dalam kapasiti tersendiri. Soal seruan dakwah kita berjaya meresap ke dalam hati sasaran dakwah atau sebaliknya, semua itu adalah urusan Allah SWT. Dia melihat usaha kita dan bukannya keputusan akhir kerana keputusan dalam bentuk hidayah adalah milik mutlak Allah.

Seruan dakwah kepada yang melakukan dosa mempunyai dua perkara yang sangat penting iaitu:

1. Pelepas tanggungjawab ketika disoal di akhirat kelak.

2. Harapan perubahan sasaran dakwah. Jika seorang dua dapat diselamatkan daripada musibah kesesatan hasil teguran yang dibuat, itu sudah cukup baik. Itulah sebabnya lafaz akhir yang disebut Allah SWT pada ayat di atas adalah “dan mudah-mudahan mereka bertakwa”.

Dalam bahasa Arab perkataan la’alla (mudah-mudahan) dikenali sebagai adaatul at-tarji iaitu perkataan yang membawa harapan dan mampu dicapai.

Mengapa Allah Yang Maha Bijaksana menggunakan lafaz ini? Tidak lain dan tidak bukan bagi menunjukkan bahawa seruan dakwah yang dibuat mampu mengubah seseorang jika benar rukun dan caranya.

Oleh itu, jangan berputus asa dalam dakwah. Seru dan ajaklah manusia kepada kebaikan. Kelak Allah SWT akan tanya ‘apa yang kamu buat’ dan bukannya ‘berapa ramai yang berubah hasil seruan kamu?