Apabila protes Arab Spring berlaku di Damsyik dan bandar raya lain di Syria yang berpaksikan isu korupsi dan hak asasi manusia serta disasarkan kepada Presiden Bashar al-Assad, maka Bashar bijak merencana pergolakan masa depan berdasarkan apa yang berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya sebelumnya, lalu memberikan pengampunan dan membebaskan banduan radikal pada 31 Mei 2011.

Apabila konflik di Syria semakin panas, Abu Bakar al-Baghdadi (ABAB) menghantar militan diketuai Abu Muhammad al-Joulani (AMAJ) untuk menubuhkan jaringan Negara Islam Iraq (ISI) dan militan jihad Iraq mula memasuki Syria. Pada Ogos 2011, AMAJ sampai ke Hasakah di timur laut Syria, berhubung dengan sel tempatan, mengumpul dana, merekrut militan dan menubuhkan Jabhat al-Nusra (JN) (kini Jabhat Fateh al-Sham).

Apabila JN merekrut militan baharu di Syria, sebahagian bekas banduan yang dibebaskan Bashar menyertai jaringan JN dan menentang Bashar. Dengan ‘membiarkan konflik ini menjadi besar’, Bashar berjaya mengubah konflik yang asalnya daripada isu korupsi dan hak asasi menjadi konflik Sunnah-Syiah, mendapat sokongan dan bantuan dari Iran, Syiah Iraq, Hezbollah, Rusia serta beberapa negara lain.

JN mengganas di Syria apabila mengaku bertanggungjawab dalam serangan pengebom bunuh diri di Damsyik yang mengorbankan 40 orang (23 Disember 2011). JN semakin popular pada penghujung 2012 dengan keahlian mencapai 2,000 militan, beroperasi di banyak wilayah dan berjaya menawan pusat kelengkapan tentera di Aleppo serta Idlib.

KRONOLOGI PENUBUHAN DAESH

* Tanggal 9 April 2013, ABAB mengesahkan bahawa JN merupakan cabang ISIS dan berevolusi menjadi Daesh. Namun, AMAJ menolak kenyataan itu dan menegaskan bahawa JN adalah bebas serta tidak terikat.

* Ini menyebabkan Daesh mula memasuki Syria, menyerap bekas militan JN, agresif di kawasan utara dan timur Syria dan mula bertempur dengan JN walaupun JN sanggup berkongsi kuasa serta pentadbiran (Daesh mahukan kawalan penuh).

* Kemunculan Daesh menyemarakkan konflik Syria apabila lebih banyak memerangi kumpulan pemberontak Syria (Muslim Sunnah yang dianggap syirik) berbanding memerangi kerajaan Bashar sendiri (Syiah yang dianggap bukan Islam).

* Daesh membunuh komander kanan Tentera Pembebasan Syria dan ahli Majlis Ketenteraan Agong di Latakia yang akhirnya menyebabkan kumpulan pemberontak Syria (haluan sederhana) mula melancarkan serangan ke atas Daesh di utara Syria dan memaksa berundur sehingga Raqqa (Januari - Mac 2014).

* Pada Februari 2014, atas pelbagai keganasan dan kekejaman Daesh, al-Qaeda membuat pengumuman memutuskan hubungan dengan Daesh serta tidak bertanggungjawab atas apa sahaja tindakan Daesh (Daesh pernah dikenali sebagai jaringan al-Qaeda Iraq). Daesh semakin berkembang di Iraq apabila berjaya menakluki Mosul pada 10 Jun 2014.

* Menjelang September 2014, Daesh dianggarkan memiliki aset bernilai RM8.56 bilion dan menjadi kumpulan pengganas terkaya di dunia serta organisasi ketenteraan yang digeruni.

* Dengan mobiliti yang pantas dan moral tinggi, Daesh mengejutkan kerajaan Iraq, menawan beberapa kawasan didominasi puak Sunnah, membunuh ramai polis dan tentera Iraq, serta merampas kelengkapan tentera yang dibekalkan Amerika Syarikat kepada Iraq.

* Dalam tempoh lapan bulan pertama 2014, hampir 20,000 orang terbunuh dengan dua juta orang kehilangan tempat tinggal. Pada 29 Jun 2014 atau 1 Ramadan 1435, jurucakap Daesh, Abu Muhammad al-Adnani mengumumkan ‘pemulihan semula sistem khalifah’ bawah kepemimpinan Khalifah Ibrahim dan Daesh berevolusi menjadi Daulah Islam (Islamic State @ IS).

* Berevolusi menjadi Daulah Islam mencerminkan cita-cita Daesh tidak terhad kepada sempadan Iraq dan Syria sahaja tetapi meliputi seluruh dunia Islam.

PENGAJARAN UNTUK DIINSAFI UMAT ISLAM

* Setelah kejatuhan Empayar Uthmaniyyah pada 1924, negara Islam berpecah menjadi banyak negara di Asia Barat dan Afrika Utara selain diserap ke dalam beberapa negara di Eropah.

* Perpecahan menjadikan umat Islam lemah dan mudah diperguna musuh. Konflik di Asia Barat sejak itu tidak pernah padam antaranya kerana kelemahan pemimpin Islam yang tamak, berebut kuasa, kekayaan dan wilayah, pertembungan Wahabi-Sunnah-Syiah, semangat kesukuan yang tinggi, leka dengan kekayaan minyak dan gas, mengundang campur tangan asing dan membiarkan diperguna kuasa asing.

* Walaupun mempunyai ideologi sama iaitu Salafi Jihadi, JN dan Daesh berperang sesama sendiri kerana pertelagahan pemimpin, berebut kuasa, militan, dan wilayah.

* Ini menunjukkan kumpulan pengganas ini bertopengkan Islam semata-mata.

* Bahaya Doktrin Takfiri Salafi Jihadi yang berasal dari fahaman Salafi Wahabi adalah mereka mengkafir dan membunuh umat Islam berbanding memerangi musuh Islam sebagaimana berlaku di Iraq-Syria (selain menyatakan amalan agama yang baik sebagai bidaah dan lebih berdosa berbanding kegiatan maksiat).

* Penubuhan Daesh dan kewujudan berpuluh-puluh kumpulan pengganas berfahaman Salafi Jihadi masa kini adalah kemuncak kepada Gelombang Ketiga Khawarij yang bermula seawal 1980-an.

* Kita akan terus menyaksikan kemunculan ‘kumpulan pengganas Khawarij’ ini walaupun mereka dikalahkan sehingga munculnya Dajjal Laknatullah (sebagaimana maksud hadis).

*  Sejarah moden menunjukkan campur tangan kuasa asing ke dalam negara Islam berakhir dengan ketidakstabilan dan kemusnahan lebih besar sebagaimana berlaku di Lebanon, Afghanistan, Iraq, Libya dan Syria.