“Perumpamaan hamba yang bersedekah pada jalan Allah, mereka bagaikan menanam satu pohon yang memiliki tujuh cabang dan setiap cabang mempunyai 100 ranting, Allah melipat gandakan dengan segala kehendak-Nya. Maha luas rezeki Allah, Dia Yang Maha Mengetahui,” kata penceramah bebas Muhammad Arifin Ilham dalam satu khutbah Jumaat.

Dia yang merupakan pengasas kepada majlis taklim Adz-Dzikra berkata, Allah SWT boleh melipatgandakan apa sahaja dengan segala kehendak-Nya kerana sifat pemurah yang dimiliki-Nya terhadap hamba-hamba yang bersifat pemurah. Maha Suci Allah membalas kemurahan hamba-Nya dengan sifat pemurah-Nya.

Anak kepada bekas ulama besar Kalimantan itu berkata, seluruh umat Islam perlu percaya bahawa segala harta yang telah disedekahkan kepada Allah, maka Dia juga sebagai penjamin atas rezeki yang diberikan.

Jelasnya, semua orang mahukan harta yang dimiliki berada dalam keadaan selamat, malah memilih sebuah syarikat perbankan yang boleh memberi pulangan besar menerusi wang yang disimpan di bank tersebut.

Namun tegasnya, perbuatan tersebut adalah salah dan berdosa besar kerana melibatkan riba. Sedangkan Allah SWT telah berjanji untuk menggandakan harta dan rezeki hamba-Nya menerusi amalan bersedekah.

“Jadi, jika kita bersedekah pada jalan Allah, kita dibalas sekurang-kurangnya dengan gandaan 700 kali ganda. Bandingkanlah dengan gandaan yang diberikan oleh bank konvensional. Ternyata pembalasan Allah adalah jauh lebih jauh besar daripada apa yang kita peroleh daripada kekayaan dunia,” katanya.

Oleh itu menurutnya, tidak akan ada dermawan atau hartawan yang ikhlas bersedekah kerana Allah menjadi miskin kerana sifatnya yang suka bersedekah.

Seluruh malaikat akan sentiasa berdoa buat mereka yang suka bersedekah, mendoakan agar ditambahkan rezeki buat orang yang bersifat pemurah.

Tambahnya, Rasulullah SAW juga memberi jaminan terhadap orang yang suka bersedekah dengan menyatakan bahawa carilah rezeki dengan bersedekah.

Allah SWT juga memberi jaminan terhadap orang yang bersifat pemurah apabila menyatakan sebanyak 29 ayat dalam al-Quran berhubung amalan bersedekah.

Orang-orang dermawan sangat dicintai Allah SWT kerana dia mencontohi sifat Allah iaitu Ar-Rahman iaitu Maha Pengasih. Terjemahan sifat Ar-Rahman yang kedua adalah Maha Pemberi dan terjemahan ketiga adalah Maha Dermawan.

Oleh sebab itu, Allah SWT yang bersifat Maha Pengasih berasa sangat senang dengan orang yang bersifat pengasih sesama insan. Sesungguhnya, pintu syurga yang paling besar adalah buat mereka yang suka bersedekah.

Sesiapa yang berjaya ‘memerdekakan’ dirinya daripada sifat bakhil, maka mereka adalah orang yang berjaya. Orang yang bakhil tidak akan masuk syurga walaupun rajin beribadat.

“Ada orang yang senang untuk beribadah tetapi cukup sulit untuk bersedekah. Pada hari akhirat kelak, Allah SWT akan menggantungkan di lehernya atas apa yang dia bakhilkan selama di dunia. Orang bakhil tidak disukai Allah, para rasul dan malaikat. Malah makhluk yang berada di muka bumi juga tidak menyukai orang yang bersifat sedemikian.

“Bagi mereka yang suka bersedekah, dia sangat dirindukan oleh Allah SWT, para rasul, syurga dan seluruh makhluk. Malah seluruh alam akan mendoakan buatnya termasuk burung-burung, semut, ikan serta pohon-pohon bumi yang dipijak senang dengan dirinya yang bersifat dermawan,” katanya.