Ini kerana, pelajar berkenaan akan menempuh suasana persekitaran yang amat berbeza dari segi keperluan dan kehendak sebaik sahaja menamatkan pengajian. Pada masa itu, hidup mereka lebih memfokuskan kepada usaha membina dan memantapkan kerjaya serta keluarga.

Mungkin bagi yang berkecimpung dalam kerjaya berkait rapat dengan agama, risiko hafalan hilang adalah kurang. Tetapi, bagi yang sebaliknya, risikonya cukup besar. Cuma, apa yang baiknya adalah kecintaan mereka terhadap al-Quran masih menebal.

Mereka masih boleh membaca dengan sebutan dan tajwid yang tepat. Malah, terdapat dalam kalangan mereka berupaya mengajar orang lain membaca al-Quran dengan betul.

Bagaimanapun bagi kalangan cendekiawan Islam, isu lupa hafalan al-Quran itu tidak dipandang remeh. Mereka mahu isu tersebut ditangani dengan segera. Kelewatan menanganinya, dibimbangkan budaya hafalan al-Quran tidak dihayati oleh pelajar tahfiz termasuk mereka yang berada di luar bidang tersebut.

Antara platform yang digunakan untuk menyuarakannya adalah dalam Simposium Memperkasa Generasi Penghafaz Al-Quran anjuran Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pusat Kajian Quran (CQR) Universiti Malaya di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Seorang pensyarah di Fakulti Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Mohamad Marzuqi Abdul Rahim, menyifatkan penggunaan Alat Bantu Hafazan (ABH) dalam kalangan tenaga pengajar perlu dipertingkatkan supaya pembelajaran dan pengajaran (P&P) hafazan menjadi lebih menarik.

Beliau berkata, penggunaan ABH itu juga perlu kerana memberi kebebasan kepada pelajar tahfiz untuk menghafal al-Quran.

“Ada dalam kalangan pelajar itu yang hanya perlu membaca untuk menghafal al-Quran tetapi ada yang sesuai dengan menulis dan ada yang secocok dengan mendengar,” katanya.

Lebih penting, Mohamad Marzuqi percaya suasana P&P sedemikian bukan hanya akan mengelakkan pelajar berasa bosan atau jemu tetapi mampu merangsang dan memperkasakan minat mereka mengekalkan hafazan walaupun memiliki kerjaya bukan dalam bidang agama.

Ini kerana, P&P sedemikian juga akan membuatkan pelajar tahfiz berkenaan menjadi lebih kreatif dalam membina kaedah tersendiri untuk memastikan hafalan al-Quran mereka tidak hilang.

“Hasil kajian saya sebelum ini menunjukkan tahap penggunaan ABH dalam kalangan tenaga pengajar tahfiz amat kurang. Makmal tahfiz ada tetapi tidak digunakan secara optimum dan mereka lebih gemar guna cara tradisional.

“Contohnya, peralatan teknologi maklumat (IT). Generasi muda hari ini lebih awal terdedah kepada IT dan saya fikir, tenaga pengajar kena gunanya sebagai sebahagian P&P,” katanya di simposium tersebut.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk, Tahap Penggunaan Alat Bantu Hafazan (ABH) Dalam Kalangan Pensyarah Tahfiz Al-Quran Di Malaysia turut berpendapat bahawa tenaga pengajar tahfiz juga perlu mempunyai kemahiran dalam bidang pengajian al-Quran.

“Antaranya adalah cabaran kesuntukan masa hafalan atau mempunyai lokasi yang terhad. Maka hanya mereka yang memiliki kemahiran tahfiz atau pengajian Islam sahaja yang mampu menyelesaikannya,” katanya.

mega utusan malaysia

PENGHAFAZ al-Quran perlu memahami bahawa sifat dan keadaan hafazan yang dimiliki bukan selama-selamanya terlekat dalam ingatan. Hafazan memerlukan proses yang khusus dan program tertentu bagi meningkatkan daya ingatan kepada al-Quran.

Realitinya, menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Khairul Anuar Mohamad, ramai penghafaz al-Quran yang mampu baca al-Quran secara hafazan semasa dalam sesi pengajian tetapi selepas pengajian mereka terlupa.

“Mengikut seorang guru al-Quran, setiap penghafaz wajib mempunyai waktu bersesuaian untuk mengingati dan mengulang al-Quran. Sepatutnya setiap waktu kosong diisi dengan membacanya secara tenang dan tersusun.

“Penghafaz al-Quran juga perlu mengenalpasti jumlah surah atau juzuk yang tidak ingat. Di waktu yang sama mencari jalan untuk mengingati dan mengulangnya,” katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk, Sistem Kawalan Kualiti Huffaz.