Wuquf di Arafah pada 9 Zulhijah adalah Rukun Haji, manfaatkannya untuk memohon keampunan dan kemabruran haji. Perjalanan ke Arafah bermula pada 8 Zulhijah, sebagai persiapan awal para jemaah harus bersedia daripada beberapa aspek seperti:

Persediaan rohani

  • Mohon kepada Allah agar segala urusan di Arafah, Muzdalifah dan Mina berjalan lancar serta semuanya semata-mata mengharapkan pahala dan keredaan Allah.
  • Meninggalkan perkataan rafath (kotor, keji), tidak berbuat fasik, meninggalkan pertengkaran dan perkelahian.
  • Sentiasa bertenang semasa hadapi masalah dalam pelaksanaan ibadah haji dan yakin bahawa kesemuanya itu adalah kehendak serta ujian daripada Allah.
  • Sentiasa jaga solat fardu pada waktunya.

Persediaan minda

  • Sematkan dalam minda bahawa Arafah, Muzdalifah dan Mina adalah kemuncak pelaksanaan haji.

Persediaan fizikal

  • Sedia untuk berjalan dalam jarak yang jauh.

Perjalanan untuk melontar jamrah pada (10, 11, 12 dan 13 Zulhijah) perlu berjalan kaki dari khemah-khemah di Mina sejauh tujuh kilometer (km) iaitu 3.5 km pergi dan 3.5 km untuk pulang.

  • Bersedia menunggu dalam jangka masa yang lama.

Setiap pergerakan ke lokasi tempat suci semasa masyair dari Mekah, Arafah, Muzdalifah dan Mina perlu menaiki bas; ada ketikanya masa menunggu bas pada setiap lokasi akan mengambil masa yang lama.

  • Perjalanan yang lama.

Ia perlu dijangkakan kerana pergerakan ke tempat-tempat suci ini tidak hanya melibatkan jemaah Malaysia sahaja, malah ia juga melibatkan jutaan jemaah negara lain.

Apabila hampirnya untuk ke Masyair beberapa perkara disarankan kepada jemaah bagi menyiapkan diri, antaranya:

  • Rehat secukupnya dan jaga kesihatan.
  • Tangguhkan umrah sunat dibimbangkan keletihan.
  • Jangan keluar tanpa tujuan dibimbangkan tersasar dan lewat untuk pulang ke hotel penginapan.

Apabila telah sangat hampir dengan urusan pergerakan ke Masyair perkara penting yang perlu diperoleh daripada pihak pengurusan Maktab dan petugas Tabung Haji (TH) antaranya:

  • Hadir dan dengar dengan teliti sesi taklimat berkenaan perjalanan Masyair yang diberi oleh petugas TH.
  • Dapatkan stiker penempatan perkhemahan di Arafah dan Mina.
  • Sediakan keperluan pakaian persalinan yang memadai untuk tempoh lima hari.
  • Bawa keperluan persendirian untuk membersihkan diri dan lain-lain seperti ubat-ubatan yang perlu dimakan mengikut jadual.
  • Bawa wang saku mencukupi kerana tiada khidmat pengeluaran wang semasa di masyair.
  • Bawa lencana pengenalan diri ke mana-mana sahaja kerana ia mengandungi maklumat jemaah haji. Ia juga mempunyai maklumat penting seperti talian pusat bantuan tanah suci (012-5704433) dan TAIB (012-5706161).
  • Bawa buku rekod rawatan kerana ia membantu petugas perubatan merujuk rekod kesihatan jemaah dan menjadi panduan jika berlaku kecemasan.
  • Bawa alat seperti power bank kerana kemudahan mengecas di khemah masyair terhad.
  • Bawa alas tikar atau sejadah, lampu suluh, botol air minuman atau botol semburan untuk wuduk, nota doa berkenaan doa-doa semasa di masyair.

Penuhi masa di Arafah, Muzdalifah dan Mina dengan aktiviti bermanfaat.

  • Baca al-Quran, wirid dan zikir, berdoa terutama semasa hari Arafah, kerana ia adalah hari pengampunan.
  • Solat sunat, solat-solat fardu boleh dikerjakan secara jamak tamam.
  • Hayati khutbah Arafah dan berazam untuk mengamalkannya apabila pulang ke tanah air kelak.
  • Bantu jemaah haji lain yang uzur dan kurang kemampuan.

CABARAN SEMASA DI ARAFAH

1. Cuaca - Panas menjangkau sehingga 45 darjah Celsius, jemaah dinasihatkan supaya banyak minum air.

2. Khemah- keadaannya kecil dan mungkin jemaah perlu tidur secara bergilir.Ia hanya beralaskan karpet sahaja dan tiada tilam atau bantal.

3. Tandas - bilangannya terhad dan terpaksa berkongsi dengan ribuan orang hingga terpaksa beratur lama. Ada keadaan jemaah perlu bertolak ansur untuk beri laluan kepada jemaah lain yang berada dalam keadaan kecemasan.

4. Surau - tidak besar dan tidak semua jemaah dapat memasukinya, mungkin ada yang perlu solat dan mendengar khutbah dari kawasan luar surau. Manakala di Mina tiada surau, untuk solat perlu di lakukan di ruang khemah penginapan jemaah

5. Menaiki bas – menaiki bas dari lokasi ke lokasi – melibatkan tempah masa menunggu lama disebabkan keadaan jalan yang sesak dan mungkin berlaku kelewatan.


NASIHAT UNTUK JEMAAH

1. Patuhi arahan tepati masa untuk sebarang urusan pergerakan seperti menaiki bas dan perjalanan untuk melontar.

2. Bergerak dalam kumpulan yang betul berdasarkan arahan dikeluarkan oleh petugas TH.

3. Sentiasa berusaha untuk mendapatkan maklumat pergerakan supaya tidak ketinggalan dan tergopoh-gapah.

4. Bertenang dan bersedia untuk membantu jemaah haji lain yang memerlukan bantuan.

5. Fokus dengan setiap urusan ibadat yang di lakukan supaya semuanya dilaksanakan dengan tepat dan betul tanpa was-was.

6. Jaga kebersihan diri dan kawasan perkhemahan kerana kesucian adalah perkara yang dituntut oleh Islam semoga kita mendapat haji mabrur.