Namun, ia bukan sesuatu yang mudah. Banyak cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi dan ini diakui sendiri oleh seorang bekas jemaah haji tahun lalu, Azman Md. Yusoff, 55.

Pesara swasta yang mengerjakan ibadah itu bersama isterinya, Zauridah Mokhtar, 50, menyatakan bahawa cabaran tersebut bukan bermula di Mekah sebaliknya di tanah air sendiri.

“Biasanya, surat tawaran haji akan diterima beberapa bulan sebelum musim haji tahun berkenaan bermula. Ia untuk membolehkan bakal tetamu Allah melakukan persiapan seperti yang termaktub dalam surat tawaran itu.

“Ketika inilah bermula cabaran. Seronok dan gembira terima surat tawaran itu akan hilang sekelip mata apabila mula melalui cabaran tersebut,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Tabung Haji di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Azman tidak menafikan bahawa beliau dan isteri cukup seronok bila terima surat tawaran mengerjakan ibadat haji lebih awal daripada tahun yang sepatutnya.

“Tetapi, kegembiraan mula pudar apabila masalah-masalah seperti ilmu, kewangan, kesihatan, dan lain-lain tampil dalam fikiran kami. Sebab itulah bila orang tanya, saya cakap seronok pun ada, tak seronok pun ada,” katanya.

Mungkin disebabkan terpaksa menunaikan haji lebih awal berbanding perancangan asal. Beliau menyasarkan pada tahun ini kerana boleh menggunakan sedikit wang persaraan bagi menampung perbelanjaan semasa di Tanah Suci.

“Semasa surat tawaran diterima, wang simpanan kami tidaklah banyak. Ditambah dengan masalah-masalah lain, menyebabkan saya empat kali gagal dalam ujian kesihatan. Doktor mengesahkan saya ada darah tinggi sedangkan sebelum ini, tiada penyakit itu.

“Keadaan menjadi lebih getir apabila isteri menyatakan hasrat untuk menarik diri. Mungkin dia rasa sedih dan susah hati dengan apa yang kami hadapi,” katanya yang mempunyai seorang anak.

Azman mengakui turut terpengaruh dengan hasrat isterinya, namun selepas memikirkan bahawa inilah peluang terbaik untuk mereka berdua ke Tanah Suci, maka beliau memutuskan untuk tidak mensia-siakannya.

“Selain doa dan solat hajat setiap hari, kami juga berjumpa dengan ustaz bagi mendapat nasihat dan bimbingan berhubung dengan apa yang dihadapi. Usaha tersebut ternyata amat berbaloi,” katanya.

MANIFESTASI KETAATAN SEORANG HAMBA

Bagi Azman, apa yang beliau dan isterinya hadapi itu adalah dugaan ketaatan seorang hamba kepada Pencipta kerana ibadat haji merupakan pengembaraan rohani bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Justeru, beliau percaya apa yang berlaku itu adalah untuk mereka berdua memperbetul niat dan tujuan bukan hanya bagi menunaikan haji tetapi termasuk hidup seharian atas muka bumi ini.

“Bagi bakal jemaah haji saya nasihatkan, jangan berhenti berdoa walaupun sudah menerima surat tawaran. Surat tawaran itu, bagi saya, hanyalah pembukaan cerita sahaja.

“Berusaha dengan sebaik mungkin menyelesaikan apa jua masalah yang timbul. Jangan cepat putus asa dan paling penting, ia adalah ujian Allah SWT dan pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Selain berdoa, Azman menyatakan bahawa bakal jemaah haji perlu berusaha menambah ilmu berkaitan sama ada melalui pembacaan dan kuliah agama.

“Jangan sesekali ponteng kursus haji sama ada anjuran Lembaga Tabung Haji atau pihak lain yang berkaitan kerana di situlah kita akan peroleh banyak maklumat berkaitan.

“Malah, semasa kursus diadakan, kita berpeluang bertanya apa jua masalah yang timbul kerana penceramahnya dalam kalangan mereka yang banyak pengalaman mengenai haji,” katanya.