Sambil memohon maaf berhubung persoalan yang ditimbulkan olehnya kepada sidang jemaah yang tekun mendengar ceramah disampaikan, dia turut bertanyakan kepada hadirin berhubung persediaan dipersiapkan bagi menghadapi Allah SWT.

Ketika mana umat manusia sibuk mengejar dunia yang bersifat sementara, apakah yang telah dilakukan bagi membolehkan dirinya layak memasuki syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan.

Katanya, keluar mencari rezeki ketika awal pagi dan pulang ke rumah lewat malam, segala jenis tugas dan pekerjaan dilakukan bagi membolehkan harta kekayaan dunia dapat dikumpulkan.

Biarpun berjaya menjadikan rumah semakin luas dan kenderaan bertambah banyak, sedarkah manusia bahawa semua kekayaan itu bakal ditinggalkan?

Jelas penceramah berusia 34 tahun itu, pada hakikatnya, semua daripada manusia sedar bahawa pada satu saat iaitu waktu yang dijanjikan Allah tentang kematian, semua kekayaan yang dikumpulkan di dunia ini tidak mampu dibawa ke alam yang kekal selamanya iaitu akhirat.

“Apa yang akan dibawa ke sana adalah bekalan amal ibadah sahaja. Maka demi Allah, saya katakan, kalau untuk urusan sementara iaitu dunia yang sementara ini, anda begitu serius merencana dan mengerjakan segalanya demi memperoleh hasilnya, bagaimana pula bekalan akhirat yang akan dibawa pulang?,” katanya.

LUPA MATLAMAT ASAL

Jangan jadikan dunia yang bersifat sementara ini menyaksikan kita bersungguh-sungguh melakukan pelbagai tugas untuk meraih kekayaan, sedangkan menuju alam akhirat yang kekal selamanya, kita hanya bersifat sambil lewa dan menangguhkan segala amalan baik untuk dilaksanakan.

Tegasnya, ketika mana saat manusia dikumpulkan bagi diperingatkan tentang kematian, fikirkanlah dengan segera apa yang telah dipersiapkan, seterusnya akan dibawa ke akhirat sebagai bekalan terbaik bertemu dengan Allah SWT.

Soal penceramah kelahiran Pandeglang, Banten itu kepada hadirin, adakah amalan wajib yang diperintahkan ke atas kita sebagai umat Islam telah dilaksanakan dengan sempurna atau sebaliknya?

“Jangan-jangan kelmarin belum sempat solat berjemaah? Atau kelmarin baru berjaya melaksanakan solat fardu sebanyak tiga waktu sahaja? Atau solat fardu telah ditunaikan tetapi belum amalan sunah lain.

“Diberi kesempatan pada hari ini, tambahkan dengan amalan sunah lain. Sekiranya masih belum berkesempatan membaca al-Quran pada hari Jumaat yang penuh keberkatan ini, maka cepat-cepatlah mencari bekal amalan terbaik untuk dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, menurut Adi, mana-mana individu yang telah mencecah usia 40 tahun, al-Quran menganjurkan untuk memperbanyakkan memohon keampunan kepada Allah SWT berserta doa kebahagiaan buat kedua ibu bapa yang telah banyak berkorban kepada diri kita.

Pada usia ini, katanya, umat Islam digesa untuk banyak berdoa agar Allah membimbing dirinya untuk mengerjakan banyak amal soleh yang diredai-Nya.

Setelah beberapa puluh tahun, usia terpaksa dibahagikan kepada perkara-perkara lain termasuk separuhnya telah digunakan untuk tidur dan berehat, maka telah tiba masa untuk berusaha melakukan amal soleh yang diredai Allah tanpa ada perasaan riak dan sebagainya.

Sehubungan itu, katanya, setiap umat Islam perlu memeriksa kembali tempoh usia yang telah diberikan Allah kepadanya dan bagaimana usia tersebut dimanfaatkan.

“Adakah daripada jumlah usia panjang yang telah diberikan oleh Allah itu dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amalan baik termasuk menghafaz al-Quran atau sebagainya? Jika masih belum dapat berusaha melaksanakan amalan baik, bertekadlah dalam diri untuk memperbaiki amalan baik pada baki usia yang masih ada,” katanya.