Ini sejajar dengan projek pembangunan dan aplikasi ICT yang mereka inisiatifkan itu lebih memberi tumpuan kepada usaha memupuk nilai dan ajaran berteraskan agama Islam.

Antaranya, aplikasi Education Game For Kids: Know Your Heros yang kini sedang dibangunkan oleh dua pelajar ICT tahun tiga iaitu Nor Akma Mohamad Saupe, 24 dan Nor Aqilah Mohammad, 24 tahun.

Aplikasi pembelajaran secara santai itu memberi tumpuan kepada kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun dan setakat ini, ia berada di peringkat pengumpulan serta mengemaskini data-data yang diperlukan.

“Kami sedar aplikasi ICT berasaskan pengajaran dan pembelajaran asas Islam sudah banyak di pasaran tetapi apa yang kami sedari setakat ini, kisah tentang sahabat Rasulullah SAW masih kurang,“ kata Nor Aqilah.

Untuk itu, mereka berdua memfokuskan terlebih dahulu kepada empat sahabat Baginda SAW iaitu Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali tetapi dilaksanakan dalam bentuk santai sambil diselitkan dengan permainan.

“Matlamat kami untuk menjadikan aplikasi ICT ini mesra dengan kanak-kanak. Bukan hanya dari segi ilmu tetapi elemen-elemen yang ada di dalamnya,” katanya.

MENCONTOHI ILMUWAN SILAM

Berlainan pula dengan produk yang sedang dibangunkan oleh pelajar ICT tahun empat, Ahmad Hazim Ibrahim, 24. Aplikasi yang dikenali Virtual Experiment (VE) bermatlamat untuk menjadikan subjek Sains menarik dipelajari.

Ini sejajar dengan kajian ilmuwan Islam zaman silam sehingga penemuan atau kajian mereka dalam Sains menjadi rujukan manusia sehingga hari ini.

Dengan aplikasi VE itu, pelajar berpeluang melakukan ujikaji dalam makmal secara maya. Dengan itu, pelajar tidak perlu takut jika berlaku kesilapan campuran bahan kerana mereka boleh melakukannya berulang kali.

“Selain itu, VE turut dilengkapi dengan video simulasi uji kaji dalam makmal yang pernah dilakukan sebelum ini dan untuk itu, saya ambil ujikaji pelajar tingkatan empat dan lima sekolah menengah,” katanya.

CARI JODOH

Begitu juga dengan aplikasi Zawjan yang dibangunkan oleh dua pelajar tahun empat berusia 24 tahun iaitu, Fatin Najwa Abdullah Sani dan Umairah Ahmad Khairuddin.

Aplikasi itu bertujuan membolehkan lelaki atau perempuan mencari pasangan hidup masing-masing berteraskan nilai dan ajaran agama Islam yang sebenar.

“Kami akan kumpulkan maklumat mereka yang berminat dalam pangkalan data sebelum melakukan padanan dan bila sudah siap, kami akan e-mel kepada pasangan berkenaan.

“Buat masa ini, kami hadkan kepada pelajar dan kakitangan UIAM sahaja supaya ia dapat beri peluang kepada kami untuk menambah baik apa sahaja kekurangan yang ada,” kata Fatin Najwa.

MANTAPKAN TAJWID

Bagi pelajar tahun empat. Muhammad Ghufran Musa, 26, memberi fokus membangunkan aplikasi yang dipanggil Maq4u iaitu bersempena institusi pengajian agama milik keluarganya di Melaka, iaitu Madrasah al-Qura.

Beliau berkata, aplikasi yang sedang dalam pembangunan tersebut memberi tumpuan kepada pembelajaran teknik sebutan tajwid al-Quran yang betul.

“Dalam pengajian al-Quran, sebutan tajwid yang betul menjadi antara masalah utama pelajar dan pada pemerhatian saya, ia berpunca daripada kesukaran mereka mendengar dengan betul sebutan tajwid oleh guru.

“Jadi, melalui aplikasi ini pelajar boleh lakukan ujian perbandingan antara sebutan dia dengan gurunya dan pada masa sama, guru boleh menegur atau memperbaiki sebutan pelajar,” katanya.