Situasi kehidupan hari ini tidak sama seperti zaman sebelum ini. Tugas mencari rezeki keluarga bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada lelaki atau suami. Isteri bekerja atau menjadi usahawan tidak lagi satu yang luar biasa masa kini.

Mereka pasti bimbang untuk meninggalkan ibu bapa sendirian di rumah ketika keluar bekerja. Lebih membimbangkan jika kedua-duanya berusia lanjut atau menghidap penyakit tertentu, selain ancaman penjenayah.

Ini turut diakui seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor Dr. Isa Hamzah yang mempunyai pengalaman agak lama dalam hal berkenaan.

Beliau yang turut berpengalaman mengurus dan mengendali komuniti warga emas bersama sebuah organisasi berkaitan di Bangi itu merasakan sudah tiba masanya masyarakat umum bersikap terbuka terhadap isu berkenaan.

“Saya melihat ini sangat perlu dan mendesak kerana kita tidak mahu sakit pening atau kematian ibu bapa kita, tidak ada orang tahu atau sempatkah mereka mengucap.

“Usia warga emas ini, terutama di kampung-kampung sering kali menjadi sasaran penagih dadah atau penjenayah untuk merompak,” kata beliau ketika ditemui di Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor, baru-baru ini.

Berasaskan suasana itu, di samping impian sendiri untuk menguruskan komuniti warga emas, beliau kini dalam proses menyiapkan sebuah pusat jagaan warga emas di kampung berkenaan yang menekankan aspek pembelajaran pondok dan kawalan keselamatan selama 24 jam.

“Dengan kata lain, kalau warga emas itu tidak hadir pada mana-mana program yang diadakan atau pengsan secara tiba-tiba, ia akan disedari pihak pengurusan atau kalangan warga emas yang lain.

“Lebih penting, warga emas berkenaan tidak akan rasa sunyi kerana mereka ada teman sebaya untuk bersembang atau melakukan aktiviti harian di pondok itu,” katanya.

BERKONSEPKAN WAKAF

Pondok Unais yang terletak di tanah seluas 0.72 hektar di Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor itu mempunyai kelebihan tersendiri kerana bukan hanya berkonsepkan perumahan berpagar.

Tetapi projek yang kini sudah 40 peratus siap itu juga menawarkan amalan berwakaf dan pengajian agama serta pelbagai kemudahan asas sesuai untuk warga emas.

“Amalan wakaf itu adalah anak-anak boleh membeli unit kediaman yang ditawarkan dan mereka wakafkan unit tersebut ke atas nama ibu bapa masing-masing.

“Ibu bapa mereka boleh tinggal di unit berkenaan sehingga meninggal dunia dan selepas itu, kami akan uruskan unit tersebut sebagai harta wakaf,” kata Isa.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, anak-anak juga boleh membeli unit itu bagi dijadikan harta wakaf untuk diri sendiri dan juga sebagai tempat tinggal mereka bila berusia warga emas kelak.

Malah, tambahnya, orang ramai boleh berwakaf mengikut kemampuan kewangan masing-masing dan bila sudah mencapai jumlah yang sesuai, maka akan dibina sama ada unit kediaman atau kemudahan lain.

“Golongan pewakaf seperti ini ada tiga jenis iaitu mahu duduk tetapi bila tua nanti, tidak mahu duduk dan duduk pada hujung minggu atau waktu tertentu sahaja.

“Jadi, waktu-waktu yang kosong, kami akan urus seperti konsep homestay bagi mengelakkan unit itu rosak atau wujud status tidak mampu diselenggarakan,” katanya.

Selain itu, Isa turut menyatakan bahawa beliau kini dalam proses perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan bagi memastikan aspek pengurusan dan sistem pembelajaran di pondok itu sesuai dengan keperluan warga emas.

Tambahnya, usaha itu perlu bukan hanya bagi memenuhi impian beliau selama ini untuk menabur jasa kepada warga emas, bahkan mahu menjadikan institusi tersebut boleh dipercayai.

“Harapan saya agar pondok itu dapat beroperasi sepenuhnya hujung tahun depan dan atas sebab itulah, saya amat mengalu-alukan sesiapa yang ingin berwakaf atau pertanyaan boleh hubungi pada talian 019-3372790,” katanya.