WAKAF ialah penahanan harta yang boleh dimanfaatkan dan ia adalah kekal serta digunakan pada perkara yang harus. Mengenai pemilikan harta wakaf, ia bukan lagi menjadi milik pemilik harta yang asal.

Contohnya apabila seseorang mewakafkan rumah untuk dijadikan pusat tahfiz, kemudian dia ingin menjualnya, maka ia adalah tidak harus.

Pemilik rumah sudah tidak lagi memiliki rumah tersebut, begitu juga dengan tanah.

Wakaf tanah menjadikan tanah itu bukan lagi milik pemilik asal tanah. Tanah wakaf hendaklah digunakan sebagaimana hasrat pewakaf tanah.

Tanah itu tidak menjadi milik guru agama yang membangunkan pusat tahfiz dan pusat pengajian agama. Maka guru agama yang menerima tanah wakaf tidak seharusnya menjual tanah wakaf itu.

Bagaimanapun, terdapat perbincangan ulama tentang istibdal wakaf. Istibdal bermaksud penggantian wakaf contohnya tikar masjid. Tikar ini dibeli dengan duit wakaf dan apabila sudah terlalu lama, maka tikar ini harus dijual dengan tujuan untuk dibeli tikar yang baharu. Ia agar jariah wakaf berterusan.

Oleh itu, jika isu pertukaran tanah wakaf ini perlu dilakukan maka ia boleh dibincangkan dalam konsep istibdal wakaf.

Perkara ini sewajarnya dirujuk kepada pejabat mufti negeri.

 

Ada insan yang malas bersolat dengan alasan tiada paksaan dalam agama. Benarkah alasan itu?

ALASAN sebegitu tidak benar. Keimanan kepada Allah hendaklah disuburkan dengan amalan soleh. Contohnya menunaikan solat fardu dan ibadat-ibadat lain.

Bagi yang tidak menunaikan solat fardu, hendaklah insaf bahawa solat fardu adalah suatu kewajipan. Mohonlah keampunan kepada Tuhan kerana kelalaian ini.

 

Saya ingin menunaikan haji bersama isteri tetapi saya ada berhutang dengan isteri dan rakan niaga yang lain. Mana yang perlu diutamakan pembayaran hutang sebelum pergi haji?

PADA pandangan saya, seeloknya diselesaikan pembayaran hutang dengan rakan-rakan terlebih dahulu.

Ini kerana suami isteri sewajarnya bertolak-ansur dalam rumah tangga. Apatah lagi suami isteri akan pergi bersama menunaikan ibadat haji.

 

Apakah hukum menjual darah dan anggota badan manusia?

TIDAK harus perniagaan darah dan anggota badan manusia. Secara logik akal, jika jual beli anggota badan diharuskan, sudah tentu manusia akan diculik dan dibunuh bagi tujuan mendapatkan anggota badan manusia.

Adapun dalam konteks derma, maka tiada masalah untuk menderma darah. Adapun pendermaan anggota badan manusia, wujud perbezaan pendapat antara harus dan tidak harus.

Sebahagian para ulama berpendapat bahawa pendermaan anggota badan adalah harus. Contohnya derma buah pinggang, sebahagian hati dan sebagainya.