Antaranya adalah mengenai kewujudan Allah SWT, syurga, neraka, arasy, padang mahsyar, pahala, dosa, malaikat, iblis, syaitan, jin dan lain-lain.

Ini diakui oleh seorang ulama Islam kelahiran Amerika Syarikat (AS), Mohammad Elshinawy dalam satu siri ceramah beliau di New York, AS yang disiarkan oleh https://yaqeeninstitute.org baru-baru ini.

Namun, bekas graduan Universiti Madinah (Arab Saudi) menyifatkan persoalan tersebut bukanlah sesuatu yang harus dipinggirkan oleh umat Islam. Ia bukan hanya kerana kepenti­ngannya dari sudut akidah tetapi juga sebagai satu peluang untuk berdakwah kepada golo­ngan sedemikian.

“Ulama dan ilmuwan Islam telah mengkaji untuk mencari jawapan kerana mereka sedar serangan sedemikian bukan hanya boleh menjejaskan iman umat Islam tetapi dalam masa sama, ia adalah peluang untuk berdakwah kepada bukan Islam,” katanya.

Ikut soal jawab bersama beliau di bawah:

Apa maksud kata-kata itu?

Mohammad Elshinawy: Persoalan itu sebenarnya memerlukan umat Islam kembali kepada asas dan dalam masa sama, mencari perlindungan (ilmu) agar mampu menanganinya pada masa depan.

Boleh terangkan lebih lanjut?

Saya gemar mengambil contoh kata-kata yang diucapkan oleh seorang profesor yang ditemui di bandar raya New York sebelum ini.

Apa yang menarik, lelaki itu bergelut dengan keimanannya sendiri dalam tempoh agak panjang sehingga pada satu tahap menyatakan bahawa dirinya sebagai ateis.

Tetapi beliau telah kembali kepada Islam apabila membaca satu rangkap tulisan seorang ilmuwan Islam terkenal dari Pakistan, Muhammad Iqbal. Dengan hanya satu rangkap itulah, beliau menamatkan pegangannya sebagai ateis.

Apakah rangkap itu?

Muhammad Iqbal menulis sambil mempersoalkan iaitu: “Pasti­nya, anda boleh menafikan Tuhan, tetapi bagaimana untuk anda menafikan Nabi Muhammad SAW?

Maksudnya?

Kata-kata itu sebenarnya membuktikan bahawa kewujudan Muhammad SAW itu memang ada kenyataan atau penerangan yang logik. Tidak perlu dikaitkan dengan elemen keajaiban.

Boleh terangkan lebih lanjut?

De­ngan kata lain, anda boleh berkata, “Saya tidak akan percaya terhadap sesuatu yang saya tidak nampak dengan mata kasar. Tidak perlulah lagi meng­ulas panjang mengenainya.”

Tetapi bagaimana boleh anda menafikan hakikat seseorang bernama Muhammad SAW yang lahir dan hidup seperti manusia lain? Lelaki itu yang kemudiannya diiktiraf umum sebagai seorang lemah lembut, halus bi­cara, bersikap pemalu, manusia yang diberkati, sabar dan adil.

Malah, apabila berada di medan peperangan, Nabi Muhammad SAW akan berada di hadapan sekali sebelum diikuti di bahagian belakang para sahabat dan pengikut Ba­ginda.

Adakah itu sahaja?

Mo­hammad Elshinawy: Tidak. Bagaimana anda boleh terangkan mengenai fakta sejarah yang menyatakan hanya Ba­ginda SAW sahaja yang berjaya menghapuskan amalan perhambaan dan minum arak dalam masyarakatnya?.

Hasil penghapusan tersebut bukan hanya telah memberi kebaikan kepada manusia selepas itu tetapi 
juga mengukuhkan amalan 
hak kebebasan yang wujud 
pada hari ini.

Selain itu?

Mohammad Elshinawy: Samalah dengan soalan, bagaimana untuk anda terangkan atau nafikan bahawa Nabi SAW telah diiktiraf sebagai manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah manusia sehingga kini?