SEBAGAI Muslim, sewajarnya kita tidak membela anjing sebagai haiwan peliharaan atau disebut sebagai pet. Hadis adalah sumber kedua dalam Islam dan dalamnya dinyatakan bahawa membela anjing akan menyebabkan pahala amalan dikurangkan sebanyak satu qirat. Satu qirat bersamaan dengan Bukit Uhud. Maka maksud daripada hadis ini adalah tegahan daripada memelihara anjing.

Namun, ada beberapa pengecualian dalam isu ini yang dinyatakan dalam hadis. Antaranya kerana ternakan dan kebun. Sekiranya wujud sebab yang dibenarkan syariah, maka harus untuk membela anjing. Antara sebab yang kuat ialah aspek keselamatan. Ini bermakna harus dipelihara anjing untuk tujuan keselamatan. Contohnya pihak polis, pihak tentera, kastam dan agensi yang perlu untuk memelihara anjing.

Islam juga amat mementingkan sifat rahmat dan belas kasihan kepada makhluk Ilahi. Ada kalangan Muslim yang benci kepada anjing. Ada yang membaling batu dan menendang anjing tanpa sebab, semua perbuatan ini bertentangan dengan sifat rahmat. Sebaliknya tidak salah untuk membantu anjing, memberi minum dan makanan, menyelamatkan anjing yang cedera dan sebagainya. Namun tidaklah sampai dijadikan haiwan peliharaan seperti kucing.