Namun, kemelut tersebut tercetus apabila keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini membenarkan anak luar nikah pasangan beragama Islam menggunakan nama bapa masing-masing atau bapa biologi.

Perkara itu mendapat maklum balas banyak pihak dan mengambil langkah seterusnya dengan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan melalui Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan itu.

Usaha itu turut disokong penuh oleh Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan menyarankan semua Majlis Agama Islam agar memohon mencelah dalam kes di Mahkamah Persekutuan dan berhujah mempertahan keputusan mahkamah tinggi.

Bercakap pada Sidang Meja Bulat bertajuk Bicara Ilmiah Anak Tidak Sah Taraf, baru-baru ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, asasnya umat Islam perlu memahami maqasid (falsafah) sebenar ketetapan ‘bin’ atau ‘binti’ bagi anak luar nikah.

Menggunakan ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau bapa biologi bukan isu pokok sebaliknya polemik tersebut menunjukkan kesan yang berlaku apabila masalah zina berleluasa dalam kalangan umat Islam.

“Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan mewartakan bahawa anak yang dilahirkan lebih dari enam bulan Qamariah dari tarikh sesuatu pasangan itu diakadnikahkan ialah anak sah taraf. Bermakna boleh di ‘bin’ atau ‘binti’ kepada bapa biologinya, namun jika kurang daripada itu hendaklah menggunakan nama Abdullah atau 99 nama Allah.

“Ulama memutuskan tempoh enam bulan Qamariah itu hanyalah sekadar pandangan umum. Walaupun agama membenarkan tetapi secara moralnya tetap salah dan berdosa, mengapa ulama membenar menggunakan nama bapa sebenar bagi pasangan yang melahirkan anak lebih enam bulan dari tempoh pernikahan walaupun pada asasnya kedua-dua keadaan tersebut disebabkan zina.

“Ini menunjukkan Islam memberi peluang kedua-dua kepada pelaku zina untuk bertaubat dan bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan. Dalam masa sama, anak itu juga selamat daripada menanggung malu kerana kesalahan ibu bapanya,” katanya.

Sidang Meja Bulat anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) itu turut dibentangkan oleh Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan, Fakulti Perubatan dan Sains, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, isu itu juga berlaku disebabkan kelemahan pendidikan seks berasaskan Islam, kebebasan mengakses bahan-bahan lucah serta pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, setelah meneliti pelbagai dalil dan hujah menerusi al-Quran, hadis, amalan sahabat serta fuqaha, anak tidak sah taraf dilarang di ‘bin’ atau ‘binti’kan kepada bapa biologi.

“Isu menutup malu dan aib bukanlah alasan kuat kerana syariat Islam jelas menunjukkan larangan menggunakan ‘bin’ atau ‘bintikan’ selain bapanya yang sah melalui perkahwinan. Ini kerana banyak hukuman dalam Islam diperintahkan supaya dilaksanakan secara terbuka, termasuk dalam kes sebatan zina.

“Jika yang dimaksudkan mendapat malu itu adalah si anak, maka mudarat menyembunyikan itu lebih besar. Ini kerana ia berkaitan dengan soal pembahagian faraid dan wali nikah bagi wanita,” jelasnya.

FATWA MENGIKAT MAHKAMAH

Keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan anak luar nikah pasangan beragama Islam menggunakan nama bapa biologi disifatkan bercanggah dengan perlembagaan dan enakmen undang-undang negeri.

Zainul Rijal berkata, antaranya perkara itu merujuk kepada Fasal 49, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003, dan Seksyen 49, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor), 2003, menyatakan fatwa yang disiarkan atau dimaklumkan adalah mengikat.

“Fasal 49(1) menyatakan, mana-mana fatwa telah disiarkan atau dimaklumkan, maka ia hendaklah mengikat setiap orang Islam yang berada di Johor dan Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia telah mendapat kecualian oleh jawatankuasa fatwa berdasarkan hukum syarak.

“Begitu juga mengikut Seksyen 34(4), Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993, sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua mahkamah dalam Wilayah Persekutuan sebagai autoriti mengenai semua perkara yang dinyatakan dalamnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Akta Pendaftaran perlu dibaca bersama undang-undang lain termasuklah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Islam yang sah berkuat kuasa.

LEBIH MUDARAT

Berkongsi pengalaman lebih 25 tahun mengendalikan kes di mahkamah syariah, Zainul Rijal mengakui pernah berhadapan dengan lima kes berhubung anak tidak sah taraf yang ‘dibin’ atau ‘bintikan’ kepada bapa biologinya termasuk satu daripadanya status anak angkat.

Kelima-lima kes itu katanya, membabitkan wanita yang telah bertunang dan ingin melengkapkan urusan pernikahan bersama pasangan masing-masing.

“Sewaktu kecil, kanak-kanak itu diberikan kasih sayang, ditatang seperti minyak yang penuh dan dijaga seperti anak-anak lain walaupun tidak sah taraf. Kedua-dua ibu bapa cuba merahsiakan perkara sebenar kononnya kerana bimbang perasaan kanak-kanak itu akan berasa malu dan terpinggir daripada rakan lain.

“Namun, semua rahsia itu terbongkar apabila tiba masa kanak-kanak perempuan itu telah dewasa dan menyatakan hasrat untuk berkahwin. Bapa itu sedar dia tidak layak menjadi wali kepada wanita itu dan berterus terang perkara sebenar.

“Bayangkan, bagaimana perasaan seorang gadis pada waktu itu. Sudah pasti jiwanya memberontak, emosinya hancur kerana baru sedar seumur hidupnya ditipu oleh individu mengaku ibu bapanya yang sah.

“Lebih menyedihkan, kelima-lima kes itu berakhir dengan putus pertunangan,” ujarnya.