Ia dapat dilihat melalui pendekatan metodologi dakwah dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) khususnya kepada Orang Asli dan saudara baharu.

Dalam konteks Orang Asli, penyampaian dakwah sama ada secara ‘dakwah bil hal’ dan ‘bil lisan’ dijalankan secara berterusan bagi mempromosi Islam kepada kira-kira 12,000 orang masyarakat itu yang tinggal di 68 perkampungan di seluruh negeri.

Ternyata pendekatan yang digunakan dapat diterima oleh masyarakat terbabit kerana tiada paksaan untuk mereka memeluk Islam. Malah, melalui dakwah secara bersemuka banyak membantu Orang Asli mengenali dan seterusnya menerima Islam secara sukarela.

Pada masa ini terdapat 2,471 Orang Asli beragama Islam di negeri ini. Bagi melicinkan usaha dakwah, terdapat 17 Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan 28 Orang Rakan Ziarah Orang Asli JHEAINS yang terdiri daripada pegawai berpengalaman dengan sosiobudaya masyarakat itu.

PROGRAM BERSEPADU

Dalam mengukuhkan penghayatan terhadap Islam, pelbagai program dilaksanakan melalui sumber asnaf zakat mualaf. Ini termasuk program pendidikan agama melalui kelas dan bimbingan fardu ain di 40 perkampungan Orang Asli sebanyak 10 kali sebulan.

Seramai 1,000 Orang Asli menghadiri kelas ini meliputi pengajian al-Quran, fikah, tauhid, sirah dan akhlak dengan dibimbing oleh 40 orang guru.

Antara aspek diberi perhatian adalah kebajikan masyarakat tersebut dan Bahagian Dakwah bertanggungjawab mengendalikan kes-kes kebajikan seperti menguruskan kematian mualaf dan perkahwinan Orang Asli beragama Islam.

Isu lain yang dikendalikan termasuk kes bersekedudukan, kecelaruan akidah, perebutan jenazah dan mualaf dipinggir keluarga selepas memeluk Islam.

TURUN PADANG

Selain itu, memberikan khidmat dan nasihat kepada Orang Asli Islam juga menjadi antara tugasan yang dilakukan.

Ia tidak terhenti di pejabat sahaja malah ziarah bimbingan rumah ke rumah dijalankan oleh PMOA dan Rakan Ziarah daerah. Seramai 45 pegawai turun padang dengan bertugas di 18 zon di seluruh negeri.

Bantuan makanan juga disalurkan setiap bulan kepada 618 keluarga Orang Asli Islam yang layak bagi membantu meringankan beban hidup. Mereka juga diberi bantuan lain seperti dermasiswa pelajaran, bantuan sara hidup, perkahwinan dan perubatan.

Sepanjang tahun lalu, JHEAINS menjalankan 82 program dakwah kepada Orang Asli. Sebanyak 40 program dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta badan bukan kerajaan antaranya pejabat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Kementerian Kesihatan, Bank Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Aman Palestin dan lain-lain lagi.

Untuk kemudahan beribadat pula, terdapat 32 surau di kampung Orang Asli seluruh negeri termasuk dua yang baru dibina pada tahun lalu. Sebanyak enam buah surau ditambah baik pada tahun lalu, manakala tujuh lagi menerima sumbangan pelbagai pihak.

Dua buah rumah PMOA pula dibina Jakim di Sungai Sampo, Jempol dan Sungai Lerek, Tampin.

Bilangan tenaga dakwah terus ditambah dengan 20 orang imam (pengurus surau) Orang Asli dilatih sehingga tahun 2016, bertujuan memantau Orang Asli yang beragama Islam.

Dalam pada itu, program latihan lanjutan agama Islam juga dirancang mengikut keperluan semasa. Kelas bagi golongan ini diadakan di 40 lokasi seluruh negeri. Orang Asli yang baru memeluk Islam diwajibkan menghadiri kursus asas kefahaman Islam yang diadakan setiap bulan.

Bagi mualaf yang berminat mendalami ilmu agama mereka akan dihantar ke Kompleks Al-Saadah, Seremban sebagai persediaan melanjutkan pengajian peringkat diploma dan yang lebih tinggi.

Dalam urusan pendaftaran sebagai individu beragama Islam, seorang pendaftar mualaf bertanggungjawab dalam hal ehwal tersebut. Urusan pengeluaran kad akuan Islam dapat diselesaikan dalam masa dua hari dan proses memasukkan identiti pengislaman di Jabatan Pendaftaran Negara akan turut dibantu oleh mereka yang bertanggungjawab.