Menyedari hakikat itu, Pengasas Celik Iman Resource, Mohd. Yusof Din mengambil inisiatif menyantuni masyarakat Orang Asli Kampung Desa Damai Royal Belum, Gerik, Perak membimbing mereka membaca al-Quran dengan cara mudah dan santai.

Katanya, anak-anak Orang Asli mahu pun golongan dewasa dapat menerima kaedah pembelajaran menerusi teknik Haraki yang berasaskan lenggok gerak tari tangan dan badan.

‘’Walaupun kaedah Haraki ini di sampaikan secara intensif, mereka dapat menangkap dan kelihatan seronok untuk mempelajari bacaan al-Quran tanpa merasa bosan.

‘’Saya yakin jika kita berikan lebih perhatian dan sedikit masa, mereka mampu membaca al-Quran dengan lebih baik dari segi taranum dan tajwid,’’ katanya kepada Mega Mimbar Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mohd. Yusof Din yang mengajar kaedah pembacaan al-Quran di Putrajaya dan beberapa kawasan sekitar Selangor bercadang untuk mengembangkan pengajian al-Quran dalam kalangan masyarakat Orang Asli di beberapa perkampungan lain.

Menurut beliau, kebolehan dan minat yang ditunjukkan oleh anak-anak Orang Asli Kampung Desa Damai memberinya semangat untuk terus membimbing mereka membaca al-Quran pada masa akan datang secara percuma.

‘’Sebenarnya anak-anak Orang Asli ini mempunyai kebolehan dan keupayaan membaca al-Quran seperti orang lain juga.

‘’Berdasarkan testimonial tersebut, saya percaya kita dapat membimbing mereka membaca dan memahami al-Quran dan seterusnya dapat mengamalkan kehidupan harian seperti mana yang disampaikan menerusi wahyu Allah itu,’’ katanya.

Malah beliau menyeru tenaga pengajar al-Quran kaedah Haraki yang terdapat di seluruh negara turut menyumbang tenaga bagi membimbing masyarakat Orang Asli yang terdapat berhampiran di kawasan mereka.

Tambah beliau, menerusi kerja-kerja secara sukarelawan tersebut akan dapat membantu menghapuskan masalah buta al-Quran dalam kalangan anak-anak mahu pun golongan dewasa Orang Asli. 
– Ali Mahmood