Cuba kita renung kembali dan hitung ibadat korban yang telah kita laksanakan sepanjang hayat ini. Belum tentu hitungan itu menyamai hitungan umur kita yang bakal menempuh penghujungnya. Oleh itu, sila ambil peluang melaksanakan ibadat korban yang disepakati jumhur ulama Syafie sebagai ibadah sunat yang amat digalakkan.

Peluang ini hanya datang setahun sekali untuk rebutnya seperti Ramadan yang dijanjikan satu malam disebut Lailatulqadar untuk kita dapatkannya dengan bersungguh-sungguh. Jika ibadat ini terlepas dan dibiarkan begitu sahaja, maka masa itu akan berlalu dan tertulis dalam buku catatan amal kita ‘kosong’ - tiada amalan korban tahun 1439H.

Sebab itu Rasulullah SAW berpesan: “Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari-hari Nahar (hari-hari Aidiladha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadat korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan,” - Riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi (Hasan Gharib).

KORBAN DIWAJIBKAN

Menurut pandangan ulama Mazhab Hanafi, ibadat korban adala wajib dilaksanakan pada setiap tahun dengan syarat mampu melaksanakannya iaitu cukup untuk berbelanja membeli ternakan korban pada tahun tersebut.

Jika diperhati dan diteliti, maqasid daripada hasil hukum yang dinatijahkan memberi erti yang amat mendalam dan bermakna bersesuaian dengan keadaan masa kini.

Ibadat ini perlu kepada niat yang tulus ikhlas kerana ia mempunyai kaitan dengan erti korban daripada perkataan Arab iaitu ‘adha’ yang amat signifikan maknanya. Oleh itu:

  • Setiap individu yang mempunyai hasrat untuk berkorban hendaklah merancang dari awal tahun, menabung untuk persediaan ibadat ini apabila tiba masanya.
  • Kita boleh merancang dan menabung bagi urusan-urusan seperti melancong, membayar bil-bil keperluan, berbelanja untuk membeli-belah, memperuntuk untuk kenderaan dan sebagainya, maka apa salahnya untuk kali ini kita memasukkan dalam senarai tabungan berbelanja demi untuk ibadat korban.
  • Amat baik untuk kita agar tiada perasaan ‘berkira-kira’ untuk terus memasang niat berkorban.
  • Manfaatkan rezeki yang dikurniakan Allah SWT untuk ibadat korban pada tahun ini dan seterusnya dengan penuh yakin bahawa inilah peluang yang Allah berikan untuk kita laksanakannya. Dengan kata lain itulah yang disebut sebagai berkorban kerana Allah SWT.