Dia yang juga pengasas Islam Dar al-Mustafa berkata, nikmat terbesar di atas muka bumi kepada seorang lelaki adalah memiliki seorang isteri solehah kerana wanita yang menjadi penemannya itu boleh menjadi faktor terbesar mencapai sakinah atau ketenangan dalam rumahtangga.

Habib Umar yang juga Ahli Majlis Penasihat Tertinggi Yayasan Tabah di Abu Dhabi berkata, isteri solehah bukan sahaja boleh mencipta sebuah keluarga bahagia, malah berupaya membentuk ketenangan dalam kalangan manusia dan membentuk sebuah generasi Islam yang hebat.

Menerusi tindakan secara hikmah, wanita solehah mencipta 1,000 keharmonian menerusi peranan yang dimainkan olehnya dalam keluarga, masyarakat dan negara apabila memahami dengan jelas tugas yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia untuk bertindak sebagai khalifah di atas muka bumi.

“Wanita solehah sedar akan tentang identiti dan peranan mereka di atas muka bumi, sama ada sebagai anak perempuan, saudara perempuan atau sebagai seorang ibu,” katanya.

Tambahnya, Nabi Muhammad SAW bersabda dengan maksudnya: “Tidak ditinggalkan satu fitnah setelah aku yang lebih besar bahayanya terhadap lelaki melebihi fitnah wanita”.

Jelasnya, apa yang boleh difahami daripada maksud hadis tersebut, wanita yang dimaksudkan adalah perempuan-perempuan yang tidak taat kepada Allah SWT, seterusnya menjadi penyebab kepada kerosakan dalam masyarakat.

Tegasnya, satu-satunya jawapan bagi mengelak daripada berlakunya fitnah dan terjaga kehormatan dalam masyarakat adalah menerusi peranan wanita solehah.

Selain itu, tiada faktor yang lebih besar atau kuat untuk seseorang lelaki itu lebih bertakwa kepada Allah SWT menerusi peranan yang dimainkan oleh isteri.

Ini kerana katanya, asbab menjadi isteri yang solehah berupaya memberi pengaruh besar kepada diri seorang suami untuk lebih dekat kepada Yang Maha Kuasa.

Tambahnya, terdapat kata-kata ahli hikmah menyatakan bahawa peranan seorang ibu dalam sebuah keluarga seumpama sebuah madrasah atau sekolah terutama dalam mendidik anak-anak.

Selain itu katanya, seorang ibu yang solehah menjadi faktor utama kepada pembentukan nilai dalam melahirkan sebuah generasi terbilang, mantap dari sudut akhlak dan nilai-nilai terpuji.

Berusaha menjaga kehormatan diri, wanita solehah juga harus mengikuti sifat malu yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW.

Seperti mana perumpamaan yang diberikan oleh para sahabat kepada Rasulullah SAW terhadap sifat malu Baginda iaitu melebihi sifat malu seorang anak dara yang berada di dalam biliknya.

Menjelaskan bagaimana pilihan lelaki soleh dalam memilih pasangan hidup, Habib Umar berkata, pastinya lelaki soleh akan memilih pasangannya yang terdiri daripada wanita baik dari aspek agama berbanding aspek-aspek lain.

Tegasnya, jika membuat ukuran pilihan pasangan berdasarkan harta keduniaan, bersifat zahir atau kemegahan, maka perkara tersebut akan menjadi penyebab kepada keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan dan berlakunya fitnah besar.

“Maka perlunya seseorang wanita itu taat kepada ajaran agama Islam dan berusaha menjadikan orang di bawah mereka menjadi seorang insan yang baik,” katanya.