Ternyata setelah hampir tiga tahun menyulam cinta dan menerima doa terbaik daripada para peminat yang merestui hubungan tersebut, pelakon Dynas Mokhtar dan kekasih, Shazrik Che Mohd Din, 35, bakal disatukan sebagai suami isteri pada pertengahan April tahun hadapan. Mereka bertunang pada 28 Oktober lalu.

Bertemu pasangan ini dalam majlis pelancaran produk Nigella Therapy Rabu lalu, jelas terpancar sinar kebahagiaan pada wajah pasangan ini yang kini sedang sibuk menguruskan persiapan hari bahagia yang menurut Dynas, ada banyak perkara yang perlu dirancang.

Meskipun pernikahan yang kedua baginya, namun Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 34, tidak menolak untuk melangsungkan majlis nikah dan sanding dengan meriah memandangkan ia adalah perkahwinan pertama buat tunangnya.

Tambah Dynas, dia mahu mengadakan majlis yang teratur dan terbaik untuk kenangan sepanjang hayat mereka berdua.

“Kami sudah mula membuat persiapan terutama mencari dewan yang sesuai dengan tarikh yang akan kami pilih nanti. Majlis akad nikah akan berlangsung di kediaman keluarga saya, manakala resepsi diadakan di sebuah hotel di sekitar Kuala Lumpur.

“Bagi majlis akad nikah, saya dan keluarga lebih selesa dilangsungkan dengan cara tradisional iaitu diadakan di rumah dan dihadiri keluarga dan teman rapat sahaja. Untuk resepsi pula, majlisnya lebih formal dan moden.

“Kalau boleh saya inginkan majlis yang meriah kerana ia merupakan perkahwinan pertama buat Shazrik. Kami ingin mengadakan majlis yang terbaik untuk dikenang selama-lamanya.

“Saya pasti keluarganya juga harapkan perkara yang sama,” jelasnya.

Bukan sahaja giat melakukan persiapan majlis, pelakon filem Impak Maksima ini juga tidak lupa mempersiap diri untuk kembali menjadi isteri setelah empat tahun bergelar ibu tunggal.

Menurut Dynas, dia sentiasa bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri biarpun dalam masa yang sama perlu menguruskan anak-anak, kerjaya seni dan perniagaan.

Bagi ibu kepada Khyra Khalyssa, 7, dan Mohamed Haqaish, 5, setiap hari dirinya berdoa agar dia mampu membahagiakan bakal suami dan diterima seadanya selain berharap rumah tangga yang dibina kali ini adalah yang terakhir buatnya.

“Walaupun saya seorang wanita yang berdikari, namun saya tetap memerlukan seseorang yang mampu mendidik dan membentuk saya untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Saya juga ingin mengubah gaya hidup dengan mempunyai sebuah keluarga yang sempurna dengan adanya suami dan anak-anak.

“Saya sentiasa bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan mahu membahagiakan suami dan anak-anak. Itulah kehidupan yang menjadi impian dan harapan saya. Ia seperti mimpi menjadi kenyataan apabila dia hadir dalam hidup saya,” jelasnya.

Shazrik: Dia berjiwa besar 


Pertama kali ditemu bual pihak media selepas mengikat tali pertunangan, Shazrik Che Mohd Din kelihatan malu-malu dan gementar. Pun begitu, sokongan yang diberikan oleh Dynas membuatkan dia mudah selesa dan tidak kekok untuk berkongsi perasaannya terhadap tunang tersayang.

Menyifatkan Dynas sebagai wanita yang cekal dan berjiwa besar, Shazrik tidak menafikan kelebihan itulah yang membuatkan dia begitu terpikat.

Keputusan menyunting Dynas sebagai isteri bukan sahaja untuk menyatukan cinta mereka, malah bagi Shazrik, dia ingin mengenali wanita kesayangannya itu dengan lebih dalam.

“Tiga tahun kami berkawan dan bercinta, saya yakin inilah masanya untuk kami bersatu. Penyatuan ini bukan untuk kami berdua sahaja tetapi juga untuk anak-anak.

“Saya bahagia bersama anak-anaknya kerana saya melihat mereka membesar di depan mata saya. Walaupun pada awalnya agak sukar bagi saya kerana tidak pernah memiliki anak, namun saya tidak jemu untuk belajar mengenali mereka.

“Saya berharap perkahwinan ini membuka lebih peluang untuk kami saling mengenali dan membahagiakan antara satu sama lain,” ujarnya.