Bagaimanapun saya terpanggil untuk memberi teguran apabila mereka mula menjadikan kalam Allah sebagai tongkat sandaran idea mereka. Ketahuilah bahawa ilmu berkaitan al-Quran mempunyai disiplin yang ketat, iaitu perlu tahu mana yang ‘hijau, kuning atau merah’ apabila berbicara dengannya. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang berkata sesuatu tentang al-Quran tanpa ilmu, maka tersedialah untuknya tempat dalam neraka,” - Sunan Tirmizi. 



Kisahnya...

Seorang doktor pakar menghubungi saya bertanya tafsiran sebenar ayat kelima Surah al-Hajj kerana ia menjadi ‘hujah dari langit’ yang digunakan pejuang idea natural birth, iaitu:

  • Mereka menolak cadangan doktor agar ibu hamil berisiko kesihatan menggunakan proses induce atau memasukkan ubat bagi mempercepat proses bersalin.
  • Sanggahan itu disandarkan kepada firman Allah SWT:
“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami cipta kamu daripada tanah, kemudian daripada setitik air benih, kemudian daripada sebuku darah beku, kemudian daripada seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak terangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula tetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami keluarkan kamu berupa kanak-kanak……..” (al-Hajj [22:5]).
  • Bagi mereka tindakan induce menyanggah kehendak Allah pada ayat dalam frasa - “sehingga suatu masa yang ditentukan lahirnya”. 



Rasional:

  • Jika diperhatikan, makna frasa itu masih bersifat umum atau dalam istilah bahasa Arab dipanggil ‘nakirah’. Boleh jadi takdir Allah sejak azali menetapkan si bayi akan lahir melalui proses induce atau sebaliknya.
  • Jika mereka tetap berkeras mahu memahami frasa, “sehingga suatu masa yang ditentukan” dalam fahaman sempit, mari kita bandingkan pula frasa sama yang Allah gunakan dalam firman-Nya yang lain:

“Dialah (Allah) yang mencipta kamu daripada tanah, kemudian Dia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisi-Nya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan),” (al-An’am [6:2]).

  • Dua tempoh dalam ayat Surah al-An’am ini merujuk kepada ‘tarikh mati’ dan ‘tarikh bangkit’ menghadap Allah pada hari kiamat kelak. Kedua-dua tarikh tersebut adalah rahsia Allah yang tak mampu diketahui manusia.
  • Walaupun tidak mengetahui bila tarikh mati, adakah kita hanya perlu pasrah menunggu mati tanpa ada sebarang usaha menjaga keselamatan atau kesihatan diri?

MENJADI MUNDUR

Pemikiran ini boleh menjadikan manusia mundur kerana meletakkan segalanya pada takdir tanpa sebarang usaha. Ini adalah akidah Jabariyyah yang mengatakan nasib manusia secara mutlak dipegang Allah dan usaha ikhtiar tak mampu mengubahnya.

Ia jelas bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu manusia boleh berusaha mengubah nasib tetapi keputusan akhir tetap pada Allah. Pemikiran sebegini dicela Allah (Surah al-An’am [6:148]).


Premis berfikir sama perlu diletakkan dalam isu kelahiran bayi:

  • Adakah benar Allah mahu seorang ibu hamil hanya pasrah menunggu ‘tarikh rasmi sakit bersalin’ tanpa melakukan sebarang usaha menurut hukum sebab musabab atau sains?
  • Jika benar begitu, apa gunanya ilmu kurniaan Allah yang dibuka kepada profesion kedoktoran?
  • Ilmu perubatan bukanlah ilmu manusia, bukan juga ilmu orang Yahudi atau Kristian, tetapi bermudik daripada lautan ilmu Allah yang dibuka kepada manusia melalui kunci kajian dan pembelajaran.
  • Prinsip ilmu perubatan dan ilmu lain disebut secara tidak langsung oleh firman Allah ini:
“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar,” (Fussilat [41:53])

RUJUK KEPADA PAKAR

Cara Allah memperlihat kuasa-Nya pada diri manusia dalam ayat di atas adalah dengan membuka pintu kajian sama ada melibatkan bidang perubatan, psikologi, sosiologi dan sebagainya. Setelah manusia mengkaji perihal dirinya, mereka bertambah celik mata hati dengan kuasa dan ketuhanan Allah. Tambahan pula Allah memang menyuruh agar kita merujuk kepada pakar jika tidak faham sesuatu perkara:

“Dan Kami tidak utus para rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan daripada kalangan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka tanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui,” (al-Anbiya’[21:7]).

SILAP MISALAN

Tidak cukup dengan hujah kelabu dalam Surah al-Hajj terdahulu, para pejuang natural birth juga menyandarkan perjuangan mereka kepada kisah istimewa Maryam a.s. yang bersalin secara semula jadi tanpa bantuan doktor. Ini contoh kesilapan mereka memahami kisah al-Quran. Apa rahsia di sebalik kisah ini?

“Dia (Jibril a.s.) berkata: “Sesungguhnya aku adalah pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci. Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat? Dia (Jibril) menjawab: Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagi-Ku; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat daripada Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya,” (Maryam [19:19-21]).

Kisah Maryam dan kelahiran Nabi Isa a.s. adalah kisah khusus berlaku atas kehendak Allah yang mahu memperlihat kuasa-Nya kepada manusia:

1. Ia disebut jelas dalam ayat 21 di atas. Keselamatan Maryam ketika bersalin dijaga rapi secara khusus oleh Allah.

2. Jaminan sebegini tidak berlaku kepada kes bersalin lain kerana wanita lain bukan Maryam dan anaknya pun bukan Nabi Isa.

3. Kelahiran Isa adalah ‘Irhas’ iaitu petanda kenabian sebelum seorang nabi dilantik secara rasmi oleh Allah.

4. Soalan saya kepada pembaca, sanggupkah mencuba nasib atas premis kabur sedangkan diketahui bahawa anda bukanlah Maryam dan bayi anda pun bukannya Nabi Isa?

Berhujah dengan al-Quran sangat bagus kerana ia diturunkan untuk membimbing manusia, tetapi ia perlu difahami mengikut kehendak Allah dan bukan berdasarkan selera kita. Al-Quran bukan kenderaan yang boleh dipacu sesuka hati tanpa disiplin. Kita wajib tunduk kepada al-Quran dan bukannya al-Quran terpaksa mengikut nafsu kita.

Akhir kata, di dunia ini, kita mungkin disaman jika tersalah petik atau ulas kata-kata manusia, bayangkan apa pula impaknya jika tersalah petik atau faham kalam Allah Tuhan semesta alam?

Bukan lagi saman yang menanti tetapi sambaran api neraka seperti hadis di awal rencana ini. Mohon dijauhkan Allah!