Keputusan tribunal yang mendapati Myanmar bersalah melakukan jenayah kemanusiaan genosid membawa kepada persoalan seterusnya, iaitu apakah hukumannya?

Ia juga rata-rata adalah persoalan yang banyak diajukan majoriti yang tidak sabar-sabar mahu melihat bukan sahaja etnik Rohingya berhenti dizalimi tetapi juga untuk melihat apakah bentuk hukuman yang bakal dikenakan ke atas Myanmar.

PERJALANAN MASIH JAUH!

Perlu diperjelas, PPT hanyalah sebuah tribunal yang menyediakan dokumen terperinci hasil daripada proses perbicaraan, pendakwaan dan penghakiman mengenai salah laku jenayah dilakukan satu-satu pihak yang boleh dijadikan bahan bukti atau dokumen rujukan oleh badan-badan keadilan antarabangsa seperti PBB dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam proses mencari keadilan seterusnya.

Ini bermakna, perjalanan untuk melihat hukuman dikenakan terhadap Myanmar masih jauh, mengambil masa yang panjang, banyak kerja dan perkara masih perlu dilaksanakan.

Untuk melihat Myanmar dihukum, dokumen PPT perlu dipanjangkan kepada badan-badan keadilan antarabangsa. Persoalannya, adakah dokumen PPT Kuala Lumpur akan dibawa ke proses seterusnya?

Memetik kata-kata Ketua Eksekutif Centhra, Azril Mohd. Amin merangkap Timbalan Pendakwaraya PPT, jawapannya: Ya! Sesetengah rakan dan beberapa pihak menganggap, jika inilah realitinya, adakah relevan PPT dibuat?

Iaitu:

  • Tidakkah hanya membuang masa dan membiarkan Myanmar terus menggila melakukan pembunuhan?
  • Kebanyakan pendapat mahukan tindakan keras seperti tindakan ketenteraan, sekatan ekonomi dan sebagainya dikenakan terhadap Myanmar.
  • Masalahnya, tindakan-tindakan ini bukan mudah untuk dilaksanakan ketika negara-negara Islam, pertubuhan Islam, malah umat Islam sendiri berada dalam keadaan sangat lemah.
  • Masalah berat sebelah, prejudis dan sikap anti-Islam dalam kalangan negara dan anggota masyarakat global juga menyukarkan perjuangan membela umat Islam yang ditindas.

DASAR YANG MERUGIKAN DIRI SENDIRI

Walaupun keputusan PPT mendapati Myanmar bersalah, namun hakikatnya Myanmar tidak dikenakan hukuman. Memetik maksud tersirat kata-kata Presiden Just, Dr. Chandra Muzaffar sewaktu membuat ucapan penutupan:

“Indahnya ASEAN kerana memiliki kepelbagaian dalam banyak perkara seperti budaya, kaum dan etnik, agama, makanan dan lain-lain yang tidak dimiliki mana-mana gagasan wilayah lain di dunia, tetapi sayangnya ASEAN tercemar dengan tragedi yang berlaku di Myanmar.

“Dalam hal ini, prinsip tidak mahu campur tangan dalam hal ehwal negara-negara jiran sehingga sebarang perkara yang mendatangkan mudarat, boleh merebak dan membahayakan rantau ini terpaksa ditutup mata begitu sahaja.

“Tidakkah akhirnya ia akan menghancurkan ASEAN itu sendiri? Myanmar khususnya Aung San Suu Kyi sewajarnya memandang jauh perkara ini.

“Keindahan dan keunikan ASEAN harus dipelihara dan dipertahan demi keamanan, kestabilan, keselamatan dan masa depan ASEAN yang lebih gemilang.

“Mereka harus dengan segera menghentikan genosid dan apa juga bentuk ketidakadilan dan diskriminasi terhadap warganegara mereka sendiri.”

Kesimpulannya, untuk mengharapkan campur tangan dan tindakan antarabangsa dalam masa terdekat bagi menghentikan kekejaman ke atas Rohingya adalah sesuatu yang mustahil.

Maka, ASEAN terlebih dahulu perlu berubah demi menentukan nasib dan masa depannya sendiri.

PPT di Kuala Lumpur sudah mengemukakan cadangan, kini hanya menantikan tindakan.