Konflik tersebut menjadikan usaha berkenaan seolah-olah sesuatu yang sia-sia. Aspek perbezaan bidang kuasa dan amalan perundangan, antara hujah yang sering digunakan.

Malah, usaha mengharmonikan itu diibaratkan berada di hujung tanduk apabila majoriti masyarakat umum menerima secara terbuka pandangan bahawa kedua-dua perundangan itu perlu hidup secara berasingan.

Namun begitu, program Dialog Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) Putrajaya Siri 1 yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini mungkin boleh memberi sinar positif kepada usaha harmonisasi itu.

Dialog bertajuk ‘Ke Arah Harmonisasi Perundangan Sivil & Syariah’ itu menampilkan dua panel iaitu pensyarah kanan Razak School, University of Technology Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur, Dr. Muhammad Fathi Yusof dan Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail.

Kedua-dua ahli panel tersebut menyifatkan usaha harmonisasi perundangan itu mempunyai potensi cukup besar untuk mencapai kejayaan seandainya pihak berkenaan mengamalkan sikap berlapang dada dan juga mengakui bahawa ia bukan kerja sehari semalam.

SELESAIKAN DULU APA YANG PERLU

Kepayahan untuk merealisasikan usaha tersebut sehingga kini menunjukkan masih ada isu tertentu yang belum diselesaikan atau diterima sebulat suara oleh entiti dalam dua perundangan berkenaan.

Antaranya, menurut Dr. Muhammad Fathi Yusof adalah kefahaman berkenaan perkataan harmonisasi itu sendiri kerana kegagalan memahaminya dengan tepat bakal mewujudkan tanggapan seolah-olah ada gerakan yang mahu ‘mengislamkan’ undang-undang sivil.

“Malah ia juga akan turut menggambarkan bahawa agama Islam mahu memperbetul mahkamah sivil atau sebaliknya.

“Sedangkan ia bukan sekadar mahu mendekatkan Islam kepada sistem perundangan itu tetapi memperkemas sistem undang-undang syariah supaya lebih dekat dengan ajaran Islam yang betul,” katanya.

Tambahnya: “Begitu juga dengan aspek hala tuju harmonisasi itu sendiri. Kita perlu tahu dengan jelas apakah objektif atau keputusan akhir yang diinginkan.”

Ini kerana, bagi Muhammad Fathi adalah amat penting meletakkan matlamat atau objektif usaha itu untuk menyebarkan rahmat Allah SWT ke seluruh alam, seperti mana tujuan Rasulullah SAW diutuskan-Nya ke dunia ini.

“Jangan juga terperangkap dengan istilah harmonisasi sehingga lupa matlamat akhir iaitu untuk sebarkan Islam tidak hanya kepada bukan Islam tetapi juga dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

PERSEPSI NEGATIF MASYARAKAT

“Paradigma kena luas iaitu bukan hanya nak baiki undang-undang tetapi masyarakat umum boleh terima sistem itu sebab kalau kita perhatikan ada sesetengah negara yang mempunyai sistem perundangan kukuh tetapi tidak beri rahmat kepada manusia,” katanya.

Selain itu, Muhammad Fathi menyatakan isu persepsi masyarakat umum terhadap definisi perundangan Islam turut berpotensi menyekat usaha harmonisasi jika tidak ditangani dengan sebaiknya.

Ini kerana di Malaysia, masyarakat kadang-kadang terjerat dengan definisi dalam Perlembagaan Persekutuan sedangkan perundangan Islam itu merangkumi makna yang lebih luas.

“Malah, ia akan menimbulkan konflik kerana perkataan mahkamah syariah seolah-olah ada satu lagi mahkamah dan sebarang keputusan oleh mahkamah sivil terhadap orang Muslim dianggap akan menimbulkan masalah dari sudut Islam. Sebab itu, bila kita cakap untuk memartabatkan mahkamah syariah bunyinya memang sedap tetapi hakikatnya, kita berjuang dalam kepompong yang sempit.

“Suasana itu menjadi lebih kacau apabila wujud khilaf sesama pengamal atau ilmuwan undang-undang sehingga menimbulkan rasa kurang percaya masyarakat umum,” katanya.